Rusuhan (Jawi: روسوهنcode: ms is deprecated ) ialah satu bentuk gangguan sivil yang terdiri daripada kumpulan yang tidak teratur dan mengamuk secara tiba-tiba serta bertindak melakukan keganasan, laku musnah atau jenayah lain.
Sementara seseorang individu mungkin cuba memimpin atau mengawal rusuhan, rusuhan selalunya kucar-kacir dan tidak teratur.
Rusuhan biasanya berlaku sebagai reaksi kepada kesedihan tertentu atau rasa tidak puas hati. Sepanjang sejarah, rusuhan berlaku kerana keadaan kerja serta taraf hidup yang teruk, penentangan terhadap kerajaan, penentangan terhadap cukai, konklik antara kaum atau agama, ataupun setelah kekalahan sesebuah pasukan di sesuatu acara sukan terutamanya bola sepak.
Rusuhan lazimnya melibatkan vandalisme serta kemusnahan harta awam dan persendirian. Harta spesifik yang disasarkan bergantung kepada punca rusuhan serta pihak yang terlibat. Sasaran termasuklah kedai, kereta, restoran, institusi milik kerajaan, serta rumah ibadat.
Dalam sukan juga, rusuhan boleh juga berlaku, terutamanya sukan bola sepak. Perusuh bola sepak, juga dikenali sebagai samseng bola sepak atau hooligan, sering merusuh serta melakukan kekacauan sekiranya pasukan yang mereka minati itu kalah dalam bola sepak. Gejala samseng bola sepak sering menjadi ancaman terhadap sukan bola sepak di Eropah terutama di England, Perancis, Poland dan Jerman.
Hooligan merujuk kepada perusuh yang terdiri daripada peminat sukan - terutamanya peminat bola sepak - yang berkelakuan pemusnah. Sesetengah perusuh sukan menjadi semi-profesional, sanggup mengembara jauh ke tempat yang biasanya akan berlaku rusuhan. Gejala samseng bola sepak sering menjadi ancaman terhadap sukan bola sepak Eropah.
"Rusuhan polis" merujuk kepada tuduhan salah guna kuasa oleh pihak polis yang menggunakan keganasan serta menyerang sekumpulan orang awam. Rusuhan polis lazimnya dikaitkan dengan situasi di mana polis menyerang penunjuk perasaan aman.
Rusuhan penjara merujuk kepada kekacauan berskala besar oleh sekumpulan banduan terhadap pentadbir penjara, pegawai penjara, ataupun sekumpulan penjara atas rasa tidak puas hati terhadap keadaan di penjara.
"Rusuhan kaum" merujuk kepada rusuhan di mana ketegangan hubungan kaum dan etnik menjadi faktor utama. Antara rusuhan kaum terkenal di Malaysia ialah Peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur pada tahun 1969 dan Peristiwa Kampung Medan di Petaling Jaya,Selangor pada tahun 2001. Terdapat juga rusuhan yang disalah anggap sebagai rusuhan kaum sedangkan bukan di Malaysia antaranya rusuhan Plaza Low Yat, Kuala Lumpur pada 12 Julai 2015 dan rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman pada 26 November hingga 27 November 2018.
Rusuhan pelajar adalah rusuhan yang disertai pelajar institusi pengajian tinggi terutamanya di universiti. Di Malaysia, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dikuatkuasakan bagi mengekang rusuhan pelajar tetapi malangnya ia turut mengekang hak bersuara di kalangan pelajar universiti. Rusuhan pelajar selalunya dikaitkan dengan perkembangan politik semasa serta rasa tidak puas hati terhadap pihak pentadbiran universiti.
Rusuhan bandar adalah rusuhan yang berlaku di bandar serta dikaitkan dengan masalah perbandaran seperti masalah setinggan, pengangguran yang tinggi, kemiskinan, keadaan sekolah serta kesihatan yang menyedihkan, keganasan polis serta sikap berat sebelah kerajaan. Rusuhan bandar sering dikaitkan dengan rusuhan kaum dan rusuhan polis.
Rusuhan lazimnya dikawal oleh pihak polis (kawalan rusuhan), walaupun pendekatan yang digunakan mungkin berbeza mengikut negara. Taktik serta senjata yang digunakan termasuklah dengan menggunakan anjing penyerang, meriam air, peluru plastik, peluru getah, penyembur lada, belantan anjal, gas pemedih mata serta skuad penangkap. Di Malaysia, rusuhan ditangani oleh Unit Simpanan Persekutuan, salah satu unit di dalam Polis Diraja Malaysia.
Walau bagaimanapun, penglibatan polis dalam menangani rusuhan sering dicemari dengan tuduhan keganasan polis yang sememangnya menjadikan rusuhan bertambah buruk. Tambahan pula, walaupun senjata yang digunakan polis secara rasminya diisytiharkan sