Kanun Perubatan Arab: القانون في الطبcode: ar is deprecated Al-Qanun fi al-Tibb; Bahasa Parsi: قانون در طب Ghānoon dár tèb; (Bahasa Inggeris: The Canon of Medicine; Bahasa Latin: Canon Medicinae; Bahasa Cina: 回回藥方 / 回回药方 Huíhui Yàofāng Preskripsi Bangsa Hui) ialah sebuah ensiklopedia perubatan yang dikarang oleh cendekiawan Islam, ahli sains dan falsafah, dan doktor berbangsa Parsi, Ibnu Sina (Avicenna).
Kitab agung ini diselesaikan pada tahun 1025 M.
Ibnu Sina |
---|
Falsafah Ibnu Sina |
Kanun Perubatan |
Kitab Penyembuhan |
Hayy ibn Yaqdhan |
Kritikan terhadap falsafah Ibnu Sina |
Perubatan Unani |
Kitab ini menggabungkan pengalaman peribadi Ibnu Sina, perubatan Islam pada Zaman Pertengahan, penulisan doktor Rom Kuno Galen, doktor Ayurveda India dan perubatan Parsi kuno, dengan tambahan aspek materia medika negeri China. Kitab Kanun Perubatan dikarang dalam bahasa Arab dan kemudian di diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain, termasuk bahasa Parsi, Latin, Cina, Ibrani, Jerman, Perancis dan Inggeris. Kanun dianggap salah satu buku termasyhur dalam sejarah perubatan.
Juga dikenali dengan nama sengkatan Kanun ataupun Qanun (yang bermaksud "hukum" dalam bahasa Arab dan Parsi), Kanun Perubatan kekal berwibawa dalam bidang perubatan sehingga kurun ke-18 M. dan awal kurun ke-19. Ia meletakkan piawai bagi perubatan di Eropah dan dunia Islam, dan merupakan karya bertulis termasyhur Ibu Sina bersama dengan Kitab Penyembuhannya. Kanun digunakan di banyak sekolah perubatan— misalnya di Universiti Montpellier, Perancis, selewat tahun 1650. Kebanyakan bukunya turut diterjemahkan ke dalam bahasa Cina sebagai Huihui Yaofang oleh orang Hui pada zaman China Yuan. Kanun juga menjadi asas perubatan Unani, suatu bentuk perubatan tradisional yang diamalkan di India.
Prinsip-prinsip perubatan yang diterangkan dalam Kanun yang dihasilkan sepuluh abad lalu masih diajar, antara lain, di Universiti California dan Universiti Yale di Amerika Syarikat, sebagai sebahagian sejarah perubatan.
Kanun Perubatan merupakan sebuah ensiklopedia yang besar dan menyeluruh dan karangannya mengambil masa yang lama. Ia mengandungi lebih sejuta perkataan dan dibahagikan kepada lima "buku":
Buku pertama, juga dikenali sebagai al-Kulliyat, membincangkan prinsip-prinsip am perubatan dan sering kali diedarkan berasingan daripada bahagian-bahagian lain, terutamanya di Eropah. Buku kedua berkaitan ubat-ubatan ringkas dan materia medika ("bahan pengubatan"), mengikut abjad. Buku ketiga berkaitan rawatan (terapi), diatur mengikut bahagian yang sakit, dari kepala hingga ke jari kaki, dan dimuatkan dalam 22 bab atau funun. Buku keempat berkaitan penyakit yang tidak terhad kepada bahagian tubuh tertentu, misalnya, demam, sementara buku kelima pula memberikan resipi bagi pengubatan atau ubat-ubat campuran. Antara tahun 1500 dan 1674, sebanyak 60 edisi sebahagian atau kesemua Kanun diterbitkan di Eropah, kebanyakannya bagi kegunaan latihan perubatan universiti.
Kitab ini menerangkan punca kesihatan dan penyakit. Ibnu Sina berpegang bahawa tubuh manusia tidak dapat dipulihkan sekiranya penyebab kedua-dua kesihatan dan penyakit tidak dipastikan. Beliau memberi definisi perubatan (tibb) seperti berikut:
"Ilmu perubatan ialah sains bagaimana kita mengetahui berbagai keadaan tubuh; semasa sihat, semasa sakit; cara-cara kesihatan boleh hilang; dan, bila ia hilang, cara-cara memulihkannya. Dalam kata lain, ia merupakan seni berkaitan kesihatan dan seni memulihkan kesihatan apabila ia tidak wujud."
