M. Nasir: Penyanyi, pelakon, komposer, pengarah dan pelukis Malaysia

Dato' (Dr.) Mohamad Nasir Mohamed atau lebih dikenali sebagai M.

Nasir (lahir 4 Julai 1957) ialah seorang penyanyi, pencipta lagu, komposer, pelakon, penerbit album, pengarah dan pelukis Malaysia yang lahir di Singapura. Dikenali dengan jolokan sifu dalam industri muzik Malaysia, beliau memulakan kerjaya bersama kumpulan Kembara sebagai vokalis dan gitaris untuk tempoh singkat sebelum memulakan kerjaya muzik secara solo.


M. Nasir

M. Nasir: Kehidupan awal, Kerjaya, Bakat
Dato' M. Nasir semasa persembahan di Anugerah Juara Lagu ke-23.
Kelahiran
Mohamad Nasir bin Mohamed

(1957-07-04) 4 Julai 1957 (umur 66)
Bukit Panjang, Koloni Singapura
Nama lain
  • Mohamed M.N.
  • Sifu M. Nasir
PendidikanDiploma Lukisan Barat
Pusat pendidikanAkademi Seni Halus Nanyang
PekerjaanPenyanyi, pencipta lagu, komposer, pelakon, penulis, penerbit album, pengarah, pelukis
Tahun aktif1979–kini
PasanganJunainah Johari (k. 1981; m. 1998)
Datin Marlia Musa (k. 2000)
Anak-anak
  • Mohd Ilham
  • Mohd Yasin
  • Mohd Hidayat
  • Mohd Shafie
  • Nurnilam Sari
  • Suci Musalmah
SaudaraZulkifli Mohamed (Kembara)
Siti Hajar Mohamed (Al-Jawaher)
Normala Mohamed (Al-Jawaher)
Kerjaya muzik
Genre
Instrumen
Syarikat rakaman
Luncai Emas
Pengkarya berkait

Antara lagu-lagu terkenal beliau ialah "Mustika", "Apokalips", "Mentera Semerah Padi", "Raikan Cinta" dan "Phoenix Bangkit Dari Abu". M. Nasir juga ialah pengasas dan pemilik syarikat rakaman Luncai Emas yang turut berkhidmat sebagai pasukan pengurusannya. Sepanjang kerjayanya, beliau menjadi salah seorang antara penyanyi Melayu yang berjaya melahirkan album solo baru di setiap 4 dekad berbeza berturut-turut selain Anita Sarawak, Sharifah Aini, Khatijah Ibrahim, Ramlah Ram, Jamal Abdillah, Hattan dan Noraniza Idris.

Sebagai pelakon, beliau memulakan kerjaya lakonan menerusi filem Kembara Seniman Jalanan (1986) yang mana beliau turut berkhidmat sebagai penulis skrip. Antara filem-filem lakonannya ialah Fenomena (1990), Selubung (1992), Merah (1997), Puteri Gunung Ledang (2004) dan Tombiruo: Penunggu Rimba (2017). Di luar bidang muzik, Nasir juga ialah seorang pelukis dan telah melukis pelbagai hasil seni lukisan termasuk abstrak. Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan termasuk Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

Kehidupan awal

M. Nasir dilahirkan pada 4 Julai 1957 di Bukit Panjang, Koloni Singapura (ketika itu sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu) dan merupakan anak keempat daripada 9 adik-beradik. Bapanya, Mohamed Sam berasal dari Pagoh, Muar, Johor bekerja sebagai pegawai bomba di Jabatan Bomba Singapura. Ibunya, Aesah Yahya ialah seorang suri rumah yang gemar berzanji dan mengaji. Selepas pemisahan Singapura daripada Malaysia pada 1965, keluarganya memutuskan untuk menjadi rakyat Singapura. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Kerajaan Bukit Panjang, kemudian melanjutkan pendidikan menengah di Vocational Institute Boys Town. Beliau mengambil pengajian diploma dalam lukisan Barat di Akademi Seni Halus Nanyang di Singapura, pada asalnya mahu menjadi seorang pelukis. Beliau mula menceburi bidang muzik pada tahun 1978 apabila seorang rakan yang merupakan penerbit eksekutif PolyGram Singapura ketika itu bernama Wan Ibrahim telah menjemput beliau untuk menulis lirik lagu untuk kumpulan Alleycats yang meningkat popular pada masa itu.

Kerjaya

M. Nasir telah didedahkan secara mendalam kepada bidang muzik tidak hanya mendengar radio; tetapi juga abang sulungnya yang membawanya rakaman dari artis antarabangsa seperti Bob Dylan, Queen, Al Stewart, Led Zeppelin dan Iwan Fals (Virgiawan Listianto) penyanyi indonesia semasa membesar di Singapura pada 1950-an dan 1960-an. Beliau telah memilih untuk menceburi bidang nyanyian dengan mengeluarkan album pertamanya, Untuk Pencinta Seni di bawah nama Mohamed M.N. pada tahun 1979, namun album tersebut gagal di pasaran.

Kembara

Beliau membentuk kumpulan folk rock Kembara dengan empat orang anggota lain iaitu A. Ali, S. Sahlan, dan adik-beradik Abby dan Eddie Ali. Adik-beradik Ali bagaimanapun meninggalkan Kembara pada awal penubuhannya itu disebabkan oleh perbezaan pendapat mereka memilih genre yang bakal diketengahkan oleh kugiran tersebut. Kembara mengeluarkan album sulung mereka yang menjadi suatu kejayaan komersial dengan sebanyak 25,000 naskhah yang terjual. Antara lagu terkenal mereka ialah "Ekspres Rakyat" yang pernah meraih anugerah khas di Pesta Lagu-lagu Pop Asean yang berlangsung di Bangkok, Thailand. Mereka turut mengeluarkan enam album yang mencapai kejayaan yang sama sehingga pembubaran mereka pada akhir tahun 1985.

Solo

Selepas pembubaran Kembara, M. Nasir memulakan kerjaya solo, menandatangani kontrak dengan PMC/BMG dan menerbitkan album S.O.L.O yang dikeluarkan pada 13 November 1989, ia menjadi album pertamanya yang didaftarkan atas nama M. Nasir. Lima lagu di dalam album ini telah dikeluarkan sebagai single, dengan salah satunya menampilkan duet bersama Rahim Maarof, iaitu "Falsafah Cinta". Album ini menjadi kejayaan komersial apabila ia berjaya mencapai angka jualan sebanyak 50,000 unit sekaligus melayakkan M. Nasir menerima dua anugerah khas daripada BMG Music setahun kemudian.

Pada 5 Januari 1990, beliau menubuhkan label rakamannya sendiri Luncai Emas yang beribu pejabat di Sungai Buloh, Selangor. Beliau seterusnya melancarkan album solo ketiganya, Saudagar Mimpi (1992) di mana beliau menulis kesemua lirik untuk 11 lagu di dalam album ini, dengan 3 lagu dikarang oleh beliau sendiri. Antara lagu popular album ini ialah "Apokalips" yang merupakan single pertama.

Pada 9 Oktober 1992, beliau mengadakan konsert solo Konsert Gong Impian M. Nasir yang berlangsung di Dewan Lee San Choon, Wisma MCA, Jalan Ampang. Persembahan beliau telah diiringi oleh 13 pemuzik undangan dan dimulakan dengan deklamasi sajak oleh Pyan Habib. Antara yang hadir menonton persembahan beliau ialah rakan-rakan penyanyi Ramli Sarip, Hattan, Sheila Majid dan Ramlah Ram.

Album studio keempat beliau, Canggung Mendonan dikeluarkan pada 22 Disember 1993, memperlihatkan M. Nasir mengetengahkan pelbagai genre termasuk muzik dunia. "Mentera Semerah Padi", "Tanya Sama Itu Hud Hud", "Sentuhan Listrikmu" dan "Bonda" dikeluarkan sebagai single. Proses rakaman album ini dijalankan di Australia. Canggung Mendonan memenangi Album Tradisional Terbaik dan "Mentera Semerah Padi" memenangi Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik kedua.

Pada 29 Julai 1994, M. Nasir mengadakan konsert solonya yang diberi nama Konsert Canggung M. Nasir yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur,. Konsert ini menjadi kejayaan komersial.

Beliau mengadakan konsert jelajahnya di Eropah dengan pesta tiga hari diadakan di Manchester, England pada 1997. Idea untuk konsert ini mula dirancang pada awal tahun sama.

M. Nasir melancarkan album kelima beliau, Srikandi Cintaku (1999) yang mana kesemua lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini merupakan rakaman semula dari lagu-lagu ciptaan beliau yang sebelumnya pernah dipopularkan oleh artis-artis popular dan beliau sendiri. Album ini menjadi kejayaan komersial hingga berjaya dipasarkan di Indonesia.

Pada Disember 1999, M. Nasir mengadakan konsert solonya yang diadakan secara 'unplugged' di Auditorium Besar, Angkasapuri dan konsert ini dirakamkan untuk siaran pada Hari Raya kedua. Dalam konsert ini, beliau menyanyikan sejumlah lagu termasuk "Apokalips", "Berikan Nurbisa" dan "Srikandi Cintaku".

Pada 13 Ogos 2000, Album Keenamnya Deonix telah dikeluarkan. Antara lagu-lagu hits ialah Canggih Kita itu je lah Album Merupakan Syarikat Rakaman Warner Music Malaysia. Beliau kemudian membuat satu lagi persembahan di konsert solonya, iaitu Konsert Andalusia M. Nasir yang diadakan pada 29 Januari 2000 di Stadium Merdeka. Ia mencipta sejarah apabila menjadi konsert pertama yang mendapat iringan muzik orkestra. Konsert ini juga turut dihadiri oleh kumpulan Senario, Erra Fazira dan Siti Nordiana sebagai artis undangan.

Pada 12 Jun 2001, album ketujuhnya, Phoenix Bangkit telah dikeluarkan. Antara lagu-lagu hits ialah "Raikan Cinta" dan "Phoenix Bangkit Dari Abu". Album ini merupakan album pertama M. Nasir bersama Warner Music Malaysia selepas kontraknya bersama BMG Music tamat. Sebuah konsert juga telah diadakan bagi mempromosikan album ini, iaitu Konsert Phoenix Bangkit berlangsung pada 21 Oktober 2001.

M. Nasir kemudian melancarkan album kelapannya, Sang Pencinta pada 16 Mei 2006. Album ini mendapat sambutan di pasaran. Ia mempunyai pengaruh pop rock dengan pelbagai elemen muzik termasuk Brit Pop berbanding album terdahulu. "Juwita... (Citra Terindah)", "Tujuh Nafas Lagi" dan "Sang Pencinta" dikeluarkan sebagai single. Sang Pencinta juga telah menerima empat pencalonan di Anugerah Industri Muzik ke-14, memenangi satu kategori, iaitu Album Pop Rock Terbaik.

M. Nasir: Kehidupan awal, Kerjaya, Bakat 
M. Nasir mengadakan persembahan di Konsert Alam Muzik M. Nasir pada 2009.

Pada 27 Februari hingga 1 Mac 2009, beliau mengadakan Konsert Alam Muzik M. Nasir yang diadakan di Istana Budaya dengan Ali Bakar berkhidmat sebagai pengarah dan penerbit dan Aznan Alias sebagai pengarah muzik. Beliau membawakan 40 lagu dalam konsert yang menggunakan khidmat 10 pemuzik profesional di bawah bimbingan Aznan. Beliau kemudian mengadakan persembahan di Konsert Satu Wajah M. Nasir yang berlangsung di Stadium Negara pada 25 Julai. Bagaimanapun, konsert ini dibatalkan selepas ditunda.

Beliau bersama-sama dengan Ella, Ramli Sarip dan kumpulan Spider membuat persembahan di Konsert Untukmu Loloq yang diadakan pada 22 sehingga 24 April 2011 di Panggung Sari, Istana Budaya. Konsert ini diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa penulis lirik, Loloq yang meninggal dunia pada 2008 dengan menampilkan Hasnul Rahmat yang akan melakonkan beberapa sketsa memegang watak sebagai Loloq. Beliau menyampaikan 4 lagu dalam konsert itu.

Nasir kembali beraksi di Istana Budaya dengan mengadakan persembahan di Konsert M. Nasir Sang Pencinta yang berkonsepkan teatreikal. Diadakan pada 28 hingga 30 Jun 2013, beliau telah mempersembahkan sebanyak 25 lagu popularnya termasuk sebuah lagu baru, "Aku Dah Bilang".

Dari 24 Mei hingga 7 November 2015, beliau mengadakan konsert jelajahnya, Konsert M. Nasir... Kembara yang diadakan di empat negeri di Malaysia. Ia turut dihadiri oleh Spider, Fynn Jamal dan Pitahati yang tampil sebagai artis jemputan.

M. Nasir ialah salah seorang daripada 45 artis popular yang mengadakan persembahan di Konsert Petronas Bersama Merentas Zaman bersempena ulang tahun ke-45 syarikat minyak dan gas Petronas, artis yang terlibat termasuk Amy Search, Ella, Jaclyn Victor, Ruffedge, Faizal Tahir, David Arumugam dan lain-lain.

Kemudian pada 23 November 2019, beliau mengadakan konsert solonya, Konsert M. Nasir Satu Hikayat – 40 Tahun Perjalanan yang dianjurkan oleh Shiraj Projects yang berlangsung di Dewan Plenari KLCC. Sebanyak 20 lagu telah disenarai pendek dan dipersembahkan secara langsung selama 2 jam. Konsert ini diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-40 kerjaya muzik beliau.

Pada Julai 2022, Nasir dan kumpulannya, Kembara telah mengadakan konsert Panorama Jingga 1444 Hijrah di Dewan Plenari, KLCC.

Pada 25 dan 26 November 2022, beliau telah mengadakan persembahan di Konsert Simfoni Mustika M. Nasir yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dengan kerjasama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO). Konsert ini dikendalikan oleh Ahmad Muriz Che Rose sebagai konduktor dan 100 pemuzik orkestra.

Pada Februari 2023, beliau muncul dengan lagu terbaharu bertajuk "Munajat" yang merupakan rakaman rasmi pertamanya dalam tempoh 17 tahun sejak album terakhirnya, Sang Pencinta (2006). Lagu ini juga digunakan sebagai runut bunyi asli filem Imam arahan Mior Hashim Manap.

Lakonan

Kerjaya filem M. Nasir bermula pada 1986 apabila beliau menulis dan membintangi filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani yang mana beliau melakonkan watak sebagai Bujang, seorang pemuzik jalanan yang baru tiba di ibukota telah bertembung dengan tidak sengaja dengan Osman Tikus di Hentian Puduraya. Filem ini ditayangkan pada 22 Februari 1986 dan merupakan kejayaan kritis.

Pada tahun yang sama, beliau membintangi filem Balik Kampung dengan membuat penampilan kameo sebagai penerbit album. Empat tahun kemudian, iaitu pada 1990, M. Nasir dipelawa oleh Aziz M. Osman untuk membintangi filem pertama arahan Aziz, Fenomena yang turut dibintangi oleh Ramona Rahman dan Amy Search. Beliau memenangi dua anugerah di Festival Filem Malaysia ke-9 bagi dua kategori, Skor Muzik Terbaik dan Lagu Tema Terbaik.

M. Nasir menduduki kerusi pengarah dengan mengarahkan filem pertamanya, Merah terbitan syarikatnya, Luncai Emas yang mana beliau turut berkhidmat sebagai penerbit, penulis skrip dan pengarah muzik selain turut berlakon. Dikeluarkan pada Disember 1996, filem ini menjadi kejayaan komersial apabila ia berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM1.5 juta.

M. Nasir dalam temu bual bersama Utusan Malaysia pada Januari 1999, mengumumkan bakal muncul dengam sebuah filem mengenai alam mistik dan ghaib, dan berkata: "Yang pasti ia adalah sebuah filem yang akan memberi kupasan tentang kuasa-kuasa ghaib atau mistik".

Dari 17 Julai hingga 31 Ogos 2000, beliau melakonkan watak Masterji Ali dalam drama pertama lakonannya, Salam Taj Mahal yang bersiaran di TV3. Pelakon lain yang terlibat termasuk Vanidah Imran, Rashidi Ishak dan Umie Aida. Pada tahun 2001, beliau meminjamkan suaranya untuk watak Putera Afdus dalam filem animasi Putih arahan Rashid Sibir. Dalam temubual bersama The Star, Nasir menyifatkan watak pahlawannya sebagai pengalaman baru. "Saya tidak berfikir dua kali untuk menerima peranan itu. Ini sesuatu yang baru bagi saya dan menarik,". Dikeluarkan pada 25 Oktober 2001, filem animasi ini turut menampilkan lakonan suara Erra Fazira yang menjayakan watak tajuk.

Beliau meraih kejayaan komersial menerusi watak lakonannya sebagai Hang Tuah dalam filem sejarah epik Puteri Gunung Ledang (2004) yang menggandingkan beliau bersama Tiara Jacquelina sebagai watak tajuk. Dikeluarkan pada 31 Ogos 2004, filem ini merupakan filem paling termahal di Malaysia dengan kos pembikinan sebanyak RM16.6 juta. Persembahannya dalam filem ini melayakkan Nasir bersama seorang lagi pelakon filem ini, Adlin Aman Ramlie menerima pencalonan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18. Selain berlakon, beliau turut menyumbangkan skor muzik untuk filem itu dan salah satu runut bunyinya, "Bagaikan Sakti" duet bersama Siti Nurhaliza.

Pada tahun 2014, beliau membintangi sebuah filem Brunei bertajuk Yasmine dengan memegang watak Datuk Raja Nan Hitam. Kemudian pada 12 Oktober 2017, beliau memegang watak Tan Sri Berham dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba, adaptasi dari novel 1998 bertajuk sama karya Ramlee Awang Murshid lakonan bersama Zul Ariffin, Farid Kamil dan Nabila Huda. Filem ini kembali menggandingkan kolaborasi M. Nasir bersama Nasir Jani dan menjadi kejayaan komersial apabila berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM8 juta.

Pada tahun berikutnya, beliau berlakon bersama Ashraf Sinclair (Allahyarham), Remy Ishak, Daniella Sya, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana dan Roy Marten dalam drama premium Malaysia-Indonesia, DO(S)A: Sacred Sin (2018) arahan Ifa Isfansyah. Ia mengisahkan tentang empat beradik yang dibesarkan bapa mereka sendirian dengan nilai kesederhanaan, pegangan agama yang kuat dan disiplin persilatan. Dalam drama ini, beliau memegang watak sebagai Latif.

Seni dan lukisan

Beliau juga terlibat dalam bidang seni lukisan, terutamanya seni abstrak dan pernah mempamerkan 4 hasil seni lukisannya di Galeri Petronas, Kompleks Dayabumi dari 12 Mei hingga 4 Jun 1995. Beliau telah mengadakan beberapa pameran melalui karya kanvasnya; yang pertamanya ialah Tanda pada 2014 dan Tanda II pada 2015, kedua-duanya diadakan di Shah Alam. Lukisan dihasilkannya berbentuk kerohanian dan ia juga sebagai ilham yang membentuk lagunya.

Penampilan lain

Pada Mei 2005, beliau dan isterinya, Marlia Musa dipilih sebagai antara peneraju utama Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) terbitan Astro. Nasir dilantik sebagai Pengetua manakala Marlia berkhidmat sebagai guru seni persembahan.

Pada 28 Oktober 2015, beliau menjadi juri undangan rancangan TV realiti Gegar Vaganza musim kedua. Ini menandakan penampilan pertamanya sebagai juri tamu dalam sebuah rancangan realiti. Beliau menjadi juri undangan bersama dua juri tetap Ramli M. S. dan Khadijah Ibrahim.

Pada Julai 2022, beliau menyertai cabang e-sukan, RSG Malaysia dengan menjadi sebahagian daripada Liga Profesional Mobile Legends (MPL) musim ke-10. Beliau turut bermain di posisi Flex dan menggunakan nama In Game Name atau IGN Sifu! di dalam permainan tersebut. Penyertaan ini menandakan penglibatan sulungnya dalam bidang sukan elektronik.

Pada Disember 2023, M. Nasir dilantik sebagai Duta Kemanusiaan MERCY Malaysia bagi tempoh 3 tahun. Pelantikan ini menjadikan beliau sebagai selebriti pertama dilantik sebagai duta dalam sejarah 24 tahun pertubuhan tersebut.

Bakat

Pengaruh

Semasa membesar di Singapura, beliau diperkenalkan kepada lagu-lagu dendangan penyanyi dan pemuzik antarabangsa seperti Bob Dylan dan Crosby, Stills, Nash & Young. Selain itu, beliau turut menjadikan Queen, Pink Floyd, Bob Marley dan Ahmad Jais sebagai sumber inspirasi dan rujukan. Dalam temubual bersama Harian Metro, beliau berkata: “Pengaruh banyak datang daripada abang saya yang banyak membeli rekod penyanyi luar. Saya kemudian diperkenalkan dengan Crosby, Stills, Nash & Young. Mereka menjana minat saya untuk menghasilkan lagu berunsur kerakyatan dan marhaen seperti apa yang saya lakukan bersama Kembara. Waktu itu juga kebanyakan anak muda lain lebih meminati muzik heavy rock daripada Deep Purple dan sebagainya, tetapi abang saya kemudian memperkenalkan Led Zeppelin kepada saya,".

Gaya muzik dan tema

Beliau merupakan pemilik syarikat rakaman Luncai Emas yang ditubuhkan pada 1990. Adiknya, Dzul juga aktif dalam bidang seni di Singapura. Selaku penggubah, beliau merupakan karyawan yang bertanggungjawab terhadap kegemilangan artis-artis terulung di Malaysia seperti Rahim Maarof, Alleycats, Search, Wings, Ella, Ziana Zain, Hattan, Spider, Mawi dan Misha Omar. Selain itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam zaman kegemilangan muzik rock pada era 1980-an.

M. Nasir juga dikenali menerusi hasil karyanya pelbagai genre seperti balada nusantara, folk rock dan muzik dunia dengan unsur-unsur kerakyatan, kemanusiaan, kerohanian dan ketuhanan yang sering menjadi tema lagu-lagunya. Hasil seni lukisan juga telah mengilhamkan beliau mencipta dan menulis lagu. Sebagai penulis lirik, beliau amat mementingkan konsep metafora, analogi, dan puitis dalam penulisan lirik hingga membolehkan masyarakat mentafsir lirik-liriknya. Nasir dipetik oleh Berita Harian Singapura sebagai berkata: "Lirik dahulu cukup mendalam. Kita rasakan betapa bingitnya kehidupan. Kerap kali, orang tua kita dahulu memang tak tahu apa yang kita sebenarnya buat dalam kita bergelar anak seni".

Beberapa lagu nyanyiannya juga mempunyai maksud yang tersendiri. Sebagai contoh, lagu "Mustika" yang dipetik dari album S.O.L.O mempunyai melodi yang unik dengan muzik asli Jawa dan bunyi-bunyian seperti angklung gamelan dan gong, melambangkan rasa cinta seorang kekasih kepada kekasihnya, seorang suami kepada isterinya atau sebaliknya, juga melambangkan rasa cinta manusia kepada Tuhannya. "Masirah" dari album Phoenix Bangkit menyingkap semangat perjuangan rakyat Palestin lantaran kerakusan rejim zionis. Lagu ini dimulakan dengan petikan puisi Perancis, kemudian dilatari dengan muzik peribumi Palestin, dan diakhiri dengan doa dan harapan yang dibacakan dalam bahasa Arab. M. Nasir juga paling dikenali menerusi kerjasamanya bersama penulis lirik Loloq, bermula dari album S.O.L.O (1989) sehingga Sang Pencinta (2006). Selepas Loloq meninggal dunia pada 2008, Nasir berpendapat kehebatan Loloq sebagai penulis lirik sukar dicari ganti.

Imej umum

M. Nasir dikenali sebagai salah seorang penyanyi terbaik Malaysia yang memenangi Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Lelaki) Anugerah Industri Muzik (AIM). Beliau juga merupakan antara individu yang dihormati hampir semua penggiat seni tempatan dan juga pengamal media, sekaligus dirujuk sebagai 'sifu' atau lagenda.

Beberapa rakan artis, komposer, pengamal media dan sasterawan meluahkan pandangan mereka tersendiri mengenai beliau. Komposer terkenal, LY berkata: "Karya M. Nasir dapat membezakan antara yang lama dan yang baru serta yang berlabuh dan yang perlu di abad ke-21". Bekas vokalis kumpulan Search, Amy yang pernah bekerja dengan M. Nasir untuk album-album Search pula berkata: "Beliau tahu hala tuju muzik ketika membentuk artis kerana ilmu pengetahuannya. Sumbangan M. Nasir amat besar kepada industri seni dan sudah tiba masanya berkecimpung dalam seni". Siti Nurhaliza yang pernah bekerjasama dengan Nasir menerusi lagu "Bagaikan Sakti" menyifatkan M. Nasir sebagai sifu muzik Malaysia dan berkata: "Lagu-lagunya sering menyentuh kita dan pada masa yang sama, mesej-mesej mempunyai elemen ilmu yang tinggi karyanya yang berhayat panjang kerana keindahan melodinya".

Sasterawan Negara, Noordin Hassan berpendapat: "M. Nasir adalah seorang yang inovatif. Karyanya tidak berlandaskan norma-norma biasa, sebaliknya ia sentiasa ada pembaharuan. Beliau tidak menggunakan simpulan bahasa yang sama dalam setiap karyanya. Kegemaran saya sudah tentu qasidahnya bersama Jamal Abdillah dalam lagu "Ghazal Untuk Rabiah". Rosyam Nor pula berpendapat: "Karyanya adalah definasi sebenar kepada budaya Nusantara". Ku Seman Ku Hussein dari Utusan Malaysia berkata: "Lagu dan muzik M. Nasir menghambat saya untuk ikut menyusuri kembara seni yang mistik di sebalik bunyi dengungan bunyi dari akar budaya Melayu". Saniboey Ismail dari Harian Metro pula berkata: "M. Nasir bagi saya adalah seniman versatil. Dia kaya dengan melodi muziknya. Ada sikap dan mengikuti perkembangan semasa. Banyak lagu ciptaanya yang saya anggap sebagai karya besar dan menjadi inspirasi kepada komposer, penyanyi, penulis lirik, malah pendengar biasa seperti saya sendiri. Beliau sebenarnya adalah bapa kepada evolusi muzik tanah air".

Kehidupan peribadi

Nasir berpindah bersama keluarganya ke Malaysia pada tahun 1984, di mana beliau mendapat kerakyatannya secara naturalisasi pada tahun 1989. Beliau bersama keluarganya menetap di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor.

Beliau berkahwin dengan vokalis kumpulan Ideal Sisters, Junainah Johari pada 12 September 1981 dan dikurniakan lima anak, empat anak lelaki – Ilham, Yassin, Hidayat dan Shafie serta seorang anak perempuan – Nurnilam Sari. Junainah meninggal dunia pada 8 Ogos 1998 akibat asma, meninggalkan Ilham, Yassin, Ilham, Shafie dan Nurnilam Sari di bawah jagaan M. Nasir. Beliau mengikat tali pertunangan dengan pelakon dan penulis skrip Marlia Musa pada 7 Mei 2000, pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada 31 Ogos dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Suci Musalmah.

Bapanya, Mohamed Sam meninggal dunia pada 28 Januari 2021 akibat sakit tua pada usia 96 tahun. Nasir bagaimanapun, tidak dapat pulang ke Singapura bagi memberi penghormatan terakhir kepada bapanya berikutan penularan pandemik COVID-19 di Singapura. Ini kemudian diikuti oleh ibunya, Aesah Yahya yang meninggal dunia pada 26 Mac 2023 juga akibat sakit tua pada usia 88 tahun.

Kontroversi

Pada tahun 1996, M. Nasir menjadi subjek kontroversi dan kecaman media apabila beliau didakwa menjawab pertanyaan "Siapa Mahathir?", selain turut tidak menghadiri latihan sempena Malam Puisi Utusan Malaysia yang menampilkan Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad sebagai tetamu kehormat. Akibatnya, beliau digam daripada muncul dalam mana-mana stesen TV dan radio kerana bersikap kurang ajar terhadap Perdana Menteri, Mahathir selepas arahan yang dikeluarkan oleh timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Suleiman Mohamed yang turut mengarahkan agar karya M. Nasir tidak dibenarkan disiarkan di TV dan radio. Konsertnya yang dijadualkan akan diadakan di Selangor dan Kedah juga turut dibatalkan. Dalam satu temubual pada 2017, M. Nasir menyatakan beliau tidak mahu mengulas berkenaan isu tersebut kerana menyifatkan "tidak mendatangkan hasil".

Diskografi

    Album studio

Filemografi

Filem

Tahun Tajuk Watak Catatan
1986 Kembara Seniman Jalanan Bujang Filem lakonan pertama, sebagai penulis dan komposer
Balik Kampung Penerbit Album Penampilan kameo
1990 Fenomena Azlan
1992 Selubung Kamal
1993 Balada Desa
1994 Simfoni Duniaku Iskandar
1996 Merah Hassan Juga sebagai pengarah, penulis, penerbit dan muzik
1999 Perempuan Melayu Terakhir Pelakon Pentas Penampilan khas
2001 Putih Putera Aftus (suara) Filem animasi
2004 Puteri Gunung Ledang Hang Tuah
2010 Magika Penunggu Tasik Chini
2014 Yasmine Datuk Raja Nan Hitam Filem Brunei
2017 Tombiruo: Penunggu Rimba Tan Sri Berham
2022 Rajawali Komang
2023 Imam Haji Mihad

Drama

Tahun Tajuk Watak Saluran TV
2000 Salam Taj Mahal Masterji Ali TV3
2018 Dosa: Sacred Sin Latif Astro First Eksklusif
2023 Special Force: Anarchy Umar Disney+ Hotstar

Telefilem

Tahun Tajuk Watak Saluran TV
1992 Studio Afendi Afendi Bustami TV3
1994 Hello Imran
Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi Damiri

Televisyen

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan
2017–2021 Omar & Hana Atuk Astro Ceria
2020 Sepahtu Reunion Live Kameo Astro Warna Episod: "Cinta Si Tukang Kasut"

Konsert jelajah

    Malaysia

    Singapura
    United Kingdom
  • M. Nasir Crossing UK '97 (1997)
    Penglibatan dalam konsert
  • Konsert Petronas Bersama Merentas Zaman (2019)

Anugerah dan pencalonan

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
1990 Anugerah Juara Lagu ke-5 Terbuka "Mustika" Tercalon
Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular 1990 Penyanyi Lelaki Popular Dirinya sendiri Tercalon
1994 Anugerah Video Malaysia Anugerah Perak "Mentera Semerah Padi" Menang
Anugerah Bintang-Bintang Popular 1994 Penyanyi Lelaki Popular Dirinya sendiri Menang
Bintang Paling Popular Menang
Anugerah Juara Lagu ke-9 Pop Rock "Tanya Sama Itu Hud Hud" Menang
Etnik Kreatif "Bonda" Menang
1995 Anugerah Industri Muzik ke-2 Video Muzik Terbaik "Mentera Semerah Padi" Tercalon
Album Tradisional Terbaik Canggung Mendonan Menang
Lagu Terbaik "Bonda" Tercalon
"Tanya Sama Itu Hud-Hud" Tercalon
"Mentera Semerah Padi" Menang
Album Terbaik Canggung Mendonan Tercalon
1996 Festival Filem Malaysia ke-13 Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Dirinya sendiri Tercalon
1997 Anugerah Industri Muzik ke-4 Lagu Terbaik "Ghazal Untuk Rabiah" (bersama Jamal Abdillah) Tercalon
Anugerah Skrin 1997 Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem) Dirinya sendiri Tercalon
Filem Terbaik Merah Menang
1999 Anugerah Juara Lagu ke-14 Pop Rock "Andalusia" Menang
Anugerah Industri Muzik ke-6 Lagu Terbaik "Kias Fansuri" Tercalon
2000 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2000 Penyanyi Lelaki Popular Dirinya sendiri Menang
Anugerah Industri Muzik ke-7 Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Lelaki) Menang
Album Pop Terbaik Srikandi Cintaku Tercalon
2001 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 Penyanyi Lelaki Popular Dirinya sendiri Menang
Anugerah Era 2001 Vokal Lelaki Pilihan Menang
2002 Anugerah Planet Muzik 2002 Artis Lelaki Serantau Paling Popular Tercalon
Artis Lelaki Terbaik Menang
Album Terbaik Phoenix Bangkit Menang
Anugerah Industri Muzik ke-9 Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Lelaki) Dirinya sendiri Menang
Kulit Album Terbaik Phoenix Bangkit Menang
Rakaman Album Terbaik Tercalon
Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu "Phoenix Bangkit Dari Abu" Tercalon
Album Pop Terbaik Phoenix Bangkit Tercalon
Lagu Terbaik "Masirah" Tercalon
"Raikan Cinta" Tercalon
Album Terbaik Phoenix Bangkit Menang
Anugerah Wirama Dirinya sendiri Menang
2005 Festival Filem Malaysia ke-18 Pelakon Lelaki Terbaik Tercalon
Anugerah Skrin 2005 Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) Tercalon
Anugerah Era 2005 Anugerah Seni ERA Menang
2006 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 Penyanyi Lelaki Popular Tercalon
Anugerah Era 2006 Vokal Lelaki Pilihan Tercalon
Anugerah Juara Lagu ke-21 Pop Rock "Lagu Jiwa Lagu Cinta" (bersama Mawi) Tercalon
Pop Rock "Juwita... (Citra Terindah)" Menang
2007 Anugerah Planet Muzik 2007 Artis Lelaki Terbaik Dirinya sendiri Menang
Album Terbaik Sang Pencinta Tercalon
Anugerah Industri Muzik ke-14 Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Lelaki) Dirinya sendiri Tercalon
Rakaman Album Terbaik Sang Pencinta Tercalon
Album Pop Rock Terbaik Menang
Lagu Terbaik "Juwita (Citra Terindah)" Menang
"Sang Pencinta" Tercalon
"Tujuh Nafas Lagi" Tercalon
Album Terbaik Sang Pencinta Tercalon
Anugerah Era 2007 Vokal Lelaki Pilihan Dirinya sendiri Menang
Anugerah MACP 2007 Komposer Terunggul Menang
2009 Anugerah Industri Muzik ke-16 Lagu Hip Hop Terbaik "Mantera Beradu" (bersama Malique) Menang
Lagu Terbaik Tercalon
2012 Anugerah MACP 2012 Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak Dirinya sendiri Menang
Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak Luncai Emas Menang
2013 Anugerah MACP 2013 Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak Dirinya sendiri Menang
Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak Luncai Emas Menang

Penghargaan

Penghargaan Malaysia

Ijazah kehormat

Rujukan

Pautan luar

Tags:

M. Nasir Kehidupan awalM. Nasir KerjayaM. Nasir BakatM. Nasir Kehidupan peribadiM. Nasir KontroversiM. Nasir DiskografiM. Nasir FilemografiM. Nasir Konsert jelajahM. Nasir Anugerah dan pencalonanM. Nasir PenghargaanM. Nasir RujukanM. Nasir Pautan luarM. NasirDatuk (gelaran)Ijazah kehormatKembara (kumpulan muzik)MalaysiaSingapura

🔥 Trending searches on Wiki Bahasa Melayu:

Orang Asli di MalaysiaSelangorTentera Laut Diraja MalaysiaJamrahAtomMaya KarinShahril Sufian HamdanKesan rumah hijauNeelofaPersekutuan Pengakap MalaysiaMahathir MohamadRukun solatMelioidosisNegeri-negeri Melayu BersekutuDollaKota KinabaluAlif SatarSarafSrivijayaSheriff (filem)Senarai Kementerian di MalaysiaHinduismeQueen of TearsSenarai peribahasa (A–M)Ismail Mohamed SaidJambatan Sultan Abdul Halim Muadzam ShahNazim OthmanRaghad Waleed AlkurdiAnwar IbrahimAku Tahu Kapan Kamu MatiPerdana Menteri MalaysiaR.A. KartiniNegeri dan Wilayah Persekutuan di MalaysiaTelaga BarhutEtnik MelayuNabi Isa a.s.Menara Berkembar PetronasHarris AlifOne Cent ThiefGerak KhasMerdeka 118Badarawuhi Di Desa PenariZUS CoffeeNur FazuraA. Rahman HassanTanam paksaGunung berapiNabi Musa a.s.Kata ganti nama (bahasa Melayu)Rahsia (filem 2023)KerenggaPolitik balas budiSekolah Kluster KecemerlanganAisyah AzizInsya-AllahPenerbangan 370 Penerbangan MalaysiaDaniella SyaKhunsa (siri TV)Sekali Lagi Cinta KembaliJabatan Alam SekitarLapisan ozonSkizofreniaAstro ShawFrekuensi radio di PerakSenarai gunung berapi di MalaysiaPerang UhudMasam-Masam ManisOrang Melayu IndonesiaKristianPontianak Harum Sundal MalamKL GangsterKomunikasiSifat-sifat AllahPemboleh ubahDaerah di MalaysiaKanun Keseksaan🡆 More