Mumbai

Mumbai (Bahasa Marathi: मुंबईcode: mr is deprecated , Mumbaī, IPA:  ( dengar)), dahulunya dikenali dengan nama rasmi Bombay, merupakan ibu negeri Maharashtra di India, dan juga bandaraya yang paling ramai penduduknya di India, serta bandaraya kedua teramai penduduk di dunia, dengan kira-kira 14 juta orang.

Di samping kawasan-kawasan bandar berdekatan, termasuk bandaraya Navi Mumbai dan Thane, Mumbai adalah salah sebuah kawasan bandar terbesar di dunia. Mumbai yang terletak di pantai barat India mempunyai pelabuhan semula jadi yang dalam. Pada 2009, Mumbai meraih gelaran bandaraya dunia alfa. Mumbai juga bandaraya terkaya di India, dan menikmati KDNK tertinggi di kalangan semua bandaraya di Asia Selatan dan Tengah.

Mumbai (मुंबई)
—  Bandaraya metropolitan  —
Mumbai terletak di pantai barat India, kira-kira satu pertiga perjalanan ke arah hujung selatan. Ia terletak di sebelah barat negeri Maharashtra, yang meliputi sekitar suku kedua pantai barat (dari utara), dan mencapai pedalaman yang lebih kurang dua kali panjang pesisir pantainya.
Mumbai
Mumbai (मुंबई)
Lokasi Mumbai (मुंबई)
di Maharashtra
Koordinat 18°58′30″N 72°49′33″E / 18.97500°N 72.82583°E / 18.97500; 72.82583 72°49′33″E / 18.97500°N 72.82583°E / 18.97500; 72.82583
Negara Mumbai India
Negeri Maharashtra
Daerah Bandaraya Mumbai
Subbandar Mumbai
Pesuruhjaya Perbandaran Swadhin Kshatriya
Mayor Shraddha Jadhav
Penduduk

Kepadatan
Metro

13,830,884 (#1) (2010)

22,922/km2 (59,368/sq mi)
21,900,967 (#1) (2010)

Zon masa IST (UTC+5:30)
Keluasan

• Aras tinggi

437.71 km2 (169 sq mi)

14 m (46 kaki)

Kod
  • • Pinkod • 400 xxx
    • Telefon • +9122-XXXX XXXX
    • UN/LOCODE • IN BOM
    • Kenderaan • MH 01—03
Laman web www.mcgm.gov.in

Tujuh buah pulau yang membentuk Mumbai dahulunya adalah tempat tinggal masyarakat koloni nelayan. Selama ratusan tahun, pulau-pulau tersebut dikuasai oleh empayar tempatan yang bersilih ganti sebelum diserahkan kepada Portugis, dan selepas itu Syarikat Hindia Timur British. Pada pertengahan abad ke-18, Mumbai dibentuk semula oleh pihak British dengan projek kejuruteraan awam besar-besaran, sehingga terbit sebagai sebuah bandar perdagangan yang penting. Pembangunan ekonomi dan pendidikan mencirikan kota ini pada abad ke-19. Mumbai menjadi pangkalan yang kuat untuk gerakan kemerdekaan India pada awal abad ke-20. Apabila India merdeka pada tahun 1947, bandaraya tersebut digabungkan dalam Negeri Bombay. Pada 1960, ekoran gerakan Samyukta Maharashtra, negeri baru Maharashtra dicipta dengan Bombay sebagai ibu negeri. Pada tahun 1996, Bombay mendapat nama barunya iaitu Mumbai.

Mumbai merupakan pusat perdagangan dan hiburan India yang menjana 5% KDNK negara ini, serta menjelaskan 25% keluaran perindustrian, 70% perdagangan maritim di India (Mumbai Port Trust & JNPT), dan 70% urusniaga modal ke dalam ekonomi India. Mumbai adalah tempat terletaknya institusi kewangan terpenting di India seperti Bank Rizab India, Bursa Saham Bombay, Bursa Saham Kebangsaan India dan ibu pejabat bagi berbilang syarikat India dan perbadanan multinasional. Mumbai juga menempatkan institut nuklear terunggul di India, seperti BARC, NPCL, IREL, TIFR, AERB, AECI, dan Jabatan Tenaga Atom. Mumbai juga terkenal sebagai pusat perusahaan filem dan televisyen berbahasa Hindi dan Marathi, yang dikenali dengan timangan Bollywood. Peluang perniagaan di Mumbai dan juga potensi menawarkan taraf hidup yang lebih tinggi, menarik ramai penghijrah dari merata India, sehingga menjadikan bandaraya ini berbilang masyarakat dan budaya.

Sejarah

Sejarah awal

Mumbai 
Gua Kanheri memainkan peranan sebagai pusat agama Buddha di India Barat pada zaman purba

Mumbai didirikan di atas bekas gugusan tujuh pulau, iaitu Pulau Bombay, Parel, Mazagaon, Mahim, Colaba, Worli, dan Pulau Old Woman (juga dikenali sebagai Little Colaba). Endapan zaman Pleistosen yang ditemui along kawasan pantai sekitar Kandivali di Mumbai utara pada tahun 1939, menunjukkan bahawa pulau-pulau ini telah diduduki oleh manusia sejak Zaman Batu lagi. Tidak pasti bila kepulauan ini mula-mula diduduki. Mungkin selewat-lewatnya awal Zaman Masihi (2000 tahun dahulu), masyarakat nelayan Koli mula menduduki pulau-pulau ini.

Pada abad ke-3 SM, kepulauan ini tertakluk oleh Empayar Maurya yang tengah meluaskan wilayah ke arah selatan di bawah pemerintahan Ashoka dari Magadha. Gua Kanheri di Borivali digali pada pertengahan abad ke-3 SM, lalu memainkan peranan sebagai pusat agama Buddha yang penting di India Barat pada zaman dulu. Kota ini ketika itu dikenali sebagai Heptanesia (Tujuh Pulau dalam bahasa Yunani Kuno) oleh ahli geografi Yunani, Ptolemy pada 150 M.

Mulai abad ke-2 SM hingga abad ke-9 M, penguasaan kepulauan ini bertukar tangan antara empayar-empayar tempatan berikut, iaitu: Satavahana, Kshatrapa Barat, Abhira, Vakataka, Kalachuri, Konkan Maurya, Chalukya dan Rashtrakuta, sebelum dikuasai oleh wangsa Silhara mulai tahun 810 hingga 1260. Antara binaan-binaan tertua di kota yang dibina sepanjang zaman ini termasuk Gua Jogeshwari (520 – 525), Gua Elephanta (abad ke-6 hingga ke-7), Kuil Walkeshwar (abad ke-10), dan Banganga Tank (abad ke-12).

Raja Bhimdev mengasaskan kerajaannya di kawasan ini pada akhir abad ke-13, dan menubuhkan ibu kotanya di Mahikawati (kini Mahim). Antara penduduk terawal yang dikenali di kota ini, golongan Pathare Prabhu dibawa oleh Bhimdev ke Mahikawati dari Saurashtra di Gujarat sekitar tahun 1298. Kesultanan Delhi mengilhakkan pulau-pulau tersebut pada tahun 1347–48, lalu menguasainya hingga tahun 1407. Ketika ini, kepulauan Bombay ditadbir oleh Gabenor Muslim dari Gujarat yang dilantik oleh Kesultanan Delhi.

Kepulauan itu kemudian ditadbir oleh sebuah Kesultanan Gujarat bebas yang ditubuhkan pada tahun 1407. Di bawah naungan Kesultanan, banyak masjid yang dibina, terutamanya Haji Ali Dargah di Worli yang dibina sebagai penghormatan kepada wali Islam Haji Ali pada tahun 1431. Pada tahun 1429 hingga 1431, kepulauan ini menjadi punca perbalahan antara Kesultanan Gujarat dan Kesultanan Bahamani dari Deccan. Pada tahun 1493, Bahadur Khan Gilani dari Kesultanan Bahamani gagal dalam cubaan menakluki pulau-pulau itu.

Zaman Eropah

Ditubuhkan pada tahun 1526, Empayar Mughal, merupakan kuasa terbesar di Asia Selatan pada pertengahan abad ke-16. Oleh sebab semakin menggeruni kekuasaan maharaja Mughal Humayun, Sultan Bahadur Shah dari Kesultanan Gujarat terpaksa menandatangani Perjanjian Bassein dengan Empayar Portugis pada 23 Disember 1534. Menurut perjanjian itu, ketujuh-tujuh pulau Bombay, bandar strategik Bassein yang berdekatan dan wilayah-wilayah tanggungannya ditawarkan pada Portugis. Wilayah-wilayah tersebut akhirnya bertukar tangan peada 25 Oktober 1535. Pihak Portugis banyak terlibat dalam penubuhan dan peluasan mazhab-mazhab Katolik Rom di Bombay.

Antara gereja-gereja Katolik tertua di bandaraya Mumbai seperti Gereja St. Michael di Mahim (1534), Gereja St. John the Baptist di Andheri (1579), Gereja St. Andrew di Bandra (1580), dan Gereja Gloria di Byculla (1632), merupakan tinggalan zaman Portugis. Pada 11 Mei 1661, perjanjian perkahwinan antara Charles II dari England dan Catarina dari Braganza, puteri Raja João IV of Portugal, meletakkan pulau-pulau Mumbai di bawah penguasaan Empayar British, antara hantara Catarina kepada Charles. Bagaimanapun, Salsette, Bassein, Mazagaon, Parel, Worli, Sion, Dharavi, dan Wadala masih milik Portugis. Pada tahun 1665 dan 1666, pihak British berjaya memperoleh Mahim, Sion, Dharavi, dan Wadala.

Seterusnya, pulau-pulau ini dipajakkan kepada Syarikat Hindia Timur British pada tahun 1668 untuk £10 setahun oleh Piagam Diraja 27 Mac 1668. Bilangan penduduk meningkat dari 10,000 orang pada tahun 1661, menjadi 60,000 orang pada tahun 1675. Pada Oktober 1672, pulau-pulau ini diserang oleh Yakut Khan, laksamana Siddi dari Empayar Mughal, kemudian menerima serangan dari Rickloffe van Goen, Gabenor Jeneral Hindia Belanda pada 20 Februari 1673, dan laksamana Siddi Sambal pada 10 Oktober 1673.

Pada tahun 1687, Syarikat Hindia Timur British memindahkan ibu pejabatnya dari bandar Surat ke Bombay yang kemudiannya menjadi ibu pejabat Kepresidenan Bombay. Selepas itu, Bombay dijadikan pusat segala penubuhan Syarikat di India. Menjelang akhir abad ke-17, pulau-pulau ini sekali lagi menerima serangan dari Yakut Khan pada tahun 1689–90. Kehadiran Portugis di Bombay berakhir apabila kerajaan Maratha pimpinan Peshwa Baji Rao I menawan Salsette pada tahun 1737, dan Bassein pada tahun 1739.

Pada pertengahan abad ke-18, Bombay mulai berkembang menjadi sebuah bandar perdagangan utama, serta menyambut kedatangan penghijrah secara besar-besaran dari seluruh India. Kemudian, pihak British menduduki Salsette pada 28 Disember 1774. Ekoran Perjanjian Surat (1775), pihak British secara rasminya menguasai Salsette dan Bassein, sehingga mencetuskan Perang Inggeris-Maratha Pertama. Pihak British mampu mempertahankan Salsette dari genggaman pihak Maratha tanpa keganasan menerusi Perjanjian Purandar (1776), diikuti Perjanjian Salbai (1782) yang ditandatangani untuk meleraikan to Perang Inggeris-Maratha Pertama.

Mumbai 
Kapal-kapal di Pelabuhan Bombay (c. 1731). Bombay bangkit sebagai bandar perdagangan penting pada pertengahan abad ke-18

Mulai tahun 1782, bandaraya Mumbai dibentuk semula dengan projek-projek kejuruteraan awam besar-besaran yang bertujuan menggabungkan ketujuh-tujuh pulau menjadi sebuah daratan tercantum. Projek yang dikenali sebagai Hornby Vellard ini siap pada tahun 1784. Pada tahun 1817, Syarikat Hindia Timur Belanda pimpinan Mountstuart Elphinstone menumpaskan Baji Rao II, Peshwa terakhir Maratha dalam Pertempuran Khadki. Berikutan kekalahan Baji Rao II, hampir seluruh kawasan Deccan jatuh dalam ketuanan British, lalu digabungkan dalam Kepresidenan Bombay. Kejayaan kempen British di Deccan menyaksikan kebebasan Bombay dari segala ancaman kuasa-kuasa tempatan.

Pada tahun 1845, ketujuh-tujuh pulau digabungkan menjadi sebuah daratan tunggal oleh projek Hornby Vellard. Pada 16 April 1853, landasan keretapi penumpang sulung di India dibuka untuk menghubungkan Bombay dengan bandar Thane yang berdekatan. Ketika Perang Saudara Amerika (1861–1865), bandaraya ini menjadi pasaran perdagangan kapas utama di dunia, sehingga menyemarakkan ekonomi yang turut menaikkan martabat bandaraya ini.

Pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 mengubah Bombay menjadi sebuah pelabuhan laut terbesar di Laut Arab. Pada September 1896, Bombay dilanda wabak hawar bubon yang dianggarkan meragut 1,900 orang seminggu. Kira-kira 850,000 orang berpindah keluar dari Bombay, menyebabkan industri tekstil teruk terjejas. Sebagai ibu kota Kepresidenan Bombay, Bombay menyaksikan gerakan kemerdekaan India, terutamanya Gerakan Tinggalkan India pada rahun 1942 dan Dahagi Tentera Laut Diraja India pada tahun 1946.

India merdeka

Mumbai 
Tugu peringatan Hutatma Chowk yang dibina sebagai penghormatan kepada para korban pergerakan Samyukta Maharashtra.

Setelah India merdeka pada tahun 1947, wilayah Kepresidenan Bombay yang dikawal oleh India distrukturkan semula menjadi Negeri Bombay. Kawasan Negeri Bombay meluas setelah menyepadukan beberapa negara bekas wilayah raja yang menyertai kesatuan India. Ekoran ini, bandaryaa ini menjadi ibu negeri Negeri Bombay. Pada April 1950, batas Perbandaran Bombay diluaskan dengan menggabungkan Daerah Subbandar Bombay dengan Bandaraya Bombay untuk membentuk Perbadanan Perbandaran Bombay Raya.