Ibnu Sina membincangkan anatomi manusia di merata tempat dalam Kanun, dan sering kali bahagian-bahagian anatomi ini disalin sebagai treatis berasingan. Seorang ahli perubatan Islam pada Zaman Pertengahan, Ibn al-Nafīs (meninggal 1288/678 H) mengulas akan satu daripada treatis tersebut dan bukan sahaja mengkritik Ibnu Sina kerana tidak mengumpulkan perbincngan anatominya, tetapi juga memberi maklumat baharu tentang edaran pulmonari. Ibn al-Nafis memperbetulkan penulisan Ibnu Sina, yang berasaskan penulisan Galen, dan menyatakan bahawa darah dari ventrikel (ruang) kanan jantung mesti sampai ke ventrikel kiri melalui paru-paru (edaran pulmonari) dan tidak melalui liang-liang di jantung seperti yang dikatakan Galen. Ibn al-Nafis mendahului pemeriannya tentang edaran pulmonari tiga ratus tahun sebelum ahli anatomi Eropah, Michael Servetus (m. 1553) dan Realdo Colombo (m. 1559), orang Europah pertama yang memerikan edaran pulmonari.
Kanun juga dianggap buku farmasi pertama, dan antara lain, buku ini dikenali kerana memperkenalkan pengujikajian sistematik dan pengkuantitian dalam pengajian fisiologi. penemuan sifat menular penyakit berjangkit, pengenalan kuarantin untuk mengehad penyebaran penyakit berjangkit, dan pengenalan kepada perubatan uji kaji dan bidang-bidang kecilnya.
Bahagian materia medika Kanun (Buku II dan Buku V) membicarakan 800 ubat yang diuji dan memuatkan ulasan berkaitan kegunaan dan keserasian ubatan tersebut. Beliau juga menyarankan agar ubat baharu diuji pada binatang dan manusia sebelum digunakan secara am.
Kanun memuatkan penulisan berkaitan ujian klinikal, ujian terkawal terawak, ujian kemujaraban, farmakologi klinikal, neuropsikiatri, psikofisiologi, dan idea sindrom dalam diagnosis penyakit tertentu.
Kanun memerikan bahawa dietetik itu penting, pengaruh cuaca dan alam sekitar terhadap kesihatan, dan kegunaan ubat anestesia yang dimakan dalam prosedur-prosedur pembedahan.
Selain itu Kanun juga mengandungi nasihat berkaitan onkologi (rawatan barah).
Geoffrey Chaucer dalam "prakata umum" Hikayat-Hikayat Canterbury mengenal pasti sebanyak sepuluh ahli perubatan dan empat daripada mereka merupakan ahli perubatan Islam. Senarai tersebut memuatkan nama Ibnu Sina bersama-sama ahli perubatan Muslim lain, yakni al-Kindi, al-Razi dan Ibnu Rushd.
Teks bahasa Arab Kanun diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sebagai Canon medicinae oleh Gerard dari Cremona dalam abad ke-12 Masihi dan ke dalam bahasa Ibrani dalam tahun 1279. Selepas itu Kanun berfungsi sebagai panduan utama sains perubatan di negara-negara Barat; dikatakan ia mempengaruhi Leonardo da Vinci. Kandungannya yang meluas, tataaturnya yang sistematik dan perencanaan falsafahnya membawa Kanun ke tahap tertinggi dalam penulisan perubatan Eropah, sekaligus mengetepikan penulisan Galen, dan menjadikannya buku teks piawai bagi sekolah-sekolah perubatan di Eropah. Teksnya masih dibaca di sekolah perubatan di Montpellier dan Leuven selewat tahun 1650. Dr Arnold Klebs, seorang pengkaji penyakit tibi terkemuka, memerikan Kanun sebagai "satu daripada kejadian intelektual terulung sepanjang zaman."
Tiga buku pertama Kanun berbahasa Latin dicetak dalam tahun 1472, dan edisi lengkap disiapkan pada tahun 1473. Edisi bahasa Ibrani tahun 1491 merupakan treatis perubatan pertama dalam bahasa Ibrani dan yang tunggal pada abad ke-15. Dalam 30 tahun terakhir abad ke-15, Kanun disunting dalam 15 terbitan bahasa Latin.
Sir William Osler, seorang pengamal serta pengajar ilmu perubatan terkemuka pada lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20, berkata, " Kanun ialah buku teks perubatan yang paling termasyhur yang pernah di tulis" dan "ia tetap menjadi bible perubatan buat masa yang lebih lama berbanding kitab perubatan lain". Pada tahun 2006, Professor John Urquhart, profesor sains biofarmaseutik di Universiti California, memerhatikan keterterapan Kanun kepada perubatan moden dan membandingkannya dengan karya Osler sendiri yang berjudul, The Principles and Practice of Medicine ("Prinsip dan Amalan Perubatan") (1892). Profesor Urquhart merumuskan:
"Seandainya tahun ini ialah tahun 1900 dan anda terdampar di pulau yang tidak berpenghuni dan anda memerlukan panduan perubatan amali, buku yang mana yang akan anda letak di samping anda? Pilihan saya ialah Ibnu Sina. Sebab utama adalah kerana Ibnu Sina memberi gambaran terkait berkenaan pembedahan dan perubatan, sementara Osler tidak berminat akan pembedahan. Ibnu Sina, misalnya, memberitahu bagaimana hendak menilai berapa banyak bahagian tepi sesuatu tisu sihat buat dipotong [dalam amputasi], Osler tidak membincangkan topik asas ini. Ruang antara pembedahan dan perubatan sekarang sudah mengecil dengan kemunculan kardiologi intervensi, gastroenterologi, radiologi, dan lain-lain. Ibnu Sina melihat dengan betul bahawa ilmu pembedahan dan ilmu perubatan ialah satu.
George Sarton, bapa Sejarah Sains, menulis dalam Introduction to the History of Science ("Pengenalan kepada Sejarah Sains"):
"Salah seorang pendokong paling terkenal kesejagatan Islam dan seorang tokoh terkemuka dalam kajian Islam ialah Ibnu Sina, yang dikenali di Barat sebagai Avicenna (981-1037 M). Selama seribu tahun beliau tetap terkenal sebagai salah seorang pemikir dan ahli perubatan terbesar dalam sejarah. Karya-karya perubatan yang paling penting adalah Qanun (Kanun) dan sebuah risalah berkaitan ubat-ubatan penyakit Jantung. 'Qanun' ialah sebuah ensiklopedia besar perubatan dan ia mengandungi beberapa penerangan tajam berkaitan perbezaan mediastinitis dengan pleurisi; sifat berjangkit penyakit phthisis; penyebaran penyakit melalui air dan tanah; keterangan rapi berkaitan masalah kulit; penyakit kelamin dan sumbaleweng seks; tentang penyakit saraf".
Mona Nasser Aida Tibi dan Emilie Savage-Smith memerhatikan: "Rasa hormat yang berkekalan pada abad ke-21 terhadap satu buku yang dikarang 1,000 tahun dahulu menjadi bukti pencapaian Ibnu Sina."
Perlu diperhatikan bahawa Ibnu Sina menulis Kanun lebih seribu tahun dahulu, dan walaupun Kanun mengandungi keseluruhan ilmu perubatan yang terdapat pada zamannya, beberapa faktor perlu diambil kira apabila menilai sumbangannya kepada ilmu perubatan. Faktor-faktor ini boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama:
1. Tanggapan Ibnu Sina yang tidak diguna pakai kini: Terdapat empat tanggapan utama dalam Kanun yang tidak diterima pakai dalam bidang perubatan kini. Tanggapan atau konsep ini ialah (a) sifat menyeluruh manusia (b) resam tubuh (c) "nafas", dan (d) "unsur".
2. Tanggapan atau konsep yang diketahui perubatan moden, tetapi tidak diketahui pada zaman Ibnu Sina. Antara yang paling mustahak ialah (a) anatomi serta kadar peredaran darah (b) anatomi mikroskop (c) metabolisme sel dan kimia dalam tisu (d) teori mikrob (e) diagnosis makmal, (f) kegunaan ubat anti-serum dan pengubatan sepertinya, dan (g) pembedahan.
3. Ilmu yang terdapat pada Ibnu Sina dan Perubatan Moden. Pemeriksaan teks Kanun akan menunjukkan terdapat banyak perkara yang serupa antara Kanun dan ilmu perubatan moden, tanpa banyak ulasan. Perkara-perkara ini termasuk: pertalian rapat antara keadaan emosi dan fisiologi, fisiologi tidur, pengaruh iklim terhadap penyakit, pemakanan (diatetik), hidroterapi, kebersihan air, penggunan ubat anestetik oral, dan penggunaan ujian haiwan.
Kanun menyokong teori purba berkaitan Empat Humor dan Empat Temperamen dan memanjangkannya bagi merangkumi aspek-aspek emosi, mental, sikap moral, kesedearan diri sendiri, pergerakan, dan mimpi. Dalam penjanaan penyakit (patogenesis), Ibnu Sina menambah pendapatnya berkaitan "pelbagai jenis semangat, yang jika terganggu keseimbangannya, boleh mendatangkan gangguan kesihatan tubuh".
Kendatipun Ibn Sina sering menggunakan taakulan deduktif dalam penulisan lainnya tentang logik serta kitab perubatan yang berjudul Kitab Al-Shifa, beliau menggunakan pendekatan lain dalam Kanun. Teks Kanun menggunakan taakulan induktif bagi membangunakan idea-idea berkaitan sindrom dalam perumusan diagnosis. Pendekatan yang digunakan Ibnu Sina menyumbang kepada perkembangan logik induktif dan kaedah saintifik.
Dalam Kanun Ibnu Sina sering kali membincangkan anatomi (struktur) dengan disusuli fisiologi (fungsi) anggota atau bahagian tubuh manusia. Beliau juga menggunakan pendekatan yang sama, yakni penggunaan kaedah pengujikajian dan pengkuantitian, dalam Kanunnya. Beliau mula-mula memperkenalkan kaedah pengujikajian dan pengkuantitian dalam kajian fisiologi dan kaedah ini juga terdapat dalam penulisannya berkaitan ubat-ubatan.
Seperti yang diperhatikan dalam bahagian di atas, dalam Kanun, penulisan berkaitan anatomi berselerak dan terdapat dalam bahagian-bahagian yang membincangkan penyakit tertentu. Namun, Kanun memeutakan banyak perbincangan berkaitan anatomi serta gambar rajah berkaitan anggota tubuh tertentu, termasuklah gambar rajah berkaitan sutur kranial.
Kanun membezakan kajian anatomi "daripada aspek lain perubatan kerana ia memerlukan kaedah berbeza". Justeru ia menyatakan:
Ibnu Sina mengkhaskan satu bab khusus bagi perbincangan tekanan darah. Beliau berjaya ketemu penyebab-penyebab perdarahan dan mendapati bahawa perdarahan dapat disebabkan oleh tekanan darah yang tinggi. Pertemuan ini mendorong beliau menyelidik kaedah mengawal tekanan darah.
Ibnu Sina menemui vermis serebelum (bahagian daripada otak belakang yang terletak pada bahagian pasterior medula dan pons yang berkaitan dengan koordinasi pergerakan) dan nukleus kaudat, yang dinamakannya "nukleus berekor" atau "nucleus caudatus". Istilah-istilah ini masih digunakan dalam bidang perubatan neurologi moden.
Kanun juga merupakan teks terawal yang menyatakan bahawa kelainan fungsi intelek sering kali disebabkan kelainan dan kekurangan pada ventrikel tengah otak, dan bahawa lobus frontal otak mengawal fungsi taakulan dan akal budi.
Dalam bidang patologi dan etiologi, Kanun memerikan sifat penyakit berjangkit seperti phtihisis ("Tuberculosis") dan bagaimana penyakit bawaan air dan tanah boleh merebak. Kanun juga menunjukkan kewujudan penyakit seksual. Kanun memberikan pemahaman lengkap sifat penyakit berjangkit.
Kanun memerikan perbezaan antara mediastinitis dan pleurisi dua penyakit radang dada yang hampir sama gejalanya. Selain itu ia juga memerikan meningitis (penyakit radang pada selaput meninges di bahagian otak) dan mengenal pasti penyakit kecacingan ("infestasi") yang disebabkan cacing seperti cacing Ascaris, Enterobius, cacing pita, dan cacing Guinea (Dracunculiasis).
Kanun bersama-sama penulisan al-Razi mendorong kepada pembinaan hospital Bimaristan dengan wad-wad berasingan bagi penyakit-penyakit khusus agar pesakit yang menghidap penyakit berjangkit tidak bercampur-gaul dengan pesakit yang tidak mengalami penyakit berjangkit.
Dari segi farmakologi dan sains farmasi, sumbangan utama Kanun ialah pembezaan farmakologi daripada perubatan, satu langkah yang penting bagi perkembangan sains farmasi.
Sumbangan Kanun kepada sains farmasi termasuk pengenalan kepada pengujikajian teratur dan pengkuantitian dalam bidang farmakologi dan kajian fisiologi, dan juga pengenalan kaedah-kaedah baharu pengujikajian perubatan seperti evidence-based medicine, ujian klinikal, dan ujian terkawal rawak, ujian-ujian kemujaraban dan juga kegunaan ais bagi rawatan demam.
Mengikut Toby Huff dan AC Crombie, Kanun memuatkan "peraturan yang meletakkan syarat bagi penggunaan ubatan secara eksperimen dan pengujian ubat-ubat", dan "peraturan -peraturan ini "merupakan panduan persis buat pengujikajian amali" dalam proses "pencarian dan pembuktian keberkesanan bahan ubatan".
Penekanan yang diberikan dalam Kanun kepada ubat-ubatan yang telah diuji meletakkan asas bagi pendekatan eksperimen dalam bidang farmakologi. Kanun memberikan prinsip-prinsip dan peraturan-peraturan berikut bagi menguji keberkesanan ubatan baharu. Prinsip dan peratuan ini masih menjadi asas farmakologi klinikal dan ujian klinikal semasa:
Kanun menyenaraikan 800 jenis ubatan yang diuji, termasuk bahan tumbuhan dan mineral, bersama-sama ulasan tentang kegunaan dan keberkesanan mereka. Bagi setiap satu ubat, Ibnu Sina memerikan kesan farmaseutik daripada 22 jenis kesan yang berkemungkinan timbul (termasuk penyembuhan penyakit, keastringenan dan pelembutan), dan ciri-ciri khusus ubatan mengikut petak 11 jenis penyakit.
Ibnu Sina memeperkenalkan kaedah penciptaan ubat-ubatan yang canggih berlandaskan kaedah penyampaian ubat, mensasarkan organ, pengendapan ubat di lokasi tindakannya, kawalan kesakitan, pemulihan luka, pembuangan ubat selepas bertindak, dan kesan yang dapat memperkuatkan organ. Kesemua ini dapat membantu ahli sains memilih ubat-ubatan yang paling sesuai bagi kegunaan rawatan penyakit.
Kanun Ibnu Sina bukan sahaja memuatkan penulisan tentang rawatan penyakit individu tetapi ia juga memuatkan penulisan berkaitan kesihatan masyarakat. Ia menitikberatkan penyelidikan dan pencegahan penyakit serta peningkatan kesihatan. Dalam Treatis Pertama Buku I, Ibnu Sina menulis bahawa tujuan perubatan adalah, pertamanya, mengekalkan kesihatan, yakni pencegahan primer (dalam konsep perubatan moden) dan kemudiannya memulangkan kembali kesihatan pesakit (pencegahan sekunder dan tertiari). Selain itu Ibnu Sina juga menulis tentang perubatan alam sekitar, kesihatan keluarga, dan kesan pelbagai faktor terhadap kesihatan manusia.
Kanun mengsyorkan kuarantin sebagai cara mengehad penularan penyakit berjangkit.
Ibnu Sina menulis tentang perubatan kanak-kanak dalam empat bab dalam Buku pertama Kanun. Penulisan ini merangkumi hal-hal kebidanan sehinggalah penjagaan kesihatan dari peringkat bayi sehinggalah peringkat dewasa.
Bab pertama memerikan perihal kebidanan, dan penjagaan kesihatan bayi sehingga peringkat kanak-kanak (toddler). Bab pertama memuatkan penulisan tentang kelahiran, menyambut bayi, memotong tali pusat, memandikan bayi dan sebagainya. Bab kedua membincangkan tentang penyusuan. Ibnu Sina mengesyorkan penyusuan ibu dilakukan selama mungkin. Beliau juga menekankan bahawa tidak seharusnya dipakasa duduk atau berdiri sehinggalah ia bersedia untuk melakukan demikian. Bab ketiga membincangkan penyakit-penyakit pediatrik termasuk cirit-birit, batuk, penyaakit cacing, sakit telinga, gangguan pernafasan, sakit perut, gangguan tidur, tenesmus (akibat penyakit tetanus) dan sebagainya. Bab keempat pula memerikan penjagaan kanak-kanak sehinggalah mereka menjadi dewasa. Dalam bab ini Ibnu Sina turut membincangkan pendidikan moral dan emosi dan juga tentang beberapa penyakit yang sering menyerang kanak-kanak dalam lingkungan usia ini seperti penyakit cacar dan campak, konvulsi (kekejangan) dan beberapa kecacatan kongenital.
Kanun menerima idea Yunani kuno tentang sistem kardiovaskular, yakni Kanun menerima bahawa "terdapat liang dalam septum ventrikel jantung yang membenarkan darah mengalir antara ventrikel". Pandangan ini tidak berubah dan diterima oleh ahli perubatan sehinggalah diperbetulkan oleh Ibn al-Nafis membuat ulasan masyhurnya tentang Kanun Ibnu Sina dan mengutarakan penemuannya tentang edaran darah pulmonari pada tahun 1242 M. Ibn al-Nafis juga menulis kritikan tentang pendapat Ibnu Sina — yang berpunca daripada pendapat Yunani — yang "darah yang terdapat di bahagian kanan jantung berfungsi sebagai penyubur atau pemberi khasiat kepada organ itu sendiri." Walau apapun, Ibnu Sina tetap "mempunyai gambaran tentang peredaran darah", dan menulis dengan tepat tentang kitaran kardium dan fungsi injap kardium." (Lihat bahagian Pulsology di bawah).
Kanun merupakan buku pertama yang memerikan sinkop vasovagus dan hipersensitiviti sinus karotid. Mengikut pakar perubatan, "Rencana 5 dari Buku III memerikan pengsan ("syncope", ataupun sinkop) berikutan penyempitan arteri karotid am, menguap, keletihan yang amat dan kemerahan kulit muka, yang kesemuanya mirip sinkop. Pemerian sedemikian kebarangkalian merupakan pernyataan pertama tentang hipersensitiviti karotid sinus dan sinkop vasovagus". Bab ini merujuk kepada hipersensitiviti karotid sinus sebagi Al-Lawa.
Kanun merupakan teks pelopor dalam bidang pulsology dan sphygmology, satu bidang berkaitan nadi dan tekanan darah. Pada zaman kuno, Galen dan ahli perubatan Cina mempercayai bahawa terdapat denyutan nadi khusus dan unik bagi setiap organ dan bagi setiap penyakit. Galen also erroneously believed that "every part of an artery pulsates simultaneously" and that the motion of the pulse was due to natural motions (the arteries expanding and contracting naturally) as opposed to foced motions (the heart causing the arteries to either expand or contract).
Penjelasan betul berkaitan denyutan nadi diberikan oleh Ibnu Sina, selepas beliau memperhalusi teori Galen dan menulis dalam Kanun:
"Setiap denyutan mempunyai dua pergerakan dan dua perhentian. Justeru, pengembangan : perhentian : pengempisan : perhentian. [...] Nadi ialah pergerakan jantung dan arteri ... yang berbentuk pengembangan dan pengempisan"
Kanun juga melopori pendakatan pemeriksaan nadi moden melalui pemeriksaan artei di pergelangan tangan. Ibnu Sina menyatakan bahawa pergelangan tangan merupakan lokasi yang paling sesuai kerana ia senang didapati dan pesakit tidak berasa tertekan oleh keperluan mendedahkan tubuhnya.
Dikatakan terjemahan Latin Kanun kemudiannya membawa kepada perekaan sphygmograph, yakni alat pengukur tekanan darah.
Ibnu Sina juga menulis treatis treatis tentang pengdiagnosan penyakit melalui pemeriksaan nadi dan pernafasan.
Ibnu Sina banyak menulis tentang batu karang dan penyakit buah pinggang; dan anatomi dan fisiologi pundi kencing dengan terperinci. Pakar nefrologi (sistem kencing) menyaakan bahawa penulisan Ibnu Sina tentang pundi kencing amat meluas dan boleh dikatakan merangkumi hampir kesemua penyakit yang boleh terdapat pada organ itu. Pendekatannya berkaitan diagnosis serta kaedah penyampaian ubat, penggunaan kateter (tiub yang digunakan untuk mengeluarkan atau memasukkan cecair ke dalam rongga badan, memeriksa bahagian dalam tubuh, atau untuk melakukan mikrosurgeri pada suatu tempat spesifik dalam tubuh) dan rawatan penyakit kencing hampir sama dengan pendekatan perubatan moden. Ini amat menakjubkan memandangkan Kanun dikarang 1,000 tahun dahulu.
Ibn-Sina menurunkan maklumat yang lengkap berkaitan batu karang buah pinggang dan Kanun memuatkan maklumat berkaitan ubat penyakit batu karang. Beliau memerikan 65 ubat herba, 8 binatang, dan 4 ubat daripada bahan galian yang dapat digunakan bagi menghapus, membuang dan mencegah batu karang. Disamping itu, dalam Kanun, Ibnu Sina memperkenalkan cara mencipta ubat yang canggih (lihat bahagian "Farmakologi klinikal di atas).
Bab terperinci berkaitan kecederaan kepala berjudul "Fraktur Tengkorak" memberikan pengetahuan yang mendalam tentang fraktur tengkorak dan rawatan secara pembedahan pada abad ke-11. Ibnu Sina memerikan pengetahuan sistematik berkaitan trauma kepala bersama-sama pemerhatian dan pengalaman dan kutipan daripada penulisan ahli perubatan kuno, Galen dan Paul dari Aegina.
Kitab ini merupakan antara teks terawal yang membincangkan bidang perubatan psikosomatik, dan Kanun memerhatikan pertalian kuat antara emosi dan keadaan fizikal (fisiologi). Ia memerikan rawatan penyakit yang berpunca daripada emosi dan selain itu ia memuatkan penulisan berkaitan penyakit psikologi lain seperti melancholia, kemurungan, kecelaruan mood, fobia, dan sebagainya.
Ibnu Sina juga berpendapat bahawa terdapat muzik dapat mempengaruhi keadaan psikologi dan fizikal pesakit.
Kanun memuatkan diagnosis penyakit kelumpuhan saraf fasial ("VII Nerve palsy"), dan perbezaan antara kelumpuhan yang berpunca daripada kerosakan otak dan keadaan hipermia (kelebihan pedarahan pada sesuatau bahagian tubuh). Penemuan yangpaling penting ialah penulisan berkaitan meningitis. Kanun membuat diagnosis meningitis sebagai penyakit yang disebabkan otak itu sendiri — Kanun membezakan meningitis daripada penyakit berjangkit otak lain, dan Ibnu Sina berjaya memerikan jenis meningitis yang timbul akibat jangkitan di bahagian lain tubuh.
Ibnu Sina banyak menulis tentang penyakit psikologi dalam Kanun dan memerikan beberapa keadaan mental seperti halusinasi, insomnia (keadaan sukar atau tidak dapat tidur), mania (sebarang bentuk gangguan mental yang dicirikan dengan kelakuan yang tidak terkawal), mengigau, melankolia ("kemurungan"), nyanyuk, epilepsi, kelumpuhan, strok, vertigo (pening kepala, iaitu merasakan seolah-olah keadaan sekeliling berpusing), dan tremor (gementar). Three chapters of The Canon of Medicine were dedicated to neuropsychiatry.
Kanun juga mendefinisikan penyakit gila (Junun) sebagai keadaan mental di mana keadaan nyata atau relialiti diganti oleh fantasi, dan mendapati bahawa ia adalah kelainan taakulan yang berpunca di bahagian tengah otak. Kanun juga memerikan keadaan yang mirip skizofrenia yag dieglarnya sebagai Junun Mufrit (kegilaan teruk), yang dibezakan daripada jenis kegilaan lain seperti mania, rabies (penyakit anjing gila), dan psikosis manik-depresif. Juga, Ibnu Sina mengkhususkan satu bab dalam Kanun untuk membincangkan mania dan rabies, dan memerikan rabies sebagai sejenis mania.
Satu pandangan dari sudut psikologi tentang kencing malam (nocturnal enuresis) dimuatkan dalam Kanun:
"Kencing malam sering kali berpunca daripada tidur nyenyak: apabila kencing mula mengalir, sifat dalaman dan keinginannya yang tersorok (mirip keinginan untuk bernafas) mendorong kencing itu ke luar sebelum kanak-kanak itu bangun daripada tidur. Apabila kanak-kanak membesar dan menjadi lebih kuat, tidur mereka kurang nyenyak dan mereka berhenti kencing."
Sumbangan Kanun kepada oftalmologi termasuk pemerian dan penjelasannya berkaitan fisiologi pergerakan mata yang masih menjadi asas oftalmomologi moden. Beliau juga memberi penjelasan tentang saraf optik, iris (anak mata) dan kelumpuhan saraf muka. Satu lagi sumbangan Kanun ialah bahawa "saraf optik bersilang".
Ibnu Sina bersama-sama Al-Jurjani memerikan keadaan mata yang dikenali sebagai eksoftalmos (penonjolan luar biasa biji mata sehingga kelopak mata tidak dapat tertutup) seribu tahun sebelum diperikan oleh ahli perubatan Barat — Graves' disease mengambil sempena seorang daripada ahli perubatan itu, Dr Robert James Graves yang memerikan pertalian eksoftalmos dengan goiter (penyakit kelenjar tiroid) pada tahun 1835.
Catatan tertua berkaitan kanser terdapat pada tahun 1600 di Mesir kuno. Para ahli perubatan pada zaman itu mengisytiharkan bahawa tiada rawatan bagi kanser, dan selama 1500 tahun, tiada rawatan wujud bagi penyakit tersebut sehingga mendapat diagnosis kanser menjadi hukuman mati kepada penghidap. Namun, pada tahun 1020 M, Ibnu Sina menulis dalam Kanunnya tentang rawatan yang memerlukan pembedahan kesemua tisu yang dijejaskan kanser, termasuklah amputasi dan pembuangan semua vena yang berhubung dengan tumor tersebut.
Ibnu Sina mengenal pasti kanser sebagai satu tumor: beliau memerhatikan bahawa " tumor kanser bertambah besar, pemusnah, dan berakar dalam tisu-tisu tubuh." Beliau juga mencuba rawatan awal kanser dengan menggunakan "Hindiba", sebuah ubat campuran herba yang kemudiannya dikenal pasti oleh Ibn al-Baitar sebagai memiliki ciri "anti-kanser" yang dapt digunakan bagi rawatan tumor.. Hindiba telah dipatenkan bersama oleh profesor-profesor di universiti Boston dan Istanbul pada tahun 1977 selepas potensi anti-kansernya dibuktikan.
Kanun juga merupakan penulisan yang pertama yang memerikan gejala-gejala kanser esofagus dan yang pertama yang menggelar penyakit tersebut sebagai "kanser esofagus".
Dalam bidang pembedahan, Ibnu Sina memerikan trakeostomi (pembedahan untuk membuat bukaan pada trakea melalui kulit untuk membolehkan pernafasan) intubasi orofarinks (bahagian farinks yang berada di antara lelangit lembut dan tulang hioid), dan kaedah bagi menangani kesumbatan saluran yang menyukarkan pernafasan.
Antara bahan yang digunakan dalam anestesia adalah ais dan candu. Ibnu Sina membezakan kesakitan organik daripada kesakitan psikogenik (kesakitan berpunca daripada perkembangan mental). Beliau menggunakan ubatan sedatif dan analgesik, dan ubatan soporifik (ubat yang menyebabkan rasa mengantuk) dalam rawatan beberapa kesakitan yang berpunca daripada penyakit psikologi seperti melancholy (kemurungan). Ahli perubatan Muslim merupakan doktor pertama yang menggunakan ais bagi merawat lecur superfesial. Ubatan anestesia yang menyebabkan tidur nyenyak dalam pembedahan diberikan secara oral, sedutan dan jalan rektum seperti dinyatakan Ibnu Sina yang juga memerikan dos ubatan bagi mencapai anestesia selama tiga atau empat jam yang diperlukan dalam pembedahan amputasi.
Kanun memuatkan penulisan berkaitan 40 tumbuhan yang dianggap mempunyai sifat anestesia dan pemerian terperinci tentang cara menyedia dan memberikan ubatan tersebut. Bahaya yang mungkin timbul daripada penggunaan ubatan tersebut juga dinyatakan dalam Kanun.
Dalam Kanun, Ibnu Sina mencabar konsep kesakitan yang dipegang oleh Galen. Galen berpendapat bahawa hanya kecederaan (kehilangan kesinambungan) punca kesakitan. Berlawanan dengan pendapat Galen itu, Ibnu Sina menyarankan bahawa penyebab sebenar kesakitan ialah perubahan pada keadaan fizikal organ tidak kira sama ada terdapat kecederaan atau tidak. Ibnu Sina mengembangkan pemerian kesakitan Galen daripada empat ke 15 jenis kesakitan, dan menggunakan peristilahan yang mirip istilah yang digunakan oleh perubatan moden.
Hirudotherapy, yakni penggunaan lintah perubatan (Hirudo medicinalis) dalam pengubatan dan rawatan, diperikan dalam Kanun oleh Ibnu Sina yang menganggapnya lebih berkesan buat "mengeluarkan darah dari bahagian dalam" tubuh daripada berbekam. Beliau juga memperkenalkan penggunaan lintah dalam rawatan penyakit kulit. Hirudotherapy menjadi popular di Eropah oleh sebab pengaruh Kanun.
Lintah spesies H. medicinalis mengeluarkan "Hirudin", sebuah peptida (molekul yang mengandung (sic) dua atau lebih asid amino disambungkan oleh ikatan antara kumpulan amino dan kumpulan karboksil).yang bertindak sebagai bahan antigumpal (drug yang mengurangi pembekuan darah dalam badan). Buat masa ini, lintah digunakan dalam pembedahan mikro atau pembedahan pembentukan semula, dan hirudin dibuat dengan menggunakan teknologi DNA rekombinan dan boleh didapati di pasaran.
This article uses material from the Wikipedia Bahasa Melayu article Kanun Perubatan, which is released under the Creative Commons Attribution-ShareAlike 3.0 license ("CC BY-SA 3.0"); additional terms may apply (view authors). Kandungan disediakan dengan CC BY-SA 4.0 kecuali jika dinyatakan sebaliknya. Images, videos and audio are available under their respective licenses.
®Wikipedia is a registered trademark of the Wiki Foundation, Inc. Wiki Bahasa Melayu (DUHOCTRUNGQUOC.VN) is an independent company and has no affiliation with Wiki Foundation.