Maya Karin: Pelakon, pengacara dan penyanyi Malaysia-Jerman

Maya Karin Roelcke (lahir 29 Oktober 1979) merupakan seorang pelakon, penyanyi, model, pengacara televisyen dan aktivis Malaysia, kelahiran Jerman.

Menjadi salah seorang pelakon wanita terulung di Malaysia dalam industri perfileman tanah air, Maya meraih penghargaan meluas untuk kemenangan anugerah dan persembahan terbaik menerusi lakonannya dalam filem seperti Seri Dewi Malam (2000), Pontianak Harum Sundal Malam (2004-06), Waris Jari Hantu (2007), Anak Halal (2007), Pisau Cukur (2009), Cun! (2011), Ombak Rindu (2011), Sejoli: Misi Cantas Cinta (2014), Nota (2015), Jwanita (2015), Munafik 2 (2018) dan Abang Long Fadil 3 (2022). Sebagai pelakon yang bertaraf kelas A, beliau diketahui banyak bertumpu kepada filem dan tidak memilih untuk muncul dalam drama televisyen.

Maya Karin
Maya Karin: Kehidupan awal, Kerjaya, Penerimaan dan gaya lakonan
Maya pada 2019.
Kelahiran
Maya Karin Roelcke

(1979-10-29) 29 Oktober 1979 (umur 44)
PendidikanMedia dan pemasaran
Pusat pendidikanUniversiti Teknologi Kreatif Limkokwing, Cyberjaya, Malaysia
PekerjaanPelakon, penyanyi, model, pengacara, jurucakap produk, aktivis
Tahun aktif1999–kini
Ketinggian168 cm (5 ka 6 in)
PasanganSteven David Shorthose (2008–2010; bercerai)
Ibu bapa
  • Gottfried Roelcke (bapa)
  • Che Zan (ibu)
Kerjaya muzik
GenrePop, R&B
InstrumenVokal
Syarikat rakaman

Dalam sejarah Festival Filem Malaysia, Maya memegang rekod untuk pelakon dengan pencalonan terbanyak bagi kategori Anugerah Pelakon Wanita Terbaik sebanyak 11 kali dan beliau ialah dikalangan pelakon wanita yang memenangi anugerah itu sebanyak dua kali. Beliau juga merupakan salah seorang daripada dua pelakon wanita Malaysia dan yang pertama yang memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik. Beliau telah tercalon dalam kategori pelakon terbaik dan anugerah hiburan popular hampir setiap tahun dan meraih pelbagai anugerah dan pencalonan di Festival Filem Malaysia, Anugerah Skrin, Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur, Anugerah Lawak Warna, Festival Filem Asia Pasifik, Estepona Fantasy & Terror Film Festival, Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Anugerah MeleTOP Era.

Anugerah pertama yang dimenangi Maya ialah trofi Artis Baru Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 (ABPBH 2001) yang berlangsung di Genting Highlands, Pahang. Seterusnya beliau memenangi kategori Pelakon Filem Wanita Popular di ABPBH 2005, 2008 dan 2011. Beliau diberi jolokan sebagai "Ratu Filem Seram" kerana banyak membintangi filem seram. Bagi kerjayanya sebagai penyanyi, Maya telah menerbitkan sebanyak tiga album studio, album pertamanya, Erti Cinta telah terjual sebanyak 10,000 unit di Malaysia sahaja. Pada Jun 2018, Harian Metro menyenaraikan beliau sebagai salah seorang daripada 10 pelakon popular yang meraih pengiktirafan di peringkat global.

Di pentas, Maya telah beraksi dalam banyak pementasan teater, antaranya ialah In The Mind's Eye (1999), Natrah (2009) dan Supermokh Sebuah Muzikal (2013). Di luar kerjaya hiburannya, Maya juga telah bergiat aktif dalam aktiviti amal dan kebajikan, termasuk pendidikan, alam sekitar dan hak wanita serta menjadi jurucakap untuk pelbagai jenama terkenal seperti Pantene, L'Oréal dan Nescafe.

Kehidupan awal

Maya dilahirkan pada 29 Oktober 1979 di Bayreuth, Bavaria, Jerman. Beliau berdarah kacukan Jerman, Cina dan India. Bapanya, Gottfried Roelcke berasal dari Jerman. Ibunya Che Zan yang berdarah campuran Cina dan India Muslim berasal dari Pulau Pinang. Susulan dari perkahwinan itu juga mendorong ibunya untuk mengikuti bapanya untuk menetap di Jerman pada ketika itu dan selepas itu keluarganya telah bermastautin di Indonesia untuk beberapa waktu. Beliau tinggal di sana sehingga berusia 17 tahun sebelum beliau sekeluarga kembali ke Malaysia. Selepas tamat sekolah menengah, Maya pernah bekerja di kedai kek untuk tempoh yang singkat.

Maya ialah anak sulung daripada tiga adik-beradik. Beliau mempunyai seorang adik lelaki yang bernama Armin dan juga adik perempuannya yang bernama Irina. Beliau mula terlibat dalam bidang peragaan dan lakonan teater semasa zaman remajanya di Indonesia. Beliau juga telah melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing dan merupakan graduan dalam bidang Pengajian Media dan Pemasaran.

Kerjaya

1999–2003: Penglibatan awal, Wavelength dan Erti Cinta

Maya Karin memulakan kerjaya lakonan pada 1999 menerusi filem Hollywood, Entrapment lakonan Sean Connery dan Catherine Zeta-Jones yang mana beliau memegang watak sebagai tetamu. Dalam satu hantaran yang dimuat naik di Twitter pada November 2021, Maya mendedahkan beliau telah menerima bayaran sebanyak RM2,076 (AS$ 500) meskipun hanya memegang watak sebagai pelakon tambahan. Beliau seterusnya bergiat aktif sebagai pelakon teater Inggeris dengan membintangi pementasan teater karya Vinod Sekhar yang bertajuk In The Mind's Eye yang diadakan di Auditorium Akademi Penerbangan Malaysia, Kelana Jaya, Selangor, dari 26 hingga 31 Julai 1999.

Pada tahun 2000, beliau yang ketika itu berusia 21 tahun telah ditawarkan sebagai pengacara untuk rancangan hiburan gaya hidup TV3, Wavelength bersama Ben-G, yang melancarkan kerjaya arus perdana beliau. Beliau mula menerima tawaran berlakon filem dalam tempoh setahun Beliau mengacarakan rancangan itu sebanyak dua musim. Kerjaya lakonannya hadir apabila beliau ditawarkan oleh pengarah filem, Aziz M. Osman untuk membintangi filem Seri Dewi Malam arahannya. Dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai Seri, seorang isteri yang hidup dalam koma. Persembahannya dalam filem ini menerima banyak kritikan dan disifatkan kurang menonjol. Ditayangkan pada 24 Mei 2001, filem ini turut dibintangi oleh Hairie Othman dan Jeslina Hashim.

Beliau kemudian menjayakan watak seorang gadis yang tinggal di sebuah perkampungan luar bandar dalam filem keduanya No Problem yang ditayangkan pada 24 Julai. Peranan signifikan penting dalam industri hiburan tempatan (pengacaraan, lakonan dan penghias kulit majalah wanita) kemudian membawa beliau untuk memenangi Anugerah Artis Baru Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Anugerah Media Hiburan pada tahun yang sama.

Pada November 2001, Maya merakamkan album sulungnya, Erti Cinta yang mempertaruhkan single pertama dengan tajuk sama. Album ini melayakkan beliau menerima pencalonan bagi kategori Artis Baru Terbaik dan Video Terbaik di Anugerah Industri Muzik (setara Malaysia bagi Anugerah Grammy). Pada tahun 2002, beliau ialah antara artis yang menyumbangkan suaranya untuk sebuah lagu tema promosi untuk kempen Kempen Membaca Kebangsaan 2002 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia, yang bertajuk "Membaca Gaya Wawasan". Selain Maya, artis lain yang terlibat ialah Amy Mastura, Fazley, Dayang Nurfaizah, Afdlin Shauki, Syafinaz Selamat, Jeslina Hashim dan Siti Nurhaliza.

Pada tahun 2003 beliau telah melakonkan peranan pembantu dalam filem Mr. Cinderella 2 bersama pelakon utamanya, Yusry KRU dan Erra Fazira. Maya memegang watak sebagai Anisah, Presiden syarikat Agro Products yang jatuh hati kepada Hakimi (lakonan Yusry). Filem ini merupakan kejayaan komersial dan Maya mula menunjukkan bakat yang menjanjikan dan kerjaya dalam bidang lakonan.

2004–2010: Pontianak Harum Sundal Malam, Bukan Qalamaya dan kemasyhuran

Pada tahun 2004, beliau menggalas tanggungjawab sebagai pengacara rancangan Ratu Sehari yang disiarkan di Astro Ria sebanyak 13 episod. Beliau berkata: "...Terlibat dalam rancangan ini memberi peluang kepada saya memahami apa yang saya sendiri inginkan menjelang hari bahagia itu nanti". Bekerja di bawah arahan Shuhaimi Baba, beliau menjayakan peranan utama dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam. Dalam filem ini, Maya memegang tiga watak, iaitu sebagai primadona (Meriam), seorang gadis naif (Maria) dan Pontianak. Ditayangkan pada 20 Mei 2004, filem ini menjadi kejayaan komersial dengan persembahan beliau mendapat pujian sekaligus melayakkan beliau menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-49 di Fukuoka, Jepun. Maya ialah salah seorang daripada dua pelakon Malaysia yang memenangi anugerah itu di festival berkenaan.

Walaupun kerjaya filem beliau yang semakin meningkat, Maya meneruskan penglibatan beliau di televisyen, dan pada September 2004, beliau telah dijemput oleh Channel [V] International untuk menyertai pasukan VJ mereka bagi segmen Smash Hit, The Juice dan Remote Control. Beliau seterusnya muncul dengan album keduaya, Bukan Qalamaya yang dikeluarkan pada Oktober 2004, ia merupakan album terakhirnya bersama MIG Records. Album ini didahului oleh single pertamanya yang bertajuk sama. Kemudian, beliau membuat penampilan khas dalam filem 7 Perhentian arahan A. Razak Mohaideen lakonan Farid Kamil dan Erra Fazira. Beliau memegang watak sebagai Dr. Maya, seorang doktor psikiatri.

Pada tahun berikutnya, Maya menjayakan semula peranannya dalam Pontianak Harum Sundal Malam II (2005), kesinambungan dari filem 2004 bertajuk sama dan terus menerima pujian kritis dengan memenangi anugerah Pelakon Terbaik (lelaki/wanita) di Festival Filem Fantasi dan Keganasan Estepona 2005 yang diadakan di Málaga, Sepanyol. Berikutan kejayaan kritis dan komersial kedua-dua filem dan juga persembahan beliau, Maya memenangi anugerah Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005. Beliau kemudian menjadi pengacara rancangan travelog Beauty Secrets From The East (Melayu: Rahsia Kecantikan dari Timur) di TV3.

Pada Mac 2006, beliau menggalas tugasnya sebagai pengacara siaran langsung Road To The Red Carpet dari Kodak Theatre, Los Angeles, sempena Anugerah Akademi ke-78. Pada tahun yang sama juga, beliau dipilih sebagai VJ Terbaik di Anugerah Pilihan Star Buzz Editor 2006.

Maya Karin: Kehidupan awal, Kerjaya, Penerimaan dan gaya lakonan 
Maya pada 2006.

Pada tahun 2007, Maya menjayakan pelbagai peranan utama dalam filem terbitan Pesona Pictures Waris Jari Hantu dan 1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba dan filem terbitan Tayangan Unggul Anak Halal arahan Osman Ali dan terus menerima pencalonan dalam pelbagai anugerah. Maya memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 dan Anugerah Oskar Malaysia pada tahun 2008 untuk peranan beliau sebagai seorang gadis tomboy dalam Anak Halal.

Maya berlakon dalam dua filem pada tahun 2008. Beliau memegang watak tajuk, ikan duyung dalam filem komedi fantasi Duyung arahan Prof. Madya Abdul Razak Mohaideen terbitan KRU Studios. Bagi menjayakan wataknya ini, Maya merakamkan adegan bawah air sendiri di laut terbuka di Pulau Sipadan. Persembahan beliau dalam Duyung melayakkan beliau menerima Anugerah Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008. Selepas Duyung, beliau kemudian berlakon dalam filem bebas arahan Azhar Ruddin, Punggok Rindukan Bulan bersama Sahronizam Noor. Memegang watak sebagai Roza, beliau mengakui Punggok Rindukan Bulan tidak banyak beza daripada filem-filem arus perdana lakonannya.

Maya merupakan antara 120 selebriti popular tanah air yang menjayakan projek muzik di bawah kendalian Pete Teo, Malaysian Artistes For Unity (MAFU) yang bertujuan bagi meraikan kepelbagaian budaya dan idea Bangsa Malaysia menerusi lagu dan video. Selebriti yang terlibat termasuk Afdlin Shauki, Awie, Ning Baizura, Jason Lo, Sharifah Amani, Adibah Noor dan lain-lain. Pada tahun 2009, beliau membintangi filem arahan Bernard Chauly Pisau Cukur lakonan bersama Fazura dan Aaron Aziz, sebuah filem komedi tentang mata duitan di mana beliau melakonkan lebih banyak adegan komedi daripada peranannya dalam Duyung.

