Kebangkitan Pahlawan: Filem biografi sejarah Malaysia 2022 arahan Syamsul Yusof

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ialah sebuah filem biografi epik sejarah Malaysia 2022 arahan Syamsul Yusof berdasarkan skrip karangan beliau sendiri bersama Shahruddin Mt Dali untuk terbitan Studio Kembara.

Filem ini dibintangi oleh Adi Putra sebagai tokoh watak senama Mat Kilau dan perjalanan bersama ayahandanya, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya berjuang mati-matian menentang penjajahan British suatu ketika dahulu. Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian dan Johan As'ari menjayakan bersama sebagai pelakon pembantu.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan
PengarahSyamsul Yusof
Lakon layar
  • Shahruddin Dali
  • Syamsul Yusof
Dihasilkan oleh
  • Abdul Rahman Dali
  • Shahruddin Dali
Dibintangi
SinematografiRahimi Maidin
Disunting olehSyamsul Yusof
Muzik olehSantosh Logandran
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehSkop Productions
Tarikh tayangan
  • 23 Jun 2022 (2022-06-23) (Malaysia, Singapura & Brunei)
  • 31 Ogos 2022 (2022-08-31) (Indonesia)
Masa tayangan
117 minit
NegaraMalaysia
Bahasa
BajetRM8 juta
Pecah panggungRM97 juta

Idea untuk mengarahkan filem ini mula diutarakan oleh Syamsul pada 2017, setelah menerima tawaran daripada Studio Kembara untuk menghasilkan filem ini, selepas pengarah terdahulunya menarik diri. Penggambaran dijalankan di Perak, Pahang, Melaka dan Selangor selama 100 hari pada 2018, dengan kos pembikinan sebanyak RM8 juta. Filem ini telah ditayangkan di pawagam seluruh negara, Singapura dan Brunei pada 23 Jun 2022.

Filem ini menerima ulasan yang sangat positif dari penonton, dan telah meraih kutipan tertinggi sebanyak RM97 juta, hanya dalam tempoh 40 hari ditayangkan, menjadikannya filem dengan kutipan tertinggi di Malaysia (termasuk filem-filem tempatan dan antarabangsa) bagi tahun 2022, sekaligus mengatasi Avengers: Endgame (2019, kutipan RM87.5 juta), sebagai filem dengan kutipan tertinggi keseluruhan dalam sejarah tayangan pawagam Malaysia, di samping mengatasi rekod Munafik 2 (2018, kutipan RM48 juta), juga arahan Syamsul sendiri, sebagai filem tempatan paling laris.

Filem ini diberikan ulasan sederhana daripada banyak pengulas filem, namun ia menimbulkan kritikan dan kontroversi mengenai penggambaran watak-watak bukan Melayu serta motif filem tersebut yang menggalakkan penyebaran ideologi ketuanan Melayu secara terang-terangan.

Plot

Filem ini berlatarkan akhir abad ke-19, di sebuah petempatan di Pahang. Ketika ini, sekumpulan pihak British yang diketuai seorang kapten tentera bernama Syers, sambil diiringi oleh Toga, seorang pembunuh upahan British asal Borneo, serta sekumpulan tentera British Sikh, sedang memburu tiga orang pahlawan atas kesalahan khianat. Akan tetapi, serbuan ini bertukar ganas dengan para tentera membunuh penduduk begitu sahaja, sehingga memaksakan ketiga-tiga pahlawan tersebut untuk menyerah diri, sebelum dihantar ke tahanan. Pada masa ini, pihak British mula mengeksploitasikan sumber bumi Pahang, demi merancang untuk meluaskan kuasa mereka. Tujuan dan cara perluasan kuasa British yang disifatkan melampau itu, merisaukan para pembesar tempatan, dan dengan itu, mula menentang penjajah British.

Di Pulau Tawar, Mat Kilau sedang menjalani latihan bersama rakan-rakannya. Kerana kemahiran dalam pertempuran yang hebat, ini menandakan bahawa Mat Kilau dan rakan-rakannya bersedia untuk menentang penjajah British. Mereka kemudiannya datang ke rumah Usup untuk mempelawanya menyertai pasukan mereka, tetapi ditolak kerana ingin menjaga ayahnya yang keuzuran. Sementara itu, di sebuah kawasan perlombongan emas Kuala Tembeling, para pahlawan yang ditahan itu dibawa ke penjara British. Perbincangan diadakan pada kalangan pembesar Melayu untuk melantik ketua pahlawan Melayu bagi menentang penjajah British menjadi tegang, sehinggakan Mufti Bottoqh membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan satu lawan satu antara Mat Kilau dan Mat Lela. Setelah selesai perlawanan tersebut, Mat Kilau, anak kepada Tok Gajah, dipilih oleh para pembesar sebagai ketua pahlawan, tetapi rakannya, Awang naik angin kerana tidak dipilih. Bertitik-tolak daripada itu, Mat Kilau dan Awang mula bertengkar dan berpisah. Ketika berpisah, Awang terserempak dengan pihak tentera British yang sedang memunggah bekalan senapang. Sementara itu, Wahid pula mengalami konflik dengan isterinya, Rokiah yang sarat mengandung, kerana sering berdampingi Mat Kilau, berbanding dengan isterinya sendiri.

Sementara itu, pihak British mula melaksanakan sistem percukaian baharu di kawasan taklukan, dengan kutipan dilakukan oleh para tentera. Namun begitu, kadar percukaian adalah di luar kemampuan mereka, sehingga para tentera bertindak memeras ugut penduduk. Ketika itu, Mat Kilau datang lalu menyerang para tentera, seorang demi seorang. Akan tetapi, Awang pula tiba dan bertengkar dengan Mat Kilau, sehingga Syers yang kedengaran tentang berita tersebut, berkepeningan atas apa yang terjadi. Syers kemudiannya mempelawa rakan saudagarnya, Goh Hoi untuk memujuk seorang pembesar tempatan, Pak Deris, bapa kepada salah-satu pahlawan yang ditahan oleh tentera British pada awalnya, untuk menjadi pengintip dengan jaminan anaknya akan dibebaskan.

Toga mendapat maklumat bahawa orang yang membuat kacau di jeti adalah Mat Kilau dan beliau berasal dari Pulau Tawar. Selepas kejadian di jeti, British mula memburu Mat Kilau, tetapi membawa kepadanya konflik yang mengorbankan warga tempatan. Mat Kilau muncul sekali lagi dan menyerang tentera sehingga Syers dan Toga hampir dibunuh. Walau bagaimanapun, Awang pula datang lalu menyuruh Mat Kilau untuk melepaskan Syers, dengan hujah bahawa membunuhnya hanya akan memburukkan keadaan. Kemudian, sedar akan kelengkapan persenjataan British, Awang dan rakan-rakannya berhasrat untuk merampas senjata mereka secara sulit untuk memperoleh kelebihan, tetapi ditentang oleh Mat Kilau kerana risiko lanjut yang boleh melanda. Meskipun begitu, rampasan tetap dilakukan dan berjaya. Rampasan itu membuatkan Syers naik angin, dan dengan ini, satu serangan besar-besaran dilancarkan, dengan jeti dan petempatan berdekatan dibakar. Tentera British dengan pembantu Toga, kemudiannya menyerbu rumah Wahid, dan Rokiah terbunuh dalam serbuan itu. Menyesal atas impak serangan balas tersebut, Awang memohon maaf kepada Mat Kilau atas perselisihan selama ini, dan mereka pun bersatu semula.

Wahid menyerang dan membunuh beberapa tentera British, tetapi tidak berjaya akibat ditumpaskan tentera-tentera lain. Usup datang ke persembunyian Mat Kilau dan membuat keputusan untuk menyertainya. Kemudian, Mat Kilau dan rakan-rakannya menyerbu senyap-senyap pada waktu malam ke sebuah kem British, untuk selamatkan Wahid yang ditahan oleh Toga. Gaya serbuan pada awalnya bersifat selinap, lalu bertukar menjadi serangan terbuka. Para tentera cuba menyerang, tetapi sukar untuk mengalahkan mereka disebabkan oleh gaya pertempuran mereka. Wahid yang dilepaskan, bertempur dengan pembantu Toga, yang bertanggung-jawab membunuh Rokiah. Di luar pula, pahlawan lain sedang berusaha menumpaskan para tentera, tetapi Usup telah menjadi tawanan kepada Toga, lalu menarik perhatian Mat Kilau dan rakan-rakannya yang lain. Toga kemudiannya membunuh Usup dengan mengelar lehernya.

Setelah seketika, mereka berundur ketika lebih banyak tentera British tiba. Mat Kilau, rakan-rakannya, serta beberapa orang penduduk tempatan bersembunyi di sebuah gua, untuk melakukan persiapan pertempuran, serta berjanji sumpah untuk bertempur. Sementara itu, Mat Kilau cuba memujuk penduduk-penduduk tempatan yang lain untuk menyertai perjuangannya, tetapi ditentang kuat kerana kacau-bilau yang diterbit susulan perjuangannya. Pada masa itu juga, kesangsian timbul bahawa ada pembelot dalam kalangan mereka, dengan Pak Deris akhirnya disyaki, sehingga beliau dikelilingi oleh Mat Kilau dan Wahid. Pak Deris kemudiannya dibawa ke pangkuan British, dan memberitahu tempat persembunyian Mat Kilau. Mat Kilau menasihati isterinya Yang Chik, untuk menjaga anaknya dan bersembunyi di dalam gua sehingga semua selesai.

Selepas itu, Syers dan tenteranya tiba di tempat persembunyian Mat Kilau, dengan para tentera diarahkan masuk ke belantara dan mencari para pahlawan. Namun begitu, setiap tentera dibunuh oleh perangkap sulit Mat Kilau, sehingga seorang tentera sahaja yang terselamat, berjaya pulang ke Syers untuk melaporkan hal ini. Dengan itu, Syers memulakan pertempuran terbuka terhadap Mat Kilau. Tanpa disangka, banyak penduduk tempatan tiba-tiba muncul melawan, lalu mewujudkan pertempuran yang besar. Ketika itu, Pak Deris membongkar bahawa beliau telah memperdayakan Syers ke dalam perangkap mereka, akibat dipengaruhi oleh Mat Kilau, lalu mengelar leher Goh Hoi, sehinggakan Syers naik angin lalu menembaknya. Selepas seketika, tentera British semakin kalah dalam pertempuran, sehinggakan Syers melarikan diri. Sementara itu, Mat Kilau bertarung satu-lawan-satu dengan Toga, disertai dengan Wahid selepas itu. Kemudiannya, Wahid dibunuh oleh Toga, dan Mat Kilau sempat mengalahkannya dengan tikaman di lehernya. Akhirnya, pertempuran dimenangi oleh penduduk tempatan, dan selepas itu, Mat Kilau berpesan kepada yang masih hidup bahawa kekuatan sebenar orang Melayu bukanlah pada kebudayaan mereka, tetapi pada Allah.

Barisan pelakon

Pelakon-pelakon lain yang turut membintangi termasuk: Ahmad Hilmi Ishak sebagai Pembunuh Upahan British/Pembantu Toga, Qadaffy MT Aidala sebagai Buyung, Wan Suhaimi sebagai Kelubi, Megat Terawis sebagai Mat Hassan, Awie Bakri sebagai Haji Ali, Harith Haziq sebagai Omar, Mark Geoffrry sebagai JP Rodger, David Abraham sebagai Sir Hugh Cilfford, Dennis Arthur sebagai Profesor Cameron, Ravi Pattel sebagai Ghuram Singh, Fadil Mofadd sebagai Jumaat, Yus Simurai sebagai Tun Lela, Siraj Alsagoff sebagai Shidu, Muhamad Abd Hafiz sebagai Belalai, Abe Lagun sebagai Sukun, Kuetlaw sebagai Andak, Datuk Das sebagai Bapa Usup, Nizam J sebagai Mamat, Hilmee Alwi sebagai Lazim, Ahmad Hilmee sebagai Thong, Masher sebagai Sahak, Fudalillah sebagai Seman, Razib Salimin sebagai pelanggan warung dan Jobot sebagai pengikut Dato Bahaman (tidak dinamakan).

Penerbitan

Pembangunan

Kebangkitan Pahlawan: Plot, Barisan pelakon, Penerbitan 
Filem ini diarahkan oleh Syamsul Yusof (gambar pada 2016) dan merupakan filem pertama arahannya yang mana beliau tidak berlakon.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ialah filem pertama terbitan Studio Kembara. Ia merupakan filem ke-11 arahan Syamsul Yusof dan menjadi filem pertama arahannya yang mana beliau tidak berlakon dan juga filem pertama arahannya di bawah syarikat penerbitan lain, bukannya Skop Productions milik keluarganya. Pada Ogos 2017, beliau mengumumkan hasratnya untuk mengarahkan sebuah filem epik mengenai sejarah pahlawan negara. Beliau dipetik oleh Astro Awani sebagai berkata, "... perancangan masa hadapan, saya akan hasilkan satu filem berbajet besar, berkisarkan pejuang-pejuang bangsa seperti Mat Kilau dan Hang Tuah." Syamsul menegaskan bahawa filem itu bukan diadaptasi daripada kisah sebenar Mat Kilau sewaktu menentang penjajah tetapi lebih berupakan inspirasi perjuangannya, sekaligus disuntik dengan unsur-unsur cereka dan konflik tambahan bagi memberi lebih warna terhadap jalan cerita sedia ada.

Beliau sebelum ini telah menyahut cabaran bagi menggarap naskhah itu selepas beberapa syarikat penerbitan dan pengarah dikatakan gagal menyiapkan penggambaran filem sejarah serta perjuangan Mat Kilau. Menurut Syamsul, Studio Kembara telah menghubunginya untuk mengarahkan filem biografi itu selepas projek itu terhenti. Beliau berkata: "Tetapi saya terpaksa bermula dari awal dan menjalankan penyelidikan sendiri. Saya akan menulis semula skrip juga. Nama saya dilampirkan pada ini, jadi saya mahu memberikan yang terbaik dan fokus pada cerita itu." Pada malam gala filem KL Special Force di Petaling Jaya, Selangor pada 8 Mac 2018, Syamsul mengumumkan akan mengarahkan sebuah filem biografi sejarah yang berkisarkan tentang pahlawan Melayu, Mat Kilau. Beliau berkata, bersyukur kerana diberi peluang untuk membawa nama tokoh besar yang kian dilupakan dalam filem epik pertama arahannya, namun mengakui filem ini tak boleh dibuat main-main, kerana ia merupakan tanggungjawab lebih besar buatnya.

Studio Kembara, syarikat penerbitan yang diasaskan pada 2013 oleh pasangan adik-beradik – Haji Abdul Rahman Mt Dali dan Shaharuddin Mt Dali, diberi tanggungjawab untuk menerbitkan filem ini selepas beberapa syarikat produksi menarik diri, sekaligus menjadi filem pertama terbitannya selepas hampir 10 tahun penubuhannya. Shahruddin berkhidmat sebagai penerbit dan penulis skrip. Menurut Syamsul Yusof, sebanyak 90 peratus jalan cerita dan dialog filem Mat Kilau telah diolah dan ditulis kembali oleh beliau dan Rizal Ashreff; rombakan besar juga dilakukan untuk mengikut kehendaknya sebagai pengarah dan penulis. Shahruddin berkata, pihaknya juga mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Skop Productions untuk menjayakan filem ini. Majlis pelancaran filem ini diadakan di Dataran Karyawan Finas pada 29 Mac 2018 dan disempurnakan oleh Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang, Tengku Dato’ Hajjah Nong Fatimah Sultan Haji Ahmad dengan paluan gong sebanyak tiga kali. Sebelum ini, Studio Kembara cuba menerbitkan Mat Kilau sebagai telefilem untuk siaran TV, namun gagal. Untuk projek ini, studio itu juga mengupah pengarah yang berbeza sebelum mengambil Syamsul sebagai pengarah. Studio Kembara juga telah membuat kajian mengenai filem ini selama 2 tahun, manakala Syamsul juga pernah berbincang dengan ahli sejarah yang pakar dalam sejarah Mat Kilau.

Menurut pengasas Studio Kembara, Shahruddin, pihaknya juga sudah bertemu beberapa waris Mat Kilau dan Tok Gajah yang memberikan sokongan mereka sepanjang kajian untuk menghasilkan filem epik itu sebelum ini, sekaligus menepis dakwaan yang mengatakan ia dihasilkan tanpa merujuk kepada ahli keluarga serta keturunan Mat Kilau dan Tok Gajah. Shahruddin dipetik oleh Harian Metro sebagai berkata: "Kami bersama penulis skrip asal sudah membuat kajian selama dua tahun untuk menghasilkan filem ini. Jadi, adalah tidak benar jika ada pihak menganggap filem ini dihasilkan tanpa kajian." Mohd Alhamadi Abu Bakar, cucu kepada Mat Kilau kemudian menjelaskan bahawa beliau berharap pihak menghasilkan filem Mat Kilau dapat menghasilkan cerita yang bukan sahaja terbaik dan bermutu, tetapi lebih penting mengikut jalan cerita sebenar dilalui datuknya, dan berharap supaya mereka lebih berhati-hati bagi mengelakkan kesilapan fakta.

Pemilihan pelakon

Pelakon Singapura, Adi Putra dipilih menjayakan watak Mat Kilau, pejuang Melayu yang menentang pentadbiran British di Pahang. Kata Syamsul, Adi dipilih bagi watak Mat Kilau oleh kerana "dia mampu menjiwai watak tersebut dan saya yakin dia sebagai pelakon berpengalaman akan membawakan watak ini dengan baik." Syamsul mengakui pengalaman bekerjasama dengan Adi dalam karya sebelum ini membuatkan beliau lebih yakin dengan kemampuan Adi.

Adi kemudian berkata kepada mStar Online pada Jun 2022 bahawa beliau pernah menolak tawaran membintangi filem ini sebanyak dua kali, akhirnya bersetuju menerima tawaran tersebut selepas melihat kesungguhan Syamsul dan mahu mencabar dirinya untuk membawa nama tokoh tersohor itu. Beliau turut berterima kasih kepada Syamsul kerana memberinya peluang. Adi juga mengakui menerima bayaran paling mahal untuk melakonkan watak Mat Kilau.

Syamsul menjelaskan, beliau turut melamar M. Nasir dan Eman Manan untuk membintangi filem ini. Pelakon dan artis seni bela diri Indonesia, Yayan Ruhian—yang terkenal dengan filem lakonannya seperti John Wick: Chapter 3 – Parabellum, Star Wars: The Force Awakens, Beyond Skyline dan The Raid—melakonkan watak sebagai Toga, pengawal peribadi Kapten Syers dalam filem itu. Beliau juga membuat koreografi adegan pergaduhan bersama Akmal dari Malaysia, yang mahir dalam silat dan pernah bekerja dalam filem Skop Productions yang lain.

Barisan pelakon lain termasuk Fattah Amin sebagai Awang, Beto Kusyairy sebagai Wahid, Johan As'ari sebagai Yasin, A. Galak sebagai Pak Deris, pendatang baharu, Ali Karimie sebagai Berahim, Jalaluddin Hassan sebagai Hj. Muhammad, Rahim Razali sebagai Imam Bottoqh, Namron sebagai Hj. Sulong, Shaharuddin Thamby sebagai Datuk Bahaman dan Ellie Suriati sebagai Ibu Yassin. Watak Yang Chik pada asalnya ingin diberikan kepada Nadiya Nisaa, namun menarik diri kerana jadual kerjanya yang padat. Watak itu diberikan kepada Farah Ahmad, balu kepada pengarah dan penulis skrip, Pitt Hanif.

Penggambaran

Penggambaran dijalankan pada 1 April 2018 dengan geran Dana Produksi sebanyak RM1.5 juta dan Dana Pemasaran sebanyak RM300,000 yang diperuntukkan oleh FINAS, manakala selebih bakinya ialah daripada Studio Kembara. Menurut Syamsul, pihak produksi telah menghabiskan sedikit masa untuk membina jeti, pangkalan British dan lombong serta tapak pasar, di kawasan padang ragut di persisiran Sungai Perak di Kampung Teluk Bakong, Lambor Kanan, Bota, Perak. Beliau menjelaskan: "Kita jangkakan penggambaran mengambil masa selama dua bulan dan melibatkan hampir 500 pelakon tambahan dan saya boleh katakan filem ini merupakan karya terbesar yang akan saya arahkan."

Pada Ogos, penggambaran filem telah dihentikan akibat masalah dalaman sebelum bersambung semula dalam bulan Oktober. Pada Jun 2020, dilaporkan bahawa penggambaran filem ini telah hampir selesai, dan pada Februari 2021, filem ini telah dilaporkan siap, tetapi penayangannya terpaksa ditangguhkan angkara wabak COVID-19 yang melanda Malaysia.

Pada 15 Mei 2022, kos sebenar pembikinan filem ini didedahkan menelan belanja RM8 juta. Filem Mat Kilau menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

Tema dan gaya

Pengkaji filem, Bilal Jailani berpandangan bahawa Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mampu membangkitkan rasa cinta kepada agama dan bangsa setanding filem dari Turki, Fetih 1453 (2012) kerana terdapat persamaan dari segi genre dan tema, namun mengakui ia "akan meniup rasa bangga dan patriotisme dalam diri penonton Malaysia" dan yakin "banyak mutiara kata dalam dialog filem itu yang menusuk kalbu dan berunsurkan nasihat yang membakar jiwa." Penulis buku, Nisah Haron pula berkata antara mesej yang jelas ingin disampaikan dalam filem ini ialah mengenai kepimpinan berkualiti dan bertindak bukan dengan terburu-buru dalam melawan pihak musuh. Beliau yang merupakan penerima Hadiah Sasterawan Muda Mastera 2017 itu juga berpendapat penerbitan filem Mat Kilau sekurang-kurangnya memberikan sedikit dokumentasi masyarakat dahulu kala dan menggambarkan Mat Kilau ialah "wira kepada agama, bangsa dan tanah air."

Daniyal Kadir, menulis untuk SelangorKini berpendapat bahawa "apa yang berlaku kepada filem Mat Kilau bukan sesuatu yang pelik kerana beliau membikin filem berasaskan peristiwa sejarah dan tokoh penting. Apa yang dijelmakan pengarah mungkin visi dan ilhamnya dalam menilai perjuangan Mat Kilau." Beliau turut berpandangan bahawa elemen seperti penggunaan senjata termasuk keris dan busana tidak melambangkan pahlawan Pahang dan dikatakan tidak memiliki jati diri yang diharapkan. Bekas wartawan New Straits Times, Rohiman Haroon melihat filem ini sebagai sebuah naskhah aksi yang kekurangan fakta sejarah kerana "tidak menjejaki sejarah peribadi Mat Kilau dan perjuangannya." Beliau berpandangan bahawa filem itu "gagal menggambarkan eksploitasinya dalam memerangi tuan penjajah. Lebih penting lagi, filem itu tidak menyelidiki bagaimana Mat Kilau terselamat daripada pukat British sehingga kematiannya pada tahun 1970." Menurutnya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan hanyalah "sebuah filem aksi" dan juga berpendapat bahawa ia "tidak lebih, tidak kurang — sama seperti filem-filem Syamsul sebelum ini, Evolusi KL Drift dan KL Gangster, yang memperoleh pelbagai pujian dalam industri perfileman." Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin berpendapat bahawa mesej yang dibawa dalam filem ini membawa makna yang besar tentang kesusahan para pejuang kemerdekaan membebaskan negara daripada cengkaman penjajah dan "menyuntik kembali semangat patriotik semua lapisan masyarakat Keluarga Malaysia,".

Keluaran

Tayangan

Mat Kilau dikeluarkan pada 23 Jun 2022 di 90 pawagam seluruh Malaysia, dengan pembukaan tayangan perdana filem ini di kebanyakan pawagam di seluruh negara mencatatkan penjualan tiket penuh. Poster rasmi filem ini telah dipamerkan pada 13 Mei, manakala treler rasminya telah dipertontonkan pada 16 Mei di saluran YouTube rasmi Studio Kembara.

Majlis pratonton filem ini diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC), The Starling Mall, Petaling Jaya, pada tarikh sama. Syamsul bagaimanapun, tidak hadir di majlis pratonton filem itu.

Filem ini dipertontonkan secara percuma pada 24 Julai 2022 di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Melor, Kota Bharu, Kelantan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) dan dihadiri seramai 2,000 penonton.

Filem ini juga telah ditayangkan di 200 pawagam di Indonesia dengan tajuk Kisah Mat Kilau Kebangkitan Pejuang pada 31 Ogos 2022 bertepatan dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-65.

Pemasaran

Pada 8 Julai 2022, New Straits Times melaporkan bahawa filem Mat Kilau akan dipasarkan di negara luar menerusi projek Road To Oscars. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin berkata kementerian sedang merancang untuk menerbitkan lebih banyak filem berdasarkan sejarah negara untuk pasaran antarabangsa.

Syarikat perkhidmatan penstriman Amerika Syarikat, Netflix dikatakan telah memberi tawaran membeli hak penyiaran filem Mat Kilau dengan jumlah RM7 juta. Bagaimanapun, Penerbit dan pengarah urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali, menafikan perkara itu. Menurutnya, pihaknya masih dalam proses perbincangan dengan Netflix. Bagaimanapun, media telah melaporkan bahawa filem ini akan ditayangkan di Netflix pada September 2022, 14 hari bulan di Indonesia manakala 16 hari bulan di seluruh dunia.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh portal FlixPatrol, Mat Kilau menduduki carta Top 10 di hampir 20 buah negara setakat 22 September 2022, antaranya Singapura, Korea Selatan, Sweden, Romania, Arab Saudi, Oman, Filipina, Finland dan Greece. Ia turut menduduki tangga keempat di Israel.

Sambutan

Kutipan pecah panggung

Jadual kutipan pawagam
Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan
(23 Jun – 11 Ogos)
Tempoh Tayangan Kutipan kumulatif
1 hari (23 Jun) RM1 juta
4 hari (hingga 26 Jun) RM12.2 juta
7 hari (hingga 29 Jun) RM23 juta
11 hari (hingga 3 Julai) RM47 juta
13 hari (hingga 5 Julai) RM51.3 juta
17 hari (hingga 9 Julai) RM61 juta
21 hari (hingga 13 Julai) RM71.27 juta
23 hari (hingga 15 Julai) RM80 juta
27 hari (hingga 19 Julai) RM84 juta
33 hari (hingga 24 Julai) RM90 juta
40 hari (hingga 1 Ogos) RM96 juta
50 hari (hingga 11 Ogos) RM97 juta

Filem ini memperoleh sambutan hangat awal di Malaysia dengan kutipan terbesar sebanyak RM1 juta pada hari pembukaan bagi filem tempatan selepas dua tahun, sekaligus muncul sebagai filem genre epik pertama mencapai kutipan pecah panggung sebaik dipertontonkan. Mat Kilau terus meledak apabila berjaya meraih kutipan RM7 juta dalam tempoh tiga hari ditayangkan di pawagam, berdasarkan maklumat terkini diperoleh penerbit.

Filem ini berjaya melakar sejarah tersendiri apabila meraih kutipan panggung lebih RM11 juta pada hari keempat tayangan sekaligus mengatasi kutipan filem Jurassic World Dominion dan Top Gun: Maverick. Kutipan pecah panggung kemudian meningkat sebanyak RM12.2 juta hanya pada minggu pertama ditayangkan di pawagam seluruh negara. Selepas 5 hari tayangan, filem ini memperoleh kutipan sebanyak RM16 juta. Pada hari ketujuh tayangannya, Mat Kilau berjaya mencatat kutipan lebih RM23 juta, sekaligus menjadikannya sebagai filem epik Melayu pertama yang pecah panggung.

Dalam tempoh 10 hari ditayangkan di seluruh negara, Singapura dan Brunei, Mat Kilau berjaya memperoleh kutipan pecah panggung tertinggi sebanyak RM39.2 juta. Syamsul Yusof dilaporkan berkata beliau berterima kasih kepada penonton "kerana masih percaya dengan sentuhan saya dan pasukan produksi." Hujung minggu kedua menyaksikan kutipan mencecah RM47 juta; ketika ini, Syamsul dilaporkan gembira mengakui bahawa kejayaan Mat Kilau perlu dikongsi oleh semua pembikin filem negara dengan mengulas, "Saya sendiri teruja dengan rekod yang dibuat Mat Kilau. Pelbagai perasan bercampur dalam diri. Barangkali, formula memenuhi kehendak dan selera penonton adalah rahsia utama kejayaan Mat Kilau." Pada 5 Julai, diumumkan bahawa kutipan sudah mengatasi rekod lepas filem tempatan kutipan tertinggi yang dipegang oleh Munafik 2 (RM48 juta) yang juga diarah oleh Syamsul.

Filem ini berjaya mengungguli senarai filem tempatan paling laris pernah diterbitkan dalam sejarah perfileman negara sejak filem Laila Majnun yang diterbitkan pada 1933. Media melaporkan bahawa kutipan Mat Kilau melonjak dengan jumlah terbaru dilaporkan lebih RM51.8 juta selepas 13 hari tayangan. Ditanya mengenai sambutan terhadap filem ini, penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali berkata: "Jumlah kutipan filem Mat Kilau sudah mencecah RM51.8 juta. Saya nak ambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton yang memberi sokongan menonton filem yang mengetengahkan pahlawan terbilang, Allahyarham Mat Kilau Iman Rasu ini. Paling mengujakan, pelbagai lapisan masyarakat datang menonton. Ini termasuklah makcik dan pakcik, ada antaranya bertongkat serta berkerusi roda. Ia sekali gus menyuntik semangat untuk menghasilkan filem bergenre epik dan ikonik pada masa hadapan."

Namun selepas tayangan pada hari ke-13 sahaja, sambutan peminat semakin hangat serta berjaya mengutip kutipan pecah panggung tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia iaitu sebanyak RM53 juta. Syamsul dinyatakan berkata: "Dalam 13 hari, Mat Kilau menjadi filem tempatan yang mencatat kutipan 'box office' tertinggi. Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua penonton."

Pada hari ke-17 tayangan perdana rasminya, Mat Kilau berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM61 juta, sekaligus melebihi sasaran yang dijangkakan. Harian Metro melaporkan bahawa Syamsul menyasarkan bahawa filem arahannya boleh mencatat kutipan maksimum RM60 juta walaupun ada mendakwa ia boleh memperoleh kutipan RM80 juta hingga RM100 juta, sekaligus berjaya mengatasi rekod kutipan filem antarabangsa yang ditayangkan di Malaysia dalam carta All Time International Malaysia Box Office.

Mat Kilau berjaya meraih kutipan tertinggi sebanyak RM71.27 juta pada ke-21 tayangan perdananya selepas ditolak cukai hiburan sebanyak 25 peratus oleh kerajaan dan caj 50 peratus yang dikenakan pawagam.

Pada hari ke-23 tayangan perdananya, jualan tiket filem Mat Kilau meningkat lebih RM80 juta. Syamsul berkata, sudah tiba masanya industri filem tanah air untuk bangkit. Beliau berkata: "Kepada yang memberi komen positif untuk filem saya, syukur dan terima kasih. Saya amat terharu dan hargai anda. Kepada yang katakan filem saya kali ini sampah dan lemah, juga saya terima dengan berlapang dada, kerana tidak ada filem yang sempurna." Ditanya mengenai jangkaan filem itu mampu mencecah kutipan RM100 juta, Syamsul berkata, beliau mensasarkan RM90 juta.

Pada hari ke-27 tayangannya, kutipan meningkat ke RM84 juta. Pada 24 Julai 2022, 33 hari selepas ditayangkan, kutipan mencapai paras RM90 juta, sekali gus mengatasi Avengers: Endgame sebagai filem dengan kutipan paling tinggi keseluruhan dalam sejarah tayangan pawagam Malaysia.

Kutipan tayangan meningkat lagi ke paras RM96 juta pada hari ke-40 tayangannya. Selepas dua bulan tayangan, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya meraih kutipan sebanyak RM97 juta menjadikannya sebagai filem tempatan dengan keuntungan yang tertinggi sepanjang zaman setakat ini.

Ulasan kritis

Filem ini menerima pelbagai ulasan yang rata-ratanya positif dan juga bercampur-campur. Ahmad Fariszuan dari portal filem, Kakimuvee memuji Syamsul Yusof dan Studio Kembara kerana "berani menerbitkan sebuah filem berunsurkan perjuangan Melayu yang diinspirasikan daripada pahlawan kemerdekaan tanah air iaitu Mat Kilau." Beliau menulis, "Walaupun ada beberapa perkara yang boleh ditingkatkan lagi dalam filem Mat Kilau ini akan tetapi saya mengakui bahawa filem ini adalah filem yang wajib ditonton oleh kebanyakan rakyat Malaysia dan tontonan harus dilakukan di pawagam." Untuk filem ini, beliau memberikan penarafan 4.5 bintang. Rafzan Tomomi dalam ulasan retrospektifnya mengenai filem ini berpendapat bahawa filem Mat Kilau "sangat menarik untuk ditonton." Beliau turut memuji barisan pelakon yang membawakan watak masing-masing dengan baik. Menulis untuk Astro Gempak, Hanafis Haris menyatakan kepujiannya terhadap filem ini sambil berpuas hati dengan penghasilan filem ini. Beliau memberi penarafan 7.5/10. Portal filem, Rollo de Pelicula memuji keseluruhan filem ini sambil menulis, "Secara keseluruhan filem ini masih menghiburkan dan paling penting berjaya membuatkan kami sebagai orang Melayu bangga dengan perjuangan dan keberanian nenek moyang kami yang berterusan menentang penjajah tanpa gentar dan penuh dengan keimanan." Sembang Filem pula mengulas bahawa filem ini "berjaya mengajak penonton temnpatan beramai-ramai ke pawagam, membawa ahli keluarga masing-masing untuk menghayati sendiri perjuangan anak bangsa membebaskan tanah air dari penjajahan British." Portal filem itu turut memberi penarafan 48.5 bintang untuk filem ini.

Noel Wong dari Free Malaysia Today mengulas bahawa Mat Kilau ialah sebuah filem aksi sejarah yang "memerlukan doktor skrip." Dalam ulasannya, beliau berkata: "Tambahan pula, filem ini menjadi berat, dengan watak-watak yang melepaskan baris tentang patriotisme, penghormatan dan pengorbanan setiap beberapa minit [...] Secara keseluruhannya, walaupun filem ini mungkin telah menawan hati sebilangan rakyat Malaysia, mempunyai doktor skrip di tangan sudah tentu akan membantu mengukuhkannya sebagai sebuah karya sinematik yang mantap." Hafizal Mahat dari Oh! Media pula menyatakan kepujiannya terhadap filem ini sambil berpendapat ia "berjaya membangkitkan semangat anak Melayu." Menulis untuk Sensasi Selebriti, Budiey dalam ulasan retrospektif mengenai filem ini berkata: "Mat Kilau berjaya untuk membawa mesej terbesar kepada penonton iaitu Melayu dan perpecahan yang akhirnya membawa kepada penjajahan. Mesej ini besar dan boleh dikatakan sebagai baju kepada filem ini." Beliau turut beranggapan bahawa "menonton Mat Kilau nampak seperti menonton filem aksi KL Gangster tetapi diubah eranya dan wataknya. Ianya menghiburkan. Penuh aksi. Padat dengan babak yang cukup lasak dan mantap." Wafa Aula dari portal Getaran pula menulis: "Namun begitu, kita tidak boleh menafikan bahawa Mat Kilau ialah sebuah filem yang penting bukan sahaja untuk membawa kembali semangat kepahlawanan, tetapi menambah koleksi genre filem epik sejarah dalam industri perfileman negara. Mesejnya jelas bahawa kemenangan akan selalu berpihak kepada mereka yang bersatu hati dan yakin dengan keesaan Tuhan. Kemenangan tidak berpihak kepada orang yang hanya menikus dan ketakutan." Mohd Haikal Isa dari Kosmo! menulis: "Paling penting, mesej sampai kepada penonton dengan baik biarpun jalan cerita agak bercelaru, namun secara keseluruhan, Mat Kilau sebuah filem yang seronok untuk ditonton. Koreografi silat, senjata dan babak aksi yang ditunjukkan semuanya menjadi." Pengkritik filem, Mansor Puteh berpendapat "Mat Kilau dalam filem dengan tajuk Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan tak sama dengan Mat Kilau dalam sejarah" sambil berkata: "Mat Kilau hanya kisah tokoh tempatan dan filemnya juga hanya filem hiburan ringan dengan gerak aksi berlebihan dan ungkapan dialog yang penuh perasaan yang semuanya ini hanya boleh menarik perhatian penonton tempatan sahaja".