Gerakan Samyukta Maharashtra yang bertujuan membentuk negeri Maharashtra yang berasingan termasuk kawasan Bombay memuncak pada 1950-an. Dalam perbahasan Lok Sabha pada tahun 1955, parti Kongres menuntut agar bandaraya itu dibentuk sebagai negeri bandar yang autonomi. Jawatankuasa Penyusunan Semula Negeri mencadangkan negeri dwibahasa untuk MaharashtraGujarat dengan Bombay sebagai ibu negeri dalam laporannya pada tahun 1955. Jawatankuasa Warga Bombay, sebuah kumpulan penyokong yang terdiri daripada para usahawan Gujarat yang melobi demi kemerdekaan Bombay.

Berikutan peristiwa tunjuk perasaan anjuran gerakan yang menyebabkan 105 orang terkorban, Negeri Bombay disusun semula mengikut sempadan bahasa pada 1 Mei 1960. Kawasan berbahasa Gujarat di Negeri Bombay dipecahkan menjadi negeri Gujarat. Negeri Maharashtra yang beribunegerikan Bombay dibentuk dengan menggabungkan kawasan berbahasa Marathi di Negeri Bombay, lapan daerah dari Wilayah Tengah dan Berar, lima daerah dari Negeri Hyderabad, dan berbilang bekas wilayah raja yang terangkum dalamnya. Sebagai peringatan kepada korban gerakan Samyukta Maharashtra, Air Pancutan Flora dinamakan semula sebagai Hutatma Chowk (Dataran Syahid), diiringi sebuah tugu yang baru.

Puluhan tahun berikutnya menyaksikan peluasan bandaraya Bombay dan pinggir bandarnya. Pada akhir 1960-an, Nariman Point dan Cuffe Parade ditebus guna dan dibangunkan. Lembaga Pembangunan Kawasan Metropolitan Bombay (Bombay Metropolitan Region Development Authority, BMRDA) ditubuhkan pada 26 Januari 1975 oleh kerajaan Maharashtra sebagai lembaga kemuncak untuk perancangan dan penyelarasan pelbagai aktiviti di kawasan metropolitan Bombay. Pada Ogos 1979, perbandaran saudara New Bombay ditubuhkan oleh Perbadanan Pembangunan Bandaraya dan Industri (CIDCO) sepanjang daerah-daerah Thane dan Raigad untuk membantu menempatkan dan mengawal kependudukan Bombay. Industri tekstil di Bombay hampir lesap berikutan Mogok Tekstil Besar Bombay pada tahun 1982 apabila hampir 250,000 pekerja bermogok dari lebih 50 kilang kain.

Pelabuhan Jawaharlal Nehru yang kini menguruskan 55–60% muatan kontena India, ditempah pada 26 Mei 1989 di Nhava Sheva dengan harapan meredakan kesesakan di Pelabuhan Bombay di samping berfungsi sebagai pelabuhan hab bandaraya ini. Pada 1 Oktober 1990, daerah Bombay Raya dicabangkan menjadi dua daerah hasil pendapatan, iaitu Bombay City dan Bombay Suburban, biarpun masih ditadbir oleh Pentadbiran Perbandaran yang sama.

Sejak 1990-an, bandaraya yang sangat damai sekarang ini semakin mengalami insiden keganasan. Berikutan perobohan Masjid Babri di Ayodhya, Bombay digemparkan oleh rusuhan Hindu-Muslim pada tahun 1992–93 yang menelan lebih 1,000 nyawa. Pada 12 Mac 1993, serantaian 13 pengeboman terselaran di beberapa mercu tanda bandaraya yang didalangi oleh puak pelampau Islam dan kongsi gelap setempat mengakibatkan 257 orang mati dan lebih 700 orang tercedera. Pada tahun 2006, 209 orang terkorban manakala lebih 700 orang lagi cedera apabila tujuh ledakan bom berlaku dalam rangkaian tren komuter bandaraya.

Pada tahun 2008, serantaian 10 serangan terselaras oleh pengganas bersenjata dari Pakistan selama tiga hari mengakibatkan 173 kematian, 308 orang cedera, serta kemusnahan teruk pada dua mercu tanda warisan dan hotel berprestij. Kini, Mumbai merupakan pusat perdagangan India yang turut berubah menjadi pusat kewangan sedunia. Selama berpuluh-puluh tahun, ia menjadi tempat berpangkalan untuk perkhidmatan kewangan utama India, dan juga tumpuan untuk pembanguna prasarana dan pelaburan swasta. Dari sebuah masyarakat nelayan purba dan pusat perdagangan zaman kolonial, Mumbai berubah menjadi bandaraya terbesar di Asia Selatan dan salah satu pusat industri perfileman terunggul di dunia.

Geografi

Mumbai terdiri daripada dua kawasan berbeza, iaitu daerah Bandaraya Mumbai dan daerah Subbandar Mumbai, yang membentuk dua 'daerah hasil' berasingan di negeri Maharashtra. Kawasan daerah bandarayanya juga dikenali sebagai Island City (Kota Pulau) atau Mumbai Selatan. jumlah keluasan Mumbai ialah 603.4 km2 (233 bt2), iaitu kawasan seluas 437.71 km2 (169 bt2) (kota pulau 67.79 km2 (26 bt2) dan daerah subbandar 370 km2 (143 bt2)) yang ditadbir oleh Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai (BMC), dan selebihnya di bawah Kementerian Pertahanan, Mumbai Port Trust, Suruhanjaya Tenaga Atom dan Taman Negara Borivali, semuanya di luar bidang kuasa BMC.

Mumbai terletak di muara Sungai Ulhas di pantai barat India, di kawasan pesisir yang dikenali sebagai Konkan. Ia terletak di Pulau Salsette yang dikongsinya bersama daerah Thane. Mumbai bersempadan dengan Laut Arab di barat. Sebahagian besar bandaraya terletak pada aras tinggi sekitar 10 m (33 ka) hingga 15 m (49 ka) di atas paras laut; atau aras tinggi puratanya 14 m (46 ka). Kawasan Mumbai Utara (Salsette) pula berbukit-bukau, dan puncak tertinggi di bandaraya ini terletak pada aras 450 m (1,476 ka) di banjaran Powai-Kanheri di Salsette. Sebahagian Taman Negara Sanjay Gandhi (Taman Negara Borivali) terletak di daerah subbandar Mumbai, dan sebahagian lagi di daerah Thane, dengan jumlah keluasan lebih 103.09 km2 (39.80 bt2).

Selain Empangan Bhatsa, terdapat enam tasik utama yang membekalkan air kepada bandaraya: Vihar, Vaitarna Rendah, Vaitarna Tinggi, Tulsi, Tansa dan Powai. Tasik Tulsi dan Tasik Vihar terletak di Taman Negara Borivili dalam lingkungan sempadan bandaraya. Bekalan dari tasik Powai yang juga terletak dalam lingkungan bandaraya, hanya digunakan untuk tujuan pertanian dan industri. Tiga sungai kecil, iaitu Dahisar, Poinsar (atau Poisar) dan Ohiwara (atau Oshiwara) berpunca dari taman itu, manakala Sungai Mithi berpunca dari Tasik Tulsi dan mengumpul air yang melimpah dari Tasik-Tasik Vihar dan Powai. Garis tepi laut bandaraya bersuak dengan banyak sekali caruk dan teluk yang terbantang dari Caruk Thane di timur hingga Madh Marve di barat. Pantai timur Pulau Salsette diliputi paya bakau yang luas dan memiliki biodiversiti yang tinggi, manakala pantai baratnya banyak berpasir dan berbatu-batuan.