Pada Disember 2009, Maya diberi peranan bagi watak seorang wanita Belanda yang bernama Bertha Hertogh (Natrah) dalam pementasan teater Natrah arahan Erma Fatima yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10-13 Disember, teater yang mengupas tragedi wanita bernama Natrah yang menyayat hati dan pernah mencetuskan rusuhan berdarah pada 1950 turut dibintangi oleh Remy Ishak sebagai Mansor Adabi, Umie Aida (Che Aminah), Sofia Jane (Natrah ketika berusia 70 tahun) dan Samantha Schubert (Adeline), teater ini merupakan satu kejayaan komersial dan kritis dan mendapat sambutan dari penonton yang hadir, malah tiketnya juga habis dijual. Pada tahun 2010, beliau terpilih sebagai pengacara baharu rancangan majalah wanita, Nona di TV3. Maya mengakui menjadi pengacara Nona ialah angan-angannya sejak remaja. Bagaimanapun, beliau meninggalkan Nona setelah TV3 tidak memperbaharui kontraknya sebagai pengacara dan beliau digantikan oleh Vanidah Imran.

Maya kemudian berlakon dalam filem fantasi arahan Edry KRU, Magika dengan memegang watak sebagai Bunian. Kemudian, beliau melakonkan watak utama sebagai pengacara rancangan hiburan yang jatuh cinta dengan seorang lelaki dari sebuah kampung luar bandar dalam filem komedi romantis arahan Osman Ali Cun! bersama Remy Ishak. Filem ini merupakan filem kedua Maya di bawah arahan Osman selepas Anak Halal.

Beliau merupakan antara artis yang menyumbangkan suara untuk lagu bertajuk "Harapan Tanpa Suara" ciptaan S. Atan dan lirik oleh Habsah Hassan untuk kempen Kami Prihatin anjuran Utusan Malaysia. Artis lain turut terlibat dalam rakaman lagu ini ialah Siti Nurhaliza, Adibah Noor, Anuar Zain, Mawi, Aishah, Erra Fazira dan lain-lain.

2011–2016: Ombak Rindu, Teka-Teki dan peningkatan kerjaya

Pada November 2011, Maya membintangi filem Ombak Rindu arahan Osman Ali yang diadaptasi daripada novel 2002 dengan judul sama karya Fauziah Ashari. Dalam filem ini, beliau melakonkan watai sebagai Izzah, wanita muda dari sebuah kampung luar bandar bergelut dengan kehidupan dan kasih sayang. Filem ini menjadi kejayaan komersial terbesar beliau, sekaligus melayakkan beliau menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2012 pada 2012 dan Festival Filem Malaysia ke-25 pada 2013 dan Anugerah Pelakon Filem Wanita Popular ketiganya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011. Filem ini bukan sahaja mencapai kutipan pecah panggung sebanyak 10.90 juta, malah berjaya menutup kritikan hebat terhadap lakonan Maya yang dikatakan kaku selama ini.

Pada Januari 2012, Maya telah menandatangani kontrak dengan agensi pengiklanan, penjenamaan dan penciptaan kandungan Creative Republic untuk kempen pengiklanan 3D baharunya yang akan menampilkannya dalam lima iklan. Lima iklan televisyen itu akan menjadi siri episod dengan naratif yang menyeluruh, yang menyaksikan Maya memainkan watak utama yang merenung nasib Planet Bumi. Ia disiarkan pada Mac 2012 dengan iklan tematik utamanya di saluran penyiaran awam dan swasta manakala empat iklan berikutnya akan disiarkan secara eksklusif di internet.

Selepas itu, Maya menjayakan dua peranan yang tidak pernah dilakokankannya sebelum ini dalam Lagenda Budak Setan 2: Katerina arahan Sharad Sharan yang merupakan kesinambungan dari filem pertama yang diadaptasi dari novel 1985 dengan judul sama karya Ahadiat Akashah, Maya melakonkan watak Katerina, bergandingan bersama Farid Kamil sebagai Kasyah.

Maya menandatangani kontrak bersama Warner Music Malaysia pada 3 Jun 2013 dan membuat kemunculan semula selepas berehat selama 9 tahun dalam kerjaya muzik, dengan single "Bintang Syurga".

Dari 6 hingga 18 November 2013, Maya menjadi sebahagian dari barisan pelakon pementasan teater penghargaan khas untuk legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari, Supermokh Sebuah Muzikal yang dipentaskan di Istana Budaya. Beliau kembali beraksi dalam kesinambungannya, Supermokh Sebuah Muzikal: Restaging yang dipentaskan dari 8 sehingga 21 September 2014. Kemudian, beliau muncul dalam filem Sejoli: Misi Cantas Cinta, lakonan bersama Remy Ishak, Bront Palarae dan Izara Aishah. Dalam filem ini, beliau melakonkan watak sebagai Gina yang sanggup mengatur pelbagai rancangan demi mendapatkan semula jejaka dicintai. Beliau memenangi Pelakon Wanita Terbaik dalam Peranan Komedi di Anugerah Lawak Warna 2014 bagi persembahannya dalam filem ini dan menerima pencalonan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin 2014 dan kategori Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27.

Album ketiganya, Teka-Teki telah dilancarkan pada 24 Mac 2014, dan telah dilancarkan kemudian pada 18 April, di No Black Tie. Ia menjadi album studio pertamanya dalam tempoh 10 tahun sejak Bukan Qalamaya. Muzik video rasmi untuk "Teka-Teki" juga dilancarkan selepas itu dan disiarkan di saluran YouTube rasmi Warner Music Malaysia. Beliau kembali sebagai Katerina dalam filem Lagenda Budak Setan 3: Kasyah yang ditayangkan pada September 2014.

Maya Karin: Kehidupan awal, Kerjaya, Penerimaan dan gaya lakonan 
Maya di studio MeleTOP pada Julai 2015.

Dalam tahun 2015, Maya muncul dalam dua filem, iaitu filem psiko-jenayah Nota, arahan Yasu Tanaka dan diterbitkan dengan kerjasama antara penerbit filem tempatan dan krew Jepun. Beliau memegang watak sebagai Erin, isteri kepada Kamal lakonan Hans Isaac. Ini kemudian diikuti oleh filem seram psikologi Jwanita, arahan Osman Ali lakonan bersama Bront Palarae, Cristina Suzanne Stockstill, Umie Aida dan Marsha Milan Londoh. Beliau memegang watak sebagai Jwanita, seorang wanita yang mengalami masalah mental akibat pernah didera secara mental dan fizikal akibat ibu dan bapa angkatnya yang mengamalkan ilmu hitam. Maya dikatakan menjiwai wataknya sehinggakan pengarah, Osman dan Bront tidak berani mendekatinya sepanjang filem ini menjalani penggambaran.

Sehingga kini, Maya diakui sebagai pelakon dengan persembahan peranan seram yang paling berjaya dalam industri filem tempatan dan sering dipetik oleh peminatnya dan penonton filem tempatan sebagai pontianak, ikan duyung dan Izzah (peranannya dalam Ombak Rindu), kerana persembahan menarik dan berkekalan dalam filem masing-masing. Pada Festival Filem Malaysia ke-28, Maya sekali lagi bersaing dalam Pelakon Wanita Terbaik di festival yang memasuki edisi ke-28. Maya tercalon dalam dua filem iaitu Jwanita dan Nota. Beliau berdepan dengan saingan daripada pelakon hebat seperti Lisa Surihani, Nadiya Nisaa dan Nabila Huda. Sebelum ini, Maya pernah merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik dua kali menerusi filem Anak Halal dan Ombak Rindu arahan Osman Ali. Dalam temuramah dengan Berita Harian, beliau berkata: "Alhamdulillah atas pencalonan berganda ini. Saya agak terkejut ketika dimaklumkan nama saya 'sangkut' untuk dua filem. Saya sangka hanya filem Jwanita kerana ia mendapat maklum balas positif penonton. Setahu saya, bagi filem Nota, hanya pengkritik dan pencinta filem tegar saja yang menontonnya. Namun, biar apapun, saya gembira untuk dua pencalonan ini,".

2017–kini: Kejayaan kritis dan perkembangan terkini

Ia telah diumumkan pada Mac 2017 bahawa Maya akan muncul dalam kesinambungan filem Munafik bertajuk Munafik 2 arahan Syamsul Yusof. Beliau dilaporkan menggantikan pelakon utamanya, Nabila Huda yang menarik diri dari membintangi filem itu kerana kesibukan jadual kerja. Dikeluarkan pada 30 Ogos 2018, Munafik 2 merupakan satu kejayaan komersial apabila meraih kutipan pecah panggung tertinggi sebanyak RM43 juta sekaligus menjadi filem dengan kutipan pecah panggung terbanyak di Malaysia. Maya memegang watak sebagai Sakinah, seorang ibu tunggal yang menjaga bapanya, Imam Malek (Roslan Salleh) yang terlantar sakit. Sakinah mempunyai seorang anak perempuan bernama Aina. Beliau menjadi bintang utama di samping Remy Ishak dalam pementasan Teater Tun Fatimah yang dipentaskan pada 20 dan 21 Oktober di Panggung Bangsawan Melaka.

Maya melancarkan single terbarunya, "Gateway" ciptaan Audi Mok pada 8 November 2018 yang berkisarkan tentang dunia yang penuh dengan tipu daya dan muslihat. Ia turut menampilkan Kaka Azraff sebagai penyanyi rap.

Maya menjadi salah seorang pelakon utama filem Bulan dan Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar lakonan bersama Zahirah MacWilson dan Zizan Razak, di mana beliau memegang watak sebagai Tony, seorang pembunuh upahan yang ditugaskan untuk membunuh Bulan dan Haris. Ditayangkan pada 12 Mac 2020, ia mengisahkan tentang Bulan (Zahirah), seorang pelatih pasukan khas wanita, dengan bantuan seorang pemandu teksi, kini dia perlu melawan sindiket perdagangan manusia demi selamatkan adiknya yang diculik. Ia turut dibintangi oleh Bell Ngasri, Khir Rahman, Alif Hadi dan Aprena Manrose. Beliau kemudian membuat penampilan khas dalam filem Hollywood, Alone lakonan Donald Sutherland dan Tyler Posey. Dalam filem ini, beliau memegang watak seorang ahli sains Malaysia yang bernama Dr. Zulaikha. Biarpun hanya muncul dalam satu babak sahaja, Maya mengakui amat teruja berpeluang menimba pengalaman membintangi filem Hollywood.

Pada Jun 2020, Maya telah dianugerahkan Pelakon Wanita Terbaik di Festival TV dan Filem Antarabangsa Ramsgate di England menerusi filem Olympic Dream lakonannya, yang mana filem itu disenaraikan sebagai Pemilihan Rasmi di festival itu. Ditayangkan pada 23 September 2021, filem arahan Don Hoe ini mengisahkan tentang kecekalan seorang gadis, Wong Anna yang menanam impian dan bercita-cita menjadi pemain badminton kebangsaan sejak kecil. Dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai Mak Cik Fatimah, ibu angkat kepada Wong Anna.

Dari 11 sehingga 12 Disember 2021, Maya melakonkan watak Puteri Santubong dalam pementasan teater muzikal, Puteri Santubung The Warrior Princess yang dipentaskan oleh Kampung Budaya Sarawak yang ditaja Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak. Sebagai persiapan sebelum ke pentas, Maya menjalani latihan di Kuching, Sarawak dan mendalami skripnya.

Beliau berlakon di samping Zizan Razak dalam filem Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof dengan memegang watak sebagai Ejen Maya. Asalnya dijadualkan untuk tayangan pada 2020 dan 2021, namun ditunda akibat pandemik COVID-19. Filem ini ditayangkan secara rasmi pada 8 September 2022 dan menjadi kejayaan komersial.

Dilaporkan bahawa Maya bersedia untuk melakonkan watak Mahsuri jika ada mana-mana pihak yang mahu menerbitkan filem itu dan jika Syamsul Yusof berminat untuk mengarahkannya. Beliau berkata: "Kalau ada sesiapa nak buat naskhah itu (Mahsuri) sebab dah 60 tahun tak ada cerita dalam bentuk filem sedangkan Mahsuri sangat-sangat terkenal di Malaysia. Siapa yang pergi Langkawi tentu dah tahu kaitannya dengan Mahsuri. Sekarang Syamsul yang sambut dengan baik jadi saya kena tunggu dia balik dari Jakarta. Kemudian, kami akan berbincang sekali,".

Maya kembali bekerjasama dengan Osman Ali menerusi filem Telaga Suriram yang menjalani penggambaran dari Januari sehingga Mac 2022. Dalam filem bergenre drama mistik seram yang berlatarbelakangkan tahun 1985, beliau melakonkan watak sebagai Rohaya. Filem ini turut dibintangi oleh Nabila Huda, Farid Kamil dan Scha Al-Yahya serta pelakon kanak-kanak, Puteri Rafasya.

Penerimaan dan gaya lakonan

Untuk lakonan, saya hanya kekal untuk filem sahaja. Setakat ini memang belum sentuh mana-mana projek drama televisyen. Saya tidak melihat ia sebagai satu masalah besar. Walaupun lama tidak muncul, masih ada peminat yang memberi sokongan.

Maya mengenai pendiriannya untuk kekal sebagai pelakon filem.

Maya Karin telah disifatkan sebagai antara pelakon wanita Malaysia yang paling berbakat dan berjaya dalam generasinya sekaligus menerima jolokan "Primadona Filem Melayu". Telah membintangi lebih 40 filem sejak memulakan kerjaya lakonannya pada 1999, Bissme S dari The Sun Daily berpendapat bahawa Maya "mempunyai hasil kerja yang mengagumkan yang akan menimbulkan iri hati [bagi] mana-mana pelakon wanita [...] Beliau telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang pelakon yang serba boleh dalam perfileman Malaysia". Beliau dikenali dengan kepelbagaian watak dalam setiap filem yang dibintanginya, misalnya watak pontianak, Meriam lakonannya dalam Pontianak Harum Sundal Malam, gadis tomboi dalam Anak Halal dan pembunuh yang terganggu dengan emosi dalam Jwanita. Sudirman Mohd Tahir, menulis untuk Harian Metro percaya bahawa Maya ialah seorang pelakon yang berada dalam "kelas tersendiri" dan berpendapat bahawa popularitinya dalam bidang lakonan "seakan-akan tidak tergugat walaupun industri lakonan tempatan dibanjiri pelakon muda dan baru". Beliau turut mengulas mengenai kerja keras Maya, "tidak keterlaluan jika dikatakan Maya kekal sebagai pelakon wanita termahal di Malaysia. Setimpal dengan bayaran diberikan, Maya tidak pernah gagal melunaskan tanggungjawab dalam menjayakan setiap watak". Bekas wartawan hiburan akhbar sama, Roslen Fadzil berpendapat bahawa Maya ialah seorang artis yang memiliki "pakej lengkap".

Syamsul Yusof yang mengarahkan Maya dalam Munafik 2 memuji keberkesanan watak Sakinah lakonannya sekaligus memperlihatkan sisi berbeza beliau. Ditanya mengenai watak Sakinah, yang dicipta khas buatnya dalam Munafik 2, Maya berkata: "Bagi saya, watak ini bukan biasa-biasa kerana ia sangat mencabar, apatah lagi banyak babak memerlukan kekuatan fizikal. Ia memang sangat susah terutama dari segi emosi. Kalau ingin dibandingkan dengan watak yang pernah dilakonkan sebelum ini, dalam filem seram ia ada kekuatan tersendiri. Watak seumpama ini bukan mudah. Dalam filem ini, membawa watak Sakinah sangat memenatkan,". Osman Ali yang mengarahkan beliau dalam filem Ombak Rindu dan Jwanita pula berkata: "Maya seorang pelakon yang bagus dan saya suka mencabar beliau dengan watak yang unik serta berbeza untuk melihat sejauh mana kemampuan dirinya". Di awal kerjaya lakonannya, Maya mengakui "telah melakonkan watak yang tidak sesuai" dengan dirinya dan menjadikannya sebagai pengajaran buatnya dan berkata: "saya sepatutnya lebih selektif supaya kredibiliti saya sebagai pelakon tidak dipersoalkan". Wartawan, Sherelyn Goh menulis bahawa "bidang lakonan ialah cinta sejati beliau [Maya]" dan berkata: "Sekali imbas, beliau boleh disalah anggap sebagai mana-mana orang yang lalu lalang pada petang hujung minggu, dan bukannya pelakon filem seram yang luar biasa". Zaidi Mohamad dari Berita Harian menulis bahawa Maya "cukup dikenali sebagai seorang yang sangat ringkas dan tidak mengejar glamor" dan "hingga saat ini masih kekal relevan" serta "masih mampu bertahan, malah terus menjadi pilihan memegang watak utama dalam pelbagai produksi". Menulis untuk Utusan Malaysia, Syed Mussaddad Syed Mahdi mendapati bahawa beliau ialah "antara permata yang bakal dikenang dalam lipatan sejarah" dan "sebagai antara wanita paling bertuah dalam kerjaya seni".

Sebagai pelakon filem yang bertaraf kelas A, kelibat Maya amat sukar dilihat dalam banyak drama TV, kerana beliau dilihat lebih eksklusif sebagai bintang filem. Maya mengakui pernah menerima banyak tawaran berlakon drama TV, namun tidak mempunyai keinginan untuk berbuat demikian. Remy Ishak, yang pernah bekerjasama dengan Maya menerusi teater Natrah dan filem Cun! menyifatkan beliau sebagai seorang pelakon yang "sangat komited dengan kerjanya dan sukar untuk mencari pelakon sepertinya". Katanya: "Memang kita ada ramai pelakon tetapi saya puas dapat berlakon dengan Maya dan dia antara gandingan terbaik saya dalam lakonan,". Azrel Ismail yang pernah bekerjasama dengan Maya menerusi teater Puteri Santubong berkata: "Kita tahu Maya, aktres hebat, berpengalaman dan menggenggam banyak trofi terbaik dan popular, memang seram sejuk mahu mendekatinya". Beliau turut mengakui berlakon bersmama Maya dalam pementasan teater itu membuatkannya gugup. Sebagai rakan artis, Hans Isaac yang pernah mengarahkan Maya dalam teater muzikal Supermokh Sebuah Muzikal pula berkata: "Semestinya saya bangga untuk berada sebaris dengan Maya antara bintang terbaik di negara kita". Bront Palarae yang pernah berlakon bersama Maya dalam Sejoli: Misi Cantas Cinta dan Ombak Rindu berkata: "Siapa yang tak seronok dapat berlakon dengan Maya Karin [...] saya kena cari kelainan dan cari keseronokan dalam setiap kali melontarkan dialog baharu. Pastinya dengan Maya ia juga turut merangkumi nilai persahabatan kami apabila berada di luar set dan bukan semata-mata di dalam skrin,".

Maya bersama-sama dengan Nam Ron, Zahiril Adzim, Chew Kin Wah, June Lojong, Afdlin Shauki, Syamsul Yusof, Bront Palarae, Shaheizy Sam dan Puteri Balqis telah disenaraikan sebagai salah seorang dari 10 pelakon popular yang berjaya meraih pengiktirafan di peringkat global oleh Harian Metro pada Jun 2018.

Kedermawanan dan cabang lain

Populariti Maya sebagai selebriti dan penghibur terkenal turut memperlihatkan beliau menjadi buruan pelbagai produk atau jenama terkemuka sebagai model komersial TV mahupun jurucakap mereka, bermula dengan Wella pada 2001, diikuti oleh Pantene dan Halle Care pada 2004 serta Yishion (bersama Hans Isaac) pada 2005. Pada tahun 2006, beliau dilantik sebagai duta Malaysia pertama dan Power Icon untuk syarikat telekomunikasi Malaysia, Celcom. Menjelang 2007, beliau ialah satu-satunya duta wanita untuk Celcom, peranan yang dikongsi bersama selebriti lain seperti Steven Gerrard, Michael Owen, Leehom Wang, Robert Pires dan kumpulan muzik Indonesia, Peterpan. Pada tahun yang sama, Maya diberikan peranan berprestij sebagai jurucakap bagi L'Oreal Paris Malaysia dan sehingga kini mengendors produk kecantikan, kosmetik dan penjagaan kulit. Maya dipilih sebagai jurucakap bagi jenama jam terkemuka iaitu TAG Heuer, selain itu beliau juga menjadi duta dan jurucakap untuk beberapa jenama produk seperti Dulux, Brands Innershine, Nescafe, Vono, Sorella dan GreenTech Malaysia.

Maya telah berjaya melabur dalam hartanah dalam dan luar negara yang dilaporkan bernilai RM8 juta. Beliau memulakan pelaburan hartanah pada tahun 2003 dengan pembelian sebuah rumah kedai dan pangsapuri menggunakan hanya RM150,000. Beliau dilaporkan memiliki lapan hartanah, termasuk satu di London dan dua di Malaysia. Aset keseluruhan beliau telah pun melebihi RM8 juta dan hampir separuh pendapatan tahunan beliau datang daripada pulangan sewaan. Dalam temuramah, beliau berkata: "Salah satu sebab saya melabur di dalam hartanah adalah kerana perumahan adalah satu keperluan dan kita sering membaca mengenai artis-artis veteran yang tidak mempunyai rumah mereka sendiri. Saya fikir jika sesuatu berlaku, sekurang-kurangnya saya mempunyai rumah untuk tempat tinggal," Maya berkata, beliau banyak mempelajari selok belok pelaburan daripada bapanya, Gottfried Roelcke yang merupakan kakitangan Bank Dunia Indonesia.

Beliau turut berkecimpung dalam perniagaan makanan dengan mengusahakan kedai burgernya, Burger Bakar Maya Karin semasa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020. Akan tetapi, perniagaan tersebut dihentikan pada 1 Ogos 2020 kerana menurut Maya, "ada pihak yang cuba menangguk di air keruh" atas usahanya.

Pada Mac 2023, Maya melancarkan jenama minyak wanginya sendiri yang diberi nama By Maya Karin. Menurutnya, beliau sudah lama teringin menghasilkan pewangi jenama sendiri sambil mengakui amat menyukai "kenangan yang hadir bersama wangian".

Aktivisme

Maya Karin: Kehidupan awal, Kerjaya, Penerimaan dan gaya lakonan 
Maya Karin, duta alam sekitar

Didorong oleh pengaruh bapanya, Maya menunjukkan minatnya terhadap alam sekitar sejak usia muda. Beliau terlibat secara aktif dalam pelbagai kempen untuk perlindungan alam sekitar dan hidupan liar dan sering bekerja dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Tabung Alam Sedunia (WWF). Beliau juga memiliki program pemuliharaan alam sekitarnya sendiri yang dikenali sebagai MayaLovesNature, yang melibatkan pekerja seramai 22.000 pelajar daripada 14 sekolah rendah yang berbeza mensasarkan kesedaran penggunaan yang berlebihan dan pembaziran beg plastik. 2012 melihat beliau sebagai duta bagi kerajaan inisiatif kitar semula yang baru dan sebagai jurucakap bagi Institut Geologi Malaysia. Pada tahun 2015, Maya mencari 100,000 tandatangan bagi menyokong petisyen kepada kerajaan untuk memperkenalkan semula insentif cukai kepada rakyat Malaysia untuk membeli kenderaan elektrik (EV), usaha ini dilakukan oleh Maya selaku duta Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (GreenTech Malaysia) yang mengutamakan misi menghargai dan mengaplikasikan teknologi hijau.

Pada Oktober 2013, Maya bersama-sama Shaheizy Sam, DJ Yoon, Him Law dan Bii telah dilantik sebagai duta kempen Fuelled by Fans, Powered by PRIMAX anjuran Petronas yang mana mereka akan menyertai acara bersama peminat terpilih dalam usaha untuk memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.

Pada 16 April 2018, beliau bersama beberapa selebriti tempatan lain termasuk Hans Isaac, Awal Ashaari, Neelofa, Scha Al-Yahya, Joe Flizzow, Nora Danish, dan Kavita Sidhu turut serta untuk kempen menentang buli siber dan penyebaran berita palsu di media sosial yang bertemakan "Tak Pasti Jangan Kongsi. Sebar Fakta, Bukan Dusta". Maya menyatakan kebimbangan beliau mengenai pusat beli-belah yang banyak dibina berbanding taman permainan kanak-kanak.

Pada Januari 2019, Maya dilantik sebagai duta River of Life, sebuah program jangkauan awam yang dimulakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan Malaysia yang bertujuan untuk mengubah Sungai Klang menjadi kawasan pantai yang bertenaga dan boleh didiami dengan nilai ekonomi yang tinggi. #MayaRiverChallengenya yang popular bermula apabila Maya memuat naik fotonya mencelupkan kepalanya ke dalam aliran ke media sosial, yang kemudiannya ditiru oleh ramai orang.

Dari 10 sehingga 24 Mei 2019, Maya mengedarkan 2,500 beg mesra alam ‘Aku Tak Nak Plastik’ yang mengandungi bekas makanan kepada pengunjung bazar Ramadan Kampung Baru sempena Kempen Ramadan Hijau sebelum berbuka puasa di Halaman Warisan. Kempen tersebut dianjurkan oleh EcoKnights dengan kerjasama Program Komuniti ROL bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pengurangan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian. Pada masa yang sama, Maya turut menyeru peniaga makanan supaya menghentikan penjualan lemang periuk kera kerana spesies tumbuhan yang berbentuk seperti karung digunakan untuk hidangan itu semakin pupus kerana permintaan tinggi semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau merupakan antara individu yang meluahkan ketidakpuasan berhubung bekalan air di beberapa kawasan terpaksa dihentikan ekoran pencemaran yang berlaku di Rawang, Selangor sehingga menjejaskan kehidupan lebih sejuta penduduk di Lembah Klang. Dalam temubual eksklusif bersama Kosmo! pada September 2020, Maya berkata: "Jujur saya sangat kecewa dengan isu bekalan air putus dan kejadian banjir yang berlaku di Lembah Klang baru-baru ini. Kekecewaan saya itu bukan sahaja kerana bekalan air dihentikan tetapi lebih kepada perasaan marah terhadap pihak yang telah mencemarkan air sungai".

Kehidupan peribadi

Maya berkahwin dengan guru dan pendidik warga United Kingdom iaitu Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali pada 14 Ogos 2008 di Bellagio, Itali dan kemudiannya mengadakan majlis resepsi di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong pada 26 Ogos. Bagaimanapun, beliau dan pasangannya telah bercerai pada Jun 2010 selepas 2 tahun hidup bersama.

Namun sesuatu telah terjadi pada Ogos 2017 bahawa Maya pernah mendedahkan bahawa dirinya pernah menjadi mangsa buli siber di laman sosial Facebook dan juga di Instagram di mana ia telah diganggu oleh beberapa individu tidak dikenalinya dan juga sepertimana diketahui pekara itu telah berterusan selama tiga bulan.

Beliau pernah mendedahkan bahawa telah mengalami gangguan keresahan selama 8 tahun. Menurutnya, episod paling teruk yang pernah dirasainya ialah mengalami perasaan gementar sehingga tangannya menggigil dan mengakui pernah gagal dalam uji bakat sekali gus terpaksa melupakan peluang untuk membintangi filem Crazy Rich Asians dan teater muzikal Puteri Gunung Ledang.

Pada Disember 2022, Maya mendedahkan telah mengalami serangan panik sewaktu menjadi penyampai anugerah di Festival Filem Malaysia ke-32 yang disiarkan secara langsung di TV2. Hal ini menyebabkan beliau hampir pitam dan menggigil ketika membacakan anugerah bagi Kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada ketika itu. Maya bagaimanapun berkata, pelakon dan rakan artis, Faizal Hussein yang turut menjadi pasangan penyampai anugerah menyelamatkannya daripada terjatuh di pentas. Beliau dinyatakan berkata kepada Astro Awani: "Keadaan saya semakin baik. Namun, saya masih trauma. Sudah tentu saya berharap ia tidak pernah berlaku,".

Filemografi

Kunci
Menunjukkan filem/drama yang belum dikeluarkan

Filem

Tahun Tajuk Watak Catatan
1999 Entrapment Tetamu Filem pertama Hollywood sebagai pelakon tambahan
2001 Seri Dewi Malam Seri
No Problem Rosnah
2003 Mr. Cinderella 2 Anis
2004 Pontianak Harum Sundal Malam Meriam / Maria / Pontianak
7 Perhentian Dr. Maya
2005 Pontianak Harum Sundal Malam II Meriam / Maria / Pontianak
2007 Waris Jari Hantu Tina
1957: Hati Malaya Salmi / Normala
Anak Halal Johanna
2008 Duyung Puteri / Duyung
Punggok Rindukan Bulan Umi
2009 Pisau Cukur Bella
2010 Magika Bunian
Cun! Luna Latisha
2011 Hikayat Merong Mahawangsa Warga Goa Pelakon sampingan
Ombak Rindu Izzah
2012 Lagenda Budak Setan 2: Katerina Katerina
2014 Sejoli: Misi Cantas Cinta Nur Nigina Halid
Lagenda Budak Setan 3: Kasyah Katerina
2015 Nota Erin
Jwanita Jwanita
2018 Munafik 2 Sakinah
2020 Bulan dan Pria Terhebat Tony
Alone Penganalisis Perubatan Penampilan kedua filem Hollywood sebagai penampilan khas
2021 Olympic Dream Mak Cik Fatimah
2022 Abang Long Fadil 3 Ejen Maya
Alam: Kingdom of Plants Meela
2024 The Experts Selamatkan Raya Penari Filem pendek, penampilan khas
The Experts Miranda Rahman
TBA Telaga Suriram Rohaya
Munafik 3 Sakinah

Drama

Tahun Tajuk Watak Saluran TV
2007–2008 Anak Pontianak Meriam / Maria TV3
2009 Waris Tina TV2

Televisyen

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan
2000–2001 Wavelength Pengacara TV3
2004 Ratu Sehari Astro Ria
2004–2007 Channel [V] Channel [V]
2005 Beauty Secrets From The East TV3
2010 Nona
2016 JoMovie Artis jemputan Astro Citra
Sepahtu Reunion Live Puteri Raja Astro Warna Artis Jemputan: Episod "Lada Putih Lada Hitam"
2017 Maya Artis Jemputan: Episod "Dunia Baru"
2018 Bocey & Friends Live Artis Jemputan
2019 Sepahtu Reunion Live Zara Artis Jemputan: Episod "Keindahan Yang Hilang"
2020 Zureen Artis Jemputan: Episod "Jangan Tinggal Daku"
I Can See Your Voice Malaysia (musim 3) Panelis jemputan TV3

Teater

Tahun Tajuk
1999 In The Mind's Eye
2009 Natrah
2010 Natrah 2
2013 Supermokh Sebuah Muzikal
2014 Supermokh Sebuah Muzikal: Restaging
2021 Puteri Santubong The Warrior Princess

Muzik video

Tahun Tajuk Watak Catatan
2008 "Here In My Home" Dirinya sendiri Lagu khas untuk Malaysian Artistes For Unity

Diskografi

Album studio

Tajuk Maklumat album
Erti Cinta
Bukan Qalamaya
Teka-Teki

Single

Tajuk Tahun
"Erti Cinta" 2001
"Bukan Qalamaya" 2004
"Bintang Syurga" 2013
"Teka-Teki" 2014
"Gateway" (bersama Kaka Azraff) 2018

Anugerah dan pencalonan

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
2001 Festival Filem Malaysia ke-14 Pelakon Harapan Wanita Terbaik Seri Dewi Malam Tercalon
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 Artis Baru Popular Menang
2002 Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan Artis Baru Terbaik Menang
Anugerah Industri Muzik ke-10 Artis Baru Terbaik Erti Cinta Tercalon
Muzik Video Terbaik Tercalon
2004 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004 Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon
Festival Filem Malaysia ke-17 Pelakon Wanita Terbaik Pontianak Harum Sundal Malam Tercalon
Festival Filem Asia Pasifik ke-49 Menang
2005 Anugerah Skrin 2005 Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Tercalon
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 Pelakon Filem Wanita Popular Menang
Espano Terrror & Fantasy Film Festival (Sepanyol) Pelakon Wanita Terbaik Pontianak Harum Sundal Malam II Menang
2006 Festival Filem Malaysia ke-19 Tercalon
Anugerah Skrin 2006 Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Tercalon
Buzz Editor's Choice Awards Best VJ Menang
2007 Festival Filem Malaysia ke-20 Pelakon Wanita Terbaik Waris Jari Hantu Tercalon
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon
2008 Menang
Festival Filem Malaysia ke-21 Pelakon Wanita Terbaik Anak Halal Menang
Anugerah Skrin 2008 Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Tercalon
Anugerah Oskar Malaysia ke-5 Aktres Filem Pilihan Menang
2009 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon
2010 Anugerah Stail EH! Selebriti Wanita Bentuk Badan Cantik Tercalon
Festival Filem Malaysia ke-23 Pelakon Wanita Terbaik Pisau Cukur Tercalon
Anugerah Skrin 2010 Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Tercalon
Anugerah Shout! 2010 Hot Chick Award Tercalon
2011 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon
Festival Filem Malaysia ke-24 Pelakon Wanita Terbaik Cun! Tercalon
2012 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 Pelakon Filem Wanita Popular Menang
Anugerah Shout! 2012 Best On the Screen Chemistry (bersama Aaron Aziz) Ombak Rindu Tercalon
Majlis Anugerah Pengkritik Filem Kuala Lumpur Pelakon Wanita Terbaik Tercalon
Anugerah Blokbuster Anugerah Heroin Terhebat Tercalon
Anugerah Skrin 2012 Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Menang
2013 Bella Awards Bella On-screen Tercalon
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 Pelakon Filem Wanita Popular Tercalon
Festival Filem Malaysia ke-25 Pelakon Wanita Terbaik Ombak Rindu Menang
2014 Anugerah Lawak Warna 2014 Pelakon Komedi Wanita Terbaik (Filem) Sejoli: Misi Cantas Cinta Menang
Anugerah Skrin 2014 Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Tercalon
2015 Festival Filem Malaysia ke-27 Pelakon Wanita Terbaik Tercalon
2016 Anugerah MeleTOP Era Bintang Filem MeleTOP Tercalon
Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2016 Artis Ikon Respek Tercalon
Festival Filem Malaysia ke-28 Pelakon Wanita Terbaik Jwanita Tercalon
Nota Tercalon
Anugerah Skrin 2016 Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Menang
2019 Festival Filem Malaysia ke-30 Pelakon Wanita Terbaik Munafik 2 Tercalon
Anugerah Skrin 2019 Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Tercalon
2020 UK Ramsgate International Film & TV Festival Anugerah Kepujian Pelakon Wanita Terbaik (Filem) Olympic Dream Menang
2022 McM Global Awards 2022 Kecemerlangan Industri Hiburan Tahun Ini Dirinya sendiri Menang
2023 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2023 Aktres Filem Popular Abang Long Fadil 3 Tercalon

Rujukan

Pautan luar

Anugerah dan pencapaian
Didahului oleh
Vanidah Imran
menerusi The Red Kebaya
Festival Filem Malaysia - Aktres Terbaik
2008
menerusi Anak Halal
Diikuti oleh:
Liyana Jasmay
menerusi Papadom
Didahului oleh
Ria Irawan
menerusi Biola Tak Berdawai
Festival Filem Asia Pasifik- Aktres Terbaik
2004
menerusi Pontianak Harum Sundal Malam
Diikuti oleh:
Tiara Jacquelina
menerusi Puteri Gunung Ledang
Didahului oleh
Intan Sarafina
Anugerah Bintang Popular Berita Harian- Artis Baru Wanita Popular
2001
Diikuti oleh:
Elyana
Didahului oleh
Erra Fazira
Anugerah Bintang Popular Berita Harian- Pelakon Filem Wanita Popular
2005
Diikuti oleh:
Fasha Sandha
Didahului oleh
Fasha Sandha
Anugerah Bintang Popular Berita Harian- Pelakon Filem Wanita Popular
2008
Diikuti oleh:
Liyana Jasmay

Tags:

Maya Karin Kehidupan awalMaya Karin KerjayaMaya Karin Penerimaan dan gaya lakonanMaya Karin Kedermawanan dan cabang lainMaya Karin AktivismeMaya Karin Kehidupan peribadiMaya Karin FilemografiMaya Karin DiskografiMaya Karin Anugerah dan pencalonanMaya Karin RujukanMaya Karin Pautan luarMaya KarinAbang Long Fadil 3Anak HalalCun!JermanJwanitaMunafik 2NotaOmbak Rindu (filem)Pisau CukurPontianak Harum Sundal MalamSejoli: Misi Cantas CintaSeri Dewi MalamWaris Jari Hantu

🔥 Trending searches on Wiki Bahasa Melayu:

Sifat-sifat AllahProton WiraSultan Sharafuddin Idris ShahCuti umum di MalaysiaSabahPendidikan di IndonesiaAffendy StephensBadarawuhi Di Desa PenariBella DallyMenteri Kesihatan MalaysiaBahasa MaduraIsmail Mohamed SaidJabatan Perangkaan MalaysiaSekolah Menengah Kejuruan Negeri 26 JakartaGerakan Aceh MerdekaMuhammad bin Idris al-SyafiiChempaka Emalin PahaminJabatan Kebajikan Masyarakat MalaysiaErry PutraBahasa InggerisPiala ThomasMaya KarinSejarah MalaysiaPegawai WaranFadillah YusofSiti HariesaSenarai Surah Al-QuranSelawatTentang Hati DiaKata hubung (bahasa Melayu)Qistina KhaledSekali Lagi Cinta KembaliHero RemajaLaman UtamaDidi AstillahKomanderMalayan UnionIntan NajuwaKawasan pilihan raya di MalaysiaMalaysiaKhairulamingShakilla KhoririPerdana Menteri MalaysiaKetumTikTokPenerbangan 370 Penerbangan MalaysiaFrekuensi radio di SelangorIskandar ChempakaPrabowo SubiantoAyamKesan perubahan iklimSistem pembiakan perempuanDewan Undangan Negeri PerlisRedza RosliGol & Gincu (filem)Hari Raya AidiladhaHulu Langat7 Hari Mencintaiku (musim 3)Imbuhan kata nama (bahasa Melayu)SyasyaPerlembagaan MalaysiaSingapuraMaria OzawaBatik Air MalaysiaKata adjektifDewan Rakyat MalaysiaAgama BuddhaDollaPandemik COVID-19 di MalaysiaKelurJamal AbdillahRindu Kasih 2Pasukan Kadet Bersatu MalaysiaStadium Nasional Bukit JalilIsmail Sabri YaakobMajlis Raja-RajaPembimbing Rakan SebayaJabatan Imigresen Malaysia🡆 More