Maklum balas

Mat Kilau turut menerima banyak maklum balas positif semasa ditayangkan. Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan menyifatkan filem ini ditayangkan tepat pada masanya. Beliau berkata: "Tayangan filem Mat Kilau adalah tepat pada masanya, sama ada dirancang atau tidak, kita harus akui tarikan aura filem hasil sentuhan pengarah muda, Syamsul Yusof berjaya menarik perhatian jutaan rakyat Malaysia menonton dan mendalami jalan cerita yang menarik." Mohammad Sufian Abdul Manan, Penolong Pendaftar Kanan di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengakui bahawa dengan menonton filem Mat Kilau, ia merupakan kaedah yang kreatif secara visual untuk mahasiswa mendapat isi manfaat daripada filem tersebut. Meskipun ada yang berpendapat filem ini hanya filem hiburan yang menginspirasikan perjuangan pahlawan Mat Kilau menentang Inggeris di Pahang dan bukan filem dokumentari sejarah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Md Nasir Ibrahim berkata filem Mat Kilau merupakan antara penerima sokongan dan galakan daripada kerajaan. Menurut Md Nasir, prestasi memberangsangkan filem ini dengan kutipan pecah panggung memberi sinar kepada industri perfileman negara, sekali gus membuktikan kekuatan jenama filem tempatan dalam meraih kepercayaan penonton ke pawagam setelah berhadapan cabaran pandemik COVID-19. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang telah menonton filem ini, bertitah: "Beta menggalakkan rakyat bangsa ini khususnya orang Melayu untuk menonton filem Mat Kilau untuk dijadikan contoh dan pengajaran bagaimana sesebuah tamadun dan bangsa itu boleh runtuh sekiranya tiada perpaduan dan kerjasama."

Reaksi oleh waris Mat Kilau

Filem ini juga menerima reaksi positif daripada waris-waris Mat Kilau. Salah seorang daripada waris Mat Kilau, pensyarah Dr. Siti Shukhaila Shaharuddin, memuji usaha dilakukan penerbit, Studio Kembara untuk mengangkat kisah kepahlawanan Mat Kilau. Beliau yang bertugas di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kepakaran dalam bidang Komunikasi Visual, menganggap filem ini membuka mata ramai terhadap kisah Mat Kilau. Beliau berkata: "Saya ucap syabas kepada Syamsul [Yusof] dan penerbit [Studio Kembara] kerana berjaya menghasilkan naskhah yang baik dan menarik. Mungkin selama ini, kami dan orang lain hanya tahu dan lihat ia sebagai penceritaan dalam fakta sejarah. Namun, sentuhan emas Syamsul dengan acuannya tersendiri berjaya menghasilkan filem fiksyen dan epik dalam sejarah perjuangan Mat Kilau yang mampu menarik minat golongan muda hingga dewasa."

Seorang lagi waris Mat Kilau, Marliza Zain berkata: "Sejarah dan filem itu sendiri membuktikan semua bangsa dipergunakan untuk kepentingan penjajah British. Tetapi, realitinya hingga kini, antara sedar atau tidak, kita ibarat terus dipergunakan untuk kepentingan tertentu biarpun sudah mencapai kemerdekaan. Filem dan sejarah ini memang boleh disesuaikan dengan situasi sekarang. Bahkan, kita boleh adaptasi perjuangan figura sejarah ini dalam pelbagai aspek kehidupan semasa."

Cucu kepada Mat Kilau, Mohd. Alhamadi Abu Bakar menyifatkan filem arahan Syamsul dihasilkan berkisar perjuangan datuknya sebagai mempunyai daya tarikan dan kekuatan tersendiri selain membangkitkan semangat jati diri dalam kalangan masyarakat Melayu. Beliau berkata kepada Utusan Malaysia: "Pada pandangan saya, ia satu kerja yang baik kerana dapat membangkitkan semangat jati diri Melayu Islam selain mengembalikan semula zaman kegemilangan orang-orang Melayu yang jati dirinya semakin pudar. Penerimaan filem yang menggunakan nama tokoh Mat Kilau ini juga mempunyai kekuatan yang tersendiri sehingga ia berjaya membuat kutipan yang sebegitu."

Kontroversi

Peranan sebagai media menyebarkan fahaman Ketuanan Melayu

Mat Kilau turut menerima kecaman daripada kumpulan penganut agama Sikh apabila mereka meluahkan rasa kecewa dengan gambaran buruk ke atas komuniti mereka dalam filem itu. Para anggota pertubuhan komuniti United Sikhs Malaysia dalam kenyataan rasmi mereka menyatakan bimbang komponen dalam filem Mat Kilau boleh mencetus salah faham agama dan perkauman, bahkan menggesa industri filem Malaysia tidak menghasilkan filem yang memberi kesan pada sentimen agama dan kaum dan berpotensi menimbulkan salah faham agama dan kaum lalu boleh membawa kepada ketidakharmonian kaum. FINAS dilaporkan berkata bahawa susulan isu Sikh dalam filem Mat Kilau, penguatkuasaan garis panduan untuk semua kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF) di Kementerian Dalam Negeri (KDN). Abdul Rahman Mt Dali, pengasas dan pengarah urusan Studio Kembara kemudian berkata bahawa gambaran Sikh dalam filem itu berdasarkan daripada fakta sejarah sebenar iaitu tentera Sikh British sewaktu di Tanah Melayu.

Filem ini sekali lagi dihimpit dengan kontroversi apabila ahli akademik dan pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Hafidzi Mohd Noor mendakwa filem itu tidak memberikan gambaran yang tepat tentang peranan yang dimainkan oleh pelbagai kaum pada zaman penjajah. Beliau berkata ia perlu ada naratif yang jujur ​​supaya penonton dapat memahami bahawa bukan hanya satu komuniti yang memainkan peranan dalam membantu British menguasai Tanah Melayu. Menurutnya: "Bukan sahaja tentera Sikh yang berkhidmat untuk empayar British ketika itu, tidak seperti dalam filem, tetapi juga (pengawal) Melayu,".

Pada September 2022, ahli sains politik Azmil Tayeb mengarang rencana yang membongkarkan hubungan Ikatan Muslimin Malaysia dengan pembikinan filem ini sebagai wahana menyebarkan ideologi Ketuanan Melayu melalui orang kuatnya Abdul Rahman Dali bekas naib presiden pertubuhan tersebut selaku pengerusi Studio Kembara untuk makalah Fulcrum terbitan Institut ISEAS–Yusof Ishak di Singapura, namun rencana tersebut terpaksa ditarik balik selepas Azmil menerima ugutan ke atas beliau oleh pihak sefahaman ISMA.

Pembocoran haram

Filem ini disasarkan segelintir penonton yang merakamkan secara haram babak kemuncak dan berkongsi ke platform TikTok pada Jun 2022. Beto Kusyairy meluahkan rasa kecewanya terhadap kejadian begini menerusi hantaran di laman Facebook malah menyeru pengguna media sosial supaya padam sebelum tindakan saman diambil.

Pada 1 Ogos tahun sama, Kosmo! melaporkan bahawa salinan filem ini didakwa telah bocor di aplikasi Telegram sejak beberapa minggu lalu dan turut mempromosikan kegiatan perjudian. Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt. Dali berkata, be­liau mengetahui insiden itu serta sedang berusaha untuk membuangnya daripada apli­kasi ter­sebut. Beliau berkata: "Sedang berusaha buang dan laporan juga telah dibuat kepada Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),".

Lain-lain

Mat Kilau menjadi subjek kontroversi apabila poster filem itu yang menampilkan Jalaluddin Hassan mendapat perhatian Presiden Pertubuhan Kebajikan Adat Budaya Malaysia, Pak Li. Dalam perkongsiannya di Facebook, individu tersebut mengkritik keris yang terselit di pinggang watak lakonan Jalaluddin dalam poster filem itu. Menurutnya, keris tersebut ialah Keris Jawa, bukannya Keris Pahang, sepertimana yang digunakan pahlawan Melayu, khususnya Mat Kilau. Menurut Pak Li: "Indahnya Alam Melayu yang mengamalkan sesuatu penuh adab, penuh maksud, kerana disitulah akan menunjukkan jatidiri dan identiti si pemakai."

Perancangan filem susulan

Berikutan kejayaan filem Mat Kilau, Syamsul Yusof tidak menolak kemungkinan akan mengarahkan filem yang menyinambung susul. Beliau berkata kepada Harian Metro: "Filem Mat Kilau 2, setakat ini kalau dari bahagian saya sudah semestinya akan ada. Cuma, perkara ini tak boleh gopoh. Dalam berkarya ini tak boleh gopoh. Kalau inginkan sesuatu yang berkualiti kena ambil masa, kajian dan sudah tentu nak tingkatkan dan tambah baik untuk selepas ini. Tidak kira sama ada filem Mat Kilau atau apa saja pahlawan dan apa jua filem sekalipun kena perbaiki daripada sebelumnya, insya-Allah." Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt. Dali kemudian mengesahkan akan menerbitkan kesinambungan filem Mat Kilau. Menurutnya, skrip filem ini juga telah disiapkan. Adi Putra kemudian memberitahu bahawa beliau tidak menolak untuk membintangi kesinambungan filem Mat Kilau, namun beliau perlu mempertimbangkan dan mengkaji daripada banyak sudut sebelum memberikan kata persetujuan jika tawaran diberikan. Penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali mengesahkan bahawa akan ada filem kedua Mat Kilau sambil berkata bahawa ia bakal bertaraf antarabangsa.

Lihat juga

Rujukan

Pautan luar

Tags:

Kebangkitan Pahlawan PlotKebangkitan Pahlawan Barisan pelakonKebangkitan Pahlawan PenerbitanKebangkitan Pahlawan Tema dan gayaKebangkitan Pahlawan KeluaranKebangkitan Pahlawan SambutanKebangkitan Pahlawan KontroversiKebangkitan Pahlawan Perancangan filem susulanKebangkitan Pahlawan Lihat jugaKebangkitan Pahlawan RujukanKebangkitan Pahlawan Pautan luarKebangkitan Pahlawan

🔥 Trending searches on Wiki Bahasa Melayu:

Natasya MahyanKesultanan Johor-RiauNegeri-negeri Melayu BersekutuMelitha SidabutarMustafa Kemal AtatürkLovely RunnerAhli Sunah WaljamaahHari Alam SekitarKL GangsterFarajAnwar IbrahimSolat Sunat RawatibInsya-AllahRahsia (filem 2023)VirusGeografi JohorRiezman KhuzaimiPasukan Udara Tentera Darat MalaysiaNusantaraKugiran MasdoSenarai haiwanSenarai poskod di MalaysiaNasi lemakRicheese FactoryRindu Kasih 2Politik balas budiPerang AhzabSrivijayaRujukan kehormatPerkahwinan menurut IslamMata anginGerak KhasMenteri Pertahanan MalaysiaProton SagaPengenalan kepada virusAssalamualaikumParti Rakyat India MalaysiaTanda-tanda KiamatInna lillahi wa inna ilaihi raji'unWanita SyurgaHalim RadziKodi RasheedJep SepahtuEddie HamidSarimah AhmadMandi wajibPenjodoh bilangan bahasa MelayuPakmaPerkhidmatan awam di MalaysiaAzhan RaniLee Chong WeiShakira (drama)Proton WiraPencemaran udaraHelikopterIzzue IslamSurah al-BaqarahJohorEmpayar UthmaniyahSusukSabronzoSarah SuhairiMierul AimanPerakSyed Mokhtar Al-BukharyAbang Long FadilSenarai Kementerian di MalaysiaTeknologi hijauAngel (penyanyi)KomunikasiPerlisSemenyihJam 24 jamPerang PadriMinal 'Aidin wal-FaizinBahasa Melayu BruneiNasionalismeAllah🡆 More