Litupan tanah di kawasan bandaraya banyak berpasir kerana dekatnya dengan laut. Di pinggir bandar, litupan tanah banyak lanar dan gemburnya. Batuan di bawah kawasan ini terdiri daripada aliran basalt Deccan hitam yang terdiri daripada varian berasid dan berbes yang berasal dari zaman-zaman Batu Kapur akhir dan Eosen awal. Mumbai terletak di zon aktif seismik yang dilalui 23 garis sesar kawasan sekitar. Kawasan ini dikelaskan sebagai kawasan Zon III Seismik, yang bererti jangkaan gempa bumi sehingga magnitud 6.5 pada skala Richter.

Iklim

Mumbai 
Suhu dan kerpasan purata di Mumbai

Mumbai mempunyai iklim tropika, atau lebih tepat lagi iklim lembap kering tropika mengikut pengelasan iklim Köppen, dengan tujuh bulan kekeringan dan kemuncak hujan pada bulan Julai. Musim sejuk dari Disember hingga Februari disusuli oleh musim panas dari Mac hingga Jun. Tempoh Jun hingga September pula membentuk musim monsun barat daya, manakala bulan October dan November pula adalah musim pasca monsun.

Mulai Jun hingga September, hujan monsun barat daya melanda bandaraya. Curahan hujan pra-monsun turut diterima pada bulan Mei. Sekali-sekala, hujan monsun timur laut berlaku pada Oktober dan November. Curahan hujan tahunan maksimum yang pernah dicatat adalah 3,452 milimeter (135.9 in) pada tahun 1954. Curahan hujan tertinggi yang tercatat dalam satu hari adalah 944 milimeter (37.17 in) pada 26 Julai 2005. Jumlah curahan hujan purata adalah 2,146.6 milimeter (84.51 in) untuk Kota Pulau, dan 2,457 milimeter (96.73 in) untuk pinggir bandar.

Purata suhu tahunan adalah 27.2 °C (81.0 °F), manakala purata kerpasan tahunan adalah 216.7 sentimeter (85.31 in). Di Kota Pulau, purata suhu maksimum adalah 31.2 °C (88.2 °F), manakala purata suhu minimun adalah 23.7 °C (74.7 °F). Di pinggir bandar, min suhu maksimum harian adalah dari 29.1 °C (84.4 °F) hingga 33.3 °C (91.9 °F), manakala min suhu minimum harian adalah 16.3 °C (61.3 °F) hingga 26.2 °C (79.2 °F). Suhu tertinggi yang pernah dicatat adalah 40.2 °C (104.4 °F) pada 28 Mac 1982, manakala suhu terendahnya adalah 7.4 °C (45.3 °F) pada 27 Januari 1962.

Ekonomi

Mumbai 
Bursa Saham Bombay adalah bursa saham terlama di Asia
Mumbai 
Nariman Point

Mumbai merupakan bandaraya terbesar di India dan juga pusat kewangan dan perdagangan negara yang menjana 6.16% daripada jumlah KDNK. Mumbai berfungsi sebagai pusat ekonomi India yang menyumbangkan 10% pekerja kilang, 25% keluaran industri, 33% hasil cukai pendapatan, 60% hasil cukai kastam, 20% hasil cukai eksais pusat, 40% perdagangan luar negara India dan cukai korporat 40 bilion.

KDNK Mumbai adalah 200,483 crore, manakala pendapatan per kapitanya adalah pada 128,000, tiga kali purata seluruh negara. Kebanyakan konglomerat terunggul di India (termasuk Larsen and Toubro, State Bank of India, Life Insurance Corporation of India, Tata Group, Godrej dan Reliance), dan lima syarikat dalam senarai Fortune Global 500 bertapak di Mumbai. Banyak bank dan institusi kewangan luar negara juga membuka cawangan di kawasan ini, terutama sekali Pusat Dagangan Dunia.

Hingga 1970-an, kemakmuran Mumbai terutama dipacu oleh kilang tekstil dan pelabuhan, tetapi sejak itu ekonomi tempatan telah dipelbagaikan dengan kejuruteraan, penggilapan berlian, penjagaan kesihatan dan teknologi maklumat. Pada tahun 2008, Globalization and World Cities Study Group (GaWC) menarafkan Mumbai sebagai "bandaraya dunia alfa", iaitu peringkat ketiga dalam pengkategorian bandaraya globalnya. Mumbai merupakan pasaran pejabat keempat termahal di dunia. Mumbai ditempatkan di kalangan bandaraya India yang paling cepat untuk memulakan perniagaan pada tahun 2009.

Mumbai 
Sebuah kawasan perumahan golongan kelas tinggi di Mumbai merupakan lambang pertumbuhan golongan kelas menengah di India.

Sebahagian besar tenaga kerja di India terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri dan awam. Mumbai juga diduduki oleh ramai pekerja sendiri yang tak mahir atau separa mahir, yang mencari nafkah sebagai penjaja, pemandu teksi, mekanik dan lain-lain pekerjaan kolar biru. Industri pelabuhan dan perkapalannya juga mantap sekali, dengan Pelabuhan Mumbai sebagai salah sebuah pelabuhan tertua dan terpenting di India. Di Dharavi di tengah Mumbai, terdapat industri pengitaran semula yang semakin berkembang besar, yang memproseskan sisa buangan yang boleh dikitar semula dari seluruh bandaraya; daerah Dharavi ada kira-kira 15,000 kilang berbilik bujang.

Kebanyakan rangkaian televisyen dan satelit, dan syarikat penerbitan yang terbesar di India, beribu pejabat di Mumbai. Pusat perfileman bahasa Hindi, iaitu Bollywood, merupakan pengeluar filem terbesar di India dan juga salah sebuah industri filem terbesar di dunia, di samping menjadi pusat perfileman bahasa Marathi. Seiring dengan seluruh India, Mumbai selaku pusat perdagangan telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat sejak peliberalan dilaksanakan pada tahun 1991, disusuli kepesatan kewangan pada pertengahan dekad 1990-an dan perkembangan IT, eksport, perkhidmatan dan penyumberan luar pada dekad 2000-an.

Mumbai menduduki tempat ke-48 dalam Indeks Pusat Perdagangan Sedunia 2008. Pada April 2008, Mumbai menduduki tangga ketujuh dalam senarai "Top Ten Cities for Billionaires" oleh majalah Forbes, dan yang pertama dari segi purata kekayaan jutawan berkenaan.

Pentadbiran awam

Mumbai 
Mahkamah Tinggi Bombay mempunyai bidang kuasa di Maharashtra, Goa, Daman dan Diu, dan Dadra dan Nagar Haveli.

Mumbai, terbentang dari Colaba di selatan, hingga Mulund dan Dahisar di utara, dan Mankhurd di timur, ditadbir oleh Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai (Brihanmumbai Municipal Corporation, BMC). BMC bertanggungjawab atas keperluan awam dan prasarana metropolis ini. Datuk Bandar biasanya dipilih di kalangan para anggota Majlis untuk penggal dua tahun setengah.

Pesuruhjaya Perbandaran merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan ketua badan eksekutif Perbadanan Perbandaran. Segala kuasa eksekutif terletak pada Pesuruhjaya Perbandaran, seorang pegawai Perkhidmatan Pentadbiran India (Indian Administrative Service, IAS) yang dilantik oleh kerajaan negeri. Walaupun Perbadanan Perbandaran merupakan badan perundangan yang menetapkan dasar-dasar tadbir urus bandaraya, namun Pesuruhjayalah yang bertanggungjawab atas pelaksanaan dasar-dasar tersebut. Pesuruhjaya dilantik untuk satu penggal yang ditetapkan oleh statut negeri. Kuasa Pesuruhjaya ditentukan oleh statut dan juga ditugaskan oleh Perbadanan atau Jawatankuasa Tetap.

Dua daerah hasil Mumbai berada dalam bidang kuasa Pengumpul Daerah yang bertugas menjaga rekod hartanah dan pengumpulan hasil untuk Kerajaan Pusat, serta mengawal selia pilihan raya kebangsaan yang diadakan di bandaraya.

Polis Mumbai diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Polis, seorang pegawai Perkhidmatan Polis India (Indian Police Service, IPS). Polis Mumbai terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri Maharashtra. Bandaraya Mumbai terbahagi kepada tujuh zon polis dan 17 zon polis trafik, setiap satunya diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis. Polis Trafik merupakan badan separa berautonomi di bawah Polis Mumbai. Jabatan Bomba Mumbai diketuai oleh Ketua Pegawai Bomba yang dibantu oleh empat orang Timbalan Ketua Pegawai Bomba dan enam Pegawai Divisi.

Mumbai merupakan pusat Mahkamah Tinggi Bombay yang berbidang kuasa di neger-negeri Maharashtra dan Goa, serta Wilayah Kesatuan Daman dan Diu dan Dadra dan Nagar Haveli. Mumbai juga ada dua mahkamah rendah, iaitu Mahkamah Perkara Kecil (Small Causes Court) untuk hal-hal sivil, dan Mahkamah Sesyen (Sessions Court) untuk kes jenayah. Mumbai juga ada mahkamah TADA (Terrorist and Disruptive Activities) khas untuk sesiapa yang dituduh berkomplot dan bersubahat dalam pengganasan di bandaraya.

Demografi

Menurut bancian 2001, jumlah penduduk Mumbai adalah 11,914,398 orang, tetapi mengikut ekstrapolasi yang dijalankan oleh World Gazetteer pada tahun 2010, Mumbai diduduki seramai 13,830,884 orang sementara Kawasan Metropolitan Mumbai mempunyai sejumlah 21,347,412 orang. Kepadatan penduduk dianggarkan 22,000 orang sekilometer persegi. Mengikut bancian 2001, Mumbai Raya iaitu kawasan dalam pentadbiran BMC, mencapai kadar celik huruf 77.45%, melebihi purata seluruh negara 64.8%.

Nisbah jantinanya adalah 774 (perempuan untuk 1,000 lelaki) di kota pulau, 826 di subbandar, dan 811 pada keseluruhannya di Mumbai Raya, ketiga-tiga perangkaan lebih rendah daripada purata seluruh negara 933 perempuan untuk 1,000 lelaki. Nisbah jantina yang rendah ini disebabkan bilangan besar pendatang lelaki yang datang untuk mencari rezeki di bandaraya.

Warga kota Mumbai dikenali sebagai Mumbaikar, Mumbaite atau Bombayite. Seperti bandaraya-bandaraya metropolitan lain di India, Mumbai mempunyai ramai sekali penutur pelbagai bahasa. Enam belas bahasa utama di India dipertuturkan di Mumbai, terutama sekali bahasa Marathi, Gujarati dan Inggeris. Bahasa Inggeris difahami ramai dan merupakan bahasa utama para pekerja kolar putih di Mumbai. Di jalanan pula kedengaran suatu bentuk bahasa Hindi basahan yang dikenali sebagai Bambaiya, iaitu campuran bahasa-bahasa Marathi, Hindi, Inggeris dan kata-kata ciptaan baru.

Mumbai 
Sebatang jalan di Dharavi, kawasan sesak kedua terbesar di Asia

Mumbai mengalami masalah-masalah utama pembandaran yang sama dengan bandaraya lain yang pesat berkembang di negara membangun, iaitu kemiskinan dan pengangguran berleluasa, tahap kesihatan awam, kesedaran sivik dan pendidikan yang rendah bagi kebanyakan besar penduduk. Disebabkan harga mahal pada ruang tanah yang ada, ramai penduduk Mumbai terpaksa berdiam dalam perumahan yang sempit dan agak mahal, selalunya jauh dari tempat kerja, oleh itu mengambil masa yang lama untuk berulang-alik dengan menaiki pengangkutan alihan massa yang penuh sesak, ataupun jalanan yang terhambat oleh kesesakan orang. Ramai yang tinggal dekat sekali dengan stesen bas atau keretapi, namun penduduk pinggir bandar banyak menghabiskan masa perjalanan ke daerah perniagaan pusat di barat daya. Dharavi, kawasan sesak kedua terbesar di Asia, menempatkan 800,000 orang penduduk di pusat bandar Mumbai. Dengan kadar celik huruf sebanyak 69%, kawasan sesak di Mumbai adalah yang paling celik huruf di India.

Bilangan penghijrah ke Mumbai dari luar negeri Maharashtra pada dekad 1991–2001 berjumlah 1.12 juta, atau 54.8% daripada pertumbuhan bersih kependudukan Mumbai.

Antara agama-agama yang dipeluk oleh para warga Mumbai termasuk agama Hindu (67.39%), Islam (18.56%), Buddha (5.22%), Jain (3.99%), Kristian (4.2%), Sikh (0.58%), dan selebihnya Parsi dan Yahudi. Demografi bahasa/etniknya adalah: Maharashtra (42%), Gujarati (19%), dan selebihnya dari merata India. Komuniti Muslim tertua di Mumbai termasuk Dawoodi Bohra, Khoja, dan Muslim Konkani, sementara masyarakat Kristian tempatan termasuk Katolik India Timur yang dikristiankan oleh Portugis pada abad ke-16. Di Mumbai juga ada sekelompok kecil Yahudi Bene Israel yang berhijrah dari kawasan Teluk Parsi atau Yaman lebih kurang 1600 tahun. Kaum Parsi pula berhijrah ke India dari Parsi; kini, terdapat kira-kira 80,000 orang Parsi di Mumbai.

Pengangkutan

Pengangkutan awam

Antara sistem pengangkutan awam di Mumbai termasuk rel Mumbai Suburban Railway, bas Brihanmumbai Electric Supply and Transport (BEST), teksi bermeter hitam kuning, beca bermotor dan feri. Perkhidmatan Suburban Railway dan bas BEST mengangkut kira-kira 88% daripada jumlah penumpangan pada tahun 2008. Beca bermotor hanya dibenarkan beroperasi di kawasan subbandar Mumbai, sementara teksi dibenarkan berniaga di seluruh Mumbai, tetapi pada amnya tertumpu di Mumbai Selatan. Mumbai Darshan merupakan perkhidmatan bas pelancong yang meneroka pelbagai tarikan pelancong di Mumbai.

Teksi dan beca di Mumbai diwajibkan menggunakan gas asli mampat sebagai bahan api, dan juga merupakan kaedah pengangkutan yang sesuai, jimat dan senang dicari di Mumbai. Mumbai mempunyai kira-kira 1.53 juta kenderaan pada tahun 2008, 56,459 teksi hitam kuning, dan 102,224 beca bermotor, tepat pada tahun 2005.

Jalan raya

Mumbai 
Peta yang menunjukkan jalan raya utama, landasan keretapi, pelabuhan dan lapangan terbang (Klik untuk besarkan)

Mumbai disambungkan oleh lebuh raya nombor 3, 4 dan 8 dalam sistem Lebuhraya Negara India. Lebuhraya Mumbai-Pune adalah lebuh raya ekspres pertama di India, manakala Lebuhraya Mumbai-Vadodara, Western Freeway dan Eastern Freeway masih dalam pembinaan. Jambatan Bandra-Worli Sea Link dan Tambak Mahim menghubungkan kota pulau dengan subbandar di barat. Tiga jalan raya utama di bandaraya adalah Lebuhraya Ekspres Timur dari Sion ke Thane, Lebuhraya Ekspres Sion Panvel dari Sion ke Panvel dan Lebuhraya Ekspres Barat dari Bandra ke Borivali.

Walaupun 88% pengulang-alik di kota menaiki pengangkutan awam, namun Mumbai masih bergelut dengan kesesakan lalu lintas. Sistem pengangkutan Mumbais dikategorikan sebagai antara yang paling sesak di dunia. Disebabkan kesesakan diburukkan lagi oleh penjaja dan kenderaan yang diparkir, MMRDA telah melaksanakan projek Mumbai Skywalks untuk menyediakan persuraian pejalan kaki yang cepat dan selamat dari kawasan yang paling sesak seperti stesen Mumbai Suburban Railway.

Rel

Mumbai 
Terminus Chhatrapati Shivaji (dahulu Terminus Victoria) merupakan ibu pejabat Central Railway dan juga Tapak Warisan Dunia UNESCO

Mumbai merupakan ibu pejabat untuk dua zon Indian Railways, iaitu Central Railway (CR) yang beribu pejabat di Terminus Chhatrapati Shivaji (dahulunya Terminus Victoria), dan Western Railway (WR) yang beribu pejabat di Churchgate. Selaku tunjang pengangkutan bandaraya, Mumbai Suburban Railway terdiri daripada tiga rangkaian rel berasingan, iaitu: Central, Western, dan Harbour Line yang merentasi seluruh bandaraya dari utara ke selatan.

Sistem rel subbandar Mumbai mengangkut sejumlah 6.3 juta penumpang sehari pada tahun 2007, melebihi separuh daripada jumlah muatan penumpang harian Indian Railways. Tren amat sesak pada waktu puncak, sehingga tren sembilan gerabak yang berupaya muatan 1,700 penumpang pun boleh mengangkut sekitar 4,500 orang pada waktu puncak.

Mumbai mempunyai hubungan baik dengan seluruh India menerusi Indian Railways. Tren jarak jauh berlepas dari Terminal Chhatrapati Shivaji, Stesen Dadar, Terminus Lokmanya Tilak, Stesen Mumbai Central, Terminus Bandra, Andheri dan Borivali.

Udara

Mumbai 
Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji merupakan sebuah lapangan terbang utama di India.

Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji (dahulunya Lapangan Terbang Antarabangsa Sahar) merupakan hab penerbangan utama di bandaraya Mumbai dan juga antara bandaraya tersibuk di India dari segi jumlah penumpangan.

Juhu Aerodrome merupakan lapangan terbang pertama di India, kini dijadikan kelab penerbangan dan pangkalan helikopter.

Laut

Mumbai mempunyai dua pelabuhan utama, iaitu Amanah Pelabuhan Mumbai dan Amanah Pelabuhan Jawaharlal Nehru, yang terletak di seberang caruk di Navi Mumbai. Pelabuhan Mumbai merupakan salah sebuah pelabuhan semula jadi terunggul di dunia, di sampung dilengkapi kemudahan penginapan dok basah dan kering yang menyeluruh. Pelabuhan Jawaharlal Nehru yang ditempah pada 26 Mei 1989, adalah pelabuhan utama yang paling sibuk dan moden di India, kerana menguruskan 55–60% daripada jumlah muatan berkontena di India. Perkhidmatan feri dari Ferry Wharf di Mazagaon membawa penumpang ke pulau-pulau berdekatan bandaraya.

Budaya

Mumbai 
Persatuan Asiatik Bombay adalah salah sebuah perpustakaan awam tertua di bandaraya

Kebudayaan Mumbai memadukan perayaan tradisi, masakan, muzik dan teater. Bandaraya ini menawarkan gaya hidup kosmopolitan yang berbagai-bagai dengan beraneka makanan, hiburan dan kelab malam yang setanding dengan ibu kota dunia yang lain dari segi bentuk dan bilangan. Sejarah Mumbai sebagai pusat perdagangan utama telah melahirkan kewujudan bersama pelbagai budaya, agama dan masakan di bandaraya ini. Paduan kebudayaan yang unik ini berpunca daripada penghijrahan beramai-ramai dari merata India sejak zaman British.

Mumbai merupakan tempat kelahiran perfileman India (apabila Dadasaheb Phalke meletakkan batu asasnya dengan filem bisu, diikuti filem berbunyi dalam bahasa Marathi), dan juga tempat ditayangkannya filem sulung pada awal abad ke-20. Di Mumbai juga terletaknya sejumlah besar pawagam yang menayangkan filem-filem Bollywood, Marathi dan Hollywood. Teater IMAX Dome terbesar di dunia terletak di kawasan Wadala. Pesta Filem Antarabangsa Mumbai dan juga majlis penyampaian Filmfare Awards, anugerah filem tertua dan terpenting untuk industri filem berbahsa Hindi di India, turut diadakan di Mumbai. Walaupun kebanyakan kumpulan teater profesional yang dibentuk pada zaman Raj British bubar pada 1950-an, namun Mumbai telah membangunkan tradisi "gerakan teater" yang berkembang maju dalam bahasa Marathi, Hindi, Inggeris dan lain-lain.

Mumbai 
Gua Elephanta, Tapak Warisan Dunia UNESCO, menampilkan patung Shaiva ukiran kayu.

Seni kontemporari diketengahkan dalam ruangan seni danaan kerajaan dan galeri swasta. Antara institusi seni terbiaya kerajaan termasuk Galeri Seni Jehangir dan Galeri Seni Moden Kebangsaan. Persatuan Asiatik Bombay yang dibina pada tahun 1833 adalah salah sebuah perpustakaan awam tertua di bandaraya. Chhatrapati Shivaji Maharaj Vastu Sangrahalaya (dahulunya The Prince of Wales Museum) merupakan sebuah muzium terkenal di Mumbai Selatan yang menempatkan bahan pameran purba yang jarang ditemui dari sejarah India.

Mumbai ada sebuah taman haiwan bernama Jijamata Udyaan (dahulunya Victoria Gardens), yang juga menempatkan kebun. Kekayaan tradisi kesusasteraan Mumbai turut diserlahkan di mata dunia menerusi pemenang-pemenang Booker Prize seperti Salman Rushdie dan Aravind Adiga. Kesusasteraan Marathi turut dimoden menerusi karya-karya pengarang yang bertapak di Mumbai seperti Mohan Apte, Anant Kanekar, dan Gangadhar Gadgil, apalagi dipupuk oleh Anugerah Sahitya Akademi, penghormatan sastera tahunan yang dikurniakan oleh Akademi Persuratan Kebangsaan India.

Seni bina Mumbai merupakan campuran Kebangkitan Goth, Indo-Saracen, Art Deco, dan bermacam-macam lagi gaya kontemporari. Kebanyakan binaan yang dibina pada zaman British, misalnya Terminus Victoria dan Universiti Bombay, dibina berlandaskan gaya Kebangkitan Goth. Ciri-ciri seni binanya merangkumi pelbagai pengaruh Eropah seperti tebeng layar Jerman, bumbung Belanda, pemapanan Switzerland, gerbang Romawi, tingkap berbingkai Tudor, di samping ciri-ciri tradisional India. Juga terdapat sebilangan kecil binaan bergaya Indo-Saracen seperti Gerbang India. Mercu tanda bergaya Art Deco turut ditemui sepanjang Marine Drive dan barat Oval Maidan. Mumbai mempunyai bilangan binaan Art Deco kedua terbanyak di dunia, mengekori Miami. Kawasan subbandar yang terbaru dikuasai oleh bangunan moden. Setakat ini, Mumbai memiliki jumlah pencakar langit di India, dengan 956 buah yang sedia ada serta 272 buah yang masih dalam pembinaan tepat pada tahun 2009.

Jawatankuasa Pemuliharaan Warisan Mumbai (Mumbai Heritage Conservation Committee, MHCC), yang ditubuhkan pada tahun 1995, merumuskan peraturan khas dan undang-undang kecil untuk membantu memulihara struktur-struktur warisan bandaraya. Di Mumbai ada dua Tapak Warisan Dunia UNESCO, iaitu Terminus Chhatrapati Shivaji dan Gua Elephanta. Antara tarikan pelancong yang tersohor di Mumbai termasuk Nariman Point, Girgaum Chowpatti, Pantai Juhu, dan Marine Drive. Essel World adalah sebuah taman tema dan pusat hiburan yang terletak berhampiran dengan Pantai Gorai, serta mempunyai taman tema air terbesar di Asia, iaitu Water Kingdom.

Warga Mumbai menyambut perayaan India dan asing, antaranya Diwali, Holi, Aidilfitri, Krismas, Navratri, Good Friday, Dussera, Moharram, Ganesh Chaturthi, Durga Puja dan Maha Shivratri. Pesta Kesenian Kala Ghoda merupakan pameran dunia seni yang menayangkan karya seniman terkenal dalam bidang muzik, tarian, lakon pentas dan filem. Sebuah pesta tahunan yang dikenali sebagai Pesta Bandra yang diadakan selama seminggu bermula pada hari Ahad selepas 8 September, disambut oleh semua dari pelbagai agama, untuk memperingati kelahiran Maryam, bonda kepada Nabi Isa, pada 8 September.

Pesta Banganga adalah perayaan muzik tahunan yang diadakan selama dua hari pada bulan Januari, anjuran Perbadanan Pembangunan Pelancongan Maharashtra (Maharashtra Tourism Development Corporation, MTDC) di Banganga Tank yang bersejarah di Mumbai. Pesta Elephanta yang disambut di Pulau Elephantapada bulan Februari, ditujukan kepada tarian dan muzik klasik India dan menarik ramai seniman dari seluruh negara. Antara cuti-cuti umum yang khusus untuk Mumbai dan negeri Maharashtra termasuk Hari Maharashtra pada 1 Mei untuk menyambut pembentukan negeri Maharashtra pada 1 Mei 1960.

Media

Mumbai 
Bollywood bertapak di Mumbai.

Warga Mumbai menikmati berbilang-bilang perkhidmatan surat khabar, radio dan televisyen. Antara surat khabar berbahasa Inggeris yang diterbitkan dan dijual di Mumbai termasuk Times of India, Mid-day, Hindustan Times, DNA, dan Indian Express, manakala yang berbahasa Marathi termasuk Navakal, Maharashtra Times, Loksatta, Lokmat dan Sakaal. Juga terdapat akhbar yang dicetak dalam bahasa-bahasa lain. Mumbai juga adalah tempat kelahiran akhbar tertua di Asia, iaitu Bombay Samachar yang disiarkan dalam bahasa Gujarati sejak tahun 1822. Bombay Durpan, akhbar Marathi yang sulung, dibuka oleh Balshastri Jambhekar di Mumbai pada tahun 1832.

Pelbagai saluran televisyen dalam dan luar negara boleh ditonton di Mumbai menerusi khidmat televisyen berbayar tempatan. Metropolis ini juga dijadikan pusat operasi oleh sebilangan besar perbadanan media antarabangsa, dengan banyak saluran berita dan bahan bacaan yang menonjol dalam masyarakat Mumbai. Penyiar televisyen kebangsaan, Doordarshan, menyediakan dua saluran percuma di samping tiga rangkaian kabel utama yang memancarkan siaran kepada kebanyakan isi rumah di Mumbai.

Antara saluran berbayar yang terdapat di sini termasuk ESPN, Star Sports, Zee Marathi, ETV Marathi, DD Sahyadri, Mee Marathi, Zee Talkies, Zee TV, ETV Urdu, STAR Plus dan saluran-saluran berita seperti Star Majha. Antara saluran berita yang ditujukan khusus kepada Mumbai termasuk Sahara Samay Mumbai. Televisyen satelit (DTH) masih belum disambut begitu ramai kerana kos pemasangan yang mahal. Antara khidmat-khidmat televisyen DTH di Mumbai termasuk Dish TV dan Tata Sky.

Penduduk di Mumbai boleh menerima 12 saluran radio, iaitu sembilan stesen yang bersiaran pada jalur FM, dan tiga stesen All India Radio pada jalur AM. Di Mumbai juga tercapainya siaran radio berbayar seperti WorldSpace, Sirius dan XM. Khidmat Conditional Access System (CAS) yang dilancarkan oleh Kerajaan Kesatuan pada tahun 2006 kurang disambut baik di Mumbai kerana terpaksa bersaing dengan khidmat DTH.

Bollywood, industri filem berbahasa Hindi yang bertapak di Mumbai, menghasilkan sekitar 150–200 buah filem setahun. Nama Bollywood adalah lakuran nama Bombay dan Hollywood. Dekad 2000-an menyaksikan perkembangan pesat Bollywood di luar negara, sehingga menggalakkan peningkatan mutu sinematografi dan jalan cerita yang lebih berdaya inovasi di samping kemajuan teknikal seperti kesan khas dan animasi. Studio-studio di kawasan Goregaon seperti Film City dijadikan lokasi penggambaran untuk kebanyakan latar filem. Industri filem bahasa Marathi juga bertapak di Mumbai.

Pendidikan

Sistem sekolah di Mumbai terdiri daripada "sekolah perbandaran" (sekolah awam kendalian BMC) atau sekolah swasta (kendalian amanah atau individu) yang kadang-kadang menerima bantuan kewangan dari kerajaan. Bahasa perantaraan utama sekolah di Mumbai adalah bahasa Marathi atau Inggeris. Sekolah awam kendalian kerajaan serba kekurangan dari segi kemudahan, tetapi menjadi satu-satunya pilihan penduduk miskin yang tidak mampu menghantar anak ke sekolah swasta yang lebih mahal.

Mengikut rancangan "10+2+3/4", para pelajar menghabiskan sepuluh tahun bersekolah, kemudian menghadiri Maktab Rendah selama dua tahun mengikut aliran seni, perdagangan, atau sains. Selepas itu, pelajar mengambil kursus ijazah am dalam bidang pilihannya, atau kursus ijazah profesional seperti undang-undang, kejuruteraan dan perubatan. Kebanyakan kolej di Mumbai bersekutu dengan Universiti Mumbai, salah sebuah universiti terbesar di dunia dari segi bilangan siswazah.

Selain Universiti Mumbai, terdapat juga institusi pengajian tinggi yang berpengkhususan seperti Institut Kejuruteraan Industri Kebangsaan (NITIE), Institut Teknologi India (Bombay), Institut Teknologi Veermata Jijabai (VJTI), Institut Universiti Teknologi Kimia (UICT), antara maktab kejuruteraan dan teknologi terunggul di India. Terdapat juga sekolah pengurusan seperti Institut Kajian Pengurusan Jamnalal Bajaj (JBIMS), Institut Pengurusan dan Penyelidikan S P Jain dan lain-lain lagi. Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Kolej Sydenham, masing-masing maktab perundangan dan perdagangan yang tertua di India, sama-sama bertapak di Mumbai. Sekolah Kesenian Sir Jamsetjee Jeejebhoy adalah institusi kesenian tertua di Mumbai. Tidak lupa juga institusi pengajian yang hanya menerima pelajar perempuan seperti Universiti Wanita SNDT.

Mumbai juga tempat terletaknya dua institusi penyelidikan tersohor, iaitu Institut Penyelidikan Asas Tata (TIFR), dan Pusat Penyelidikan Atom Bhabha (BARC). BARC mengendali sebuah reaktor nuklear 40 MW bernama CIRUS dalam kemudahannya di Trombay.

Sukan

Mumbai 
Stadium Brabourne, salah sebuah stadium kriket tertua di negara.

Kriket merupakan sukan yang paling digemari warga Mumbai. Disebabkan kekurangan tanah lapang, orang ramai bermain kriket di belakang rumah di merata kota. Mumbai juga merupakan pengkalan Lembaga Pengelola Kriket India (Board of Control for Cricket in India, BCCI) dan Liga Perdana India(IPL). Pasukan kriket Mumbai mewakili bandaraya mereka dalam kejohanan Piala Ranji yang dimenanginya 39 kali, iaitu yang terbanyak di kalangan semua pasukan. Mumbai juga diwakili oleh pasukan Mumbai Indians di Liga Perdana India.

Di Mumbai ada dua arena krikey antarabangsa, iaitu Stadium Wankhede dan Stadium Brabourne. Perlawanan test kriket pertama di India berlangsung di Bombay Gymkhana di Mumbai. Acara kriket terbesar yang pernah diadakan di Mumbai setakat ini adalah perlawanan akhir Piala Juara ICC 2006 yang berlangsung di Stadium Brabourne. Antara pemain kriket tersohor dari Mumbai termasuk Sachin Tendulkar dan Sunil Gavaskar.

Bola sepak tidak kurang hebat sambutannya di Mumbai kerana ramai yang setia mengikuti perkembangan Piala Dunia FIFA dan Liga Perdana Inggeris. Di I-League, Mumbai diwakili oleh tiga pasukan, iaitu Mumbai FC, Mahindra United dan Air-India. Hoki adalah antara sukan yang terpaksa menyaingi kehebatan kriket di Mumbai yang menempatkan pasukan Maratha Warriors, satu-satunya pasukan Maharashtra yang bertanding dalam Premier Hockey League.

Setiap Februari, Mumbai mengadakan dua perlumbaan derby berasingan, di Balapan Mahalaxmi dan Turf Club. Berikutan sambutan terhadap Formula Satu semakin hangat, pada tahun 2008, kereta pasukan F1 Force India diperkenalkan Mumbai.

Bandar saudara

Mumbai menjalih hubungan bandar saudara dengan bandaraya-bandaraya berikut:

Rujukan

Pautan luar

Tags:

Mumbai SejarahMumbai GeografiMumbai EkonomiMumbai Pentadbiran awamMumbai DemografiMumbai PengangkutanMumbai BudayaMumbai MediaMumbai PendidikanMumbai SukanMumbai Bandar saudaraMumbai RujukanMumbai Pautan luarMumbaiAsia SelatanAsia TengahBahasa MarathiBandaraya globalFail:Mumbai pronunciation.oggIndiaMaharashtraMumbai pronunciation.oggNavi MumbaiThaneWikipedia:IPA

🔥 Trending searches on Wiki Bahasa Melayu:

Daerah di SabahAbby AbadiKuala Kubu BharuPiagam MadinahIntan NajuwaMalang Si PuteriRaysha RizroseSenarai gunung di MalaysiaKata kerja tak transitifHasnul RahmatHasmiza binti OthmanJenis darahHukum Kanun MelakaLaskar KananRangka manusiaNombor telefon di MalaysiaOrang Melayu MalaysiaPasukan Khas UdaraJenis air untuk bersuci dalam IslamA FamosaNegeri dan Wilayah Persekutuan di MalaysiaBatu PahatErnie ZakriBuah pelagaPokok MambuDaun salamPerodua AxiaMuhammad Haziq Bin NadzliKata adjektifPerlisSuruhanjaya Pencegahan Rasuah MalaysiaBeto KusyairyLelaki ItuIbanJosiah HoganLencana pangkat Angkatan Tentera MalaysiaSabronzoYasmin AhmadFasha SandhaNabi Lut a.s.Sungai BulohTakdir Itu Milik AkuEtikaZaki AzemanEyka FarhanaSultan Sharafuddin Idris ShahSiksa NerakaSistem pernafasanTakwim HijrahKadazan-DusunCongkakProton PersonaSenarai buahSalahuddin al-AyyubiSophia AlbarakbahSenarai SBP di MalaysiaBandaraya MelakaBangladeshPencemaran udaraJabatan Perangkaan MalaysiaHun HaqeemSari YantiTulisan JawiKementerian Kesihatan MalaysiaCerita Rakyat MalaysiaLaskar MudaPulau RedangJohor Darul Ta'zim F.C.Harris AlifMartin Cooper (pereka)Gerakan Aceh MerdekaGersang (kumpulan muzik)Manchester United F.C.Afzan A. RahmanPendidikan di MalaysiaFahmi FadzilSekolah Menengah Kebangsaan TebobonJangan Menangis Cinta (drama)Minal 'Aidin wal-Faizin🡆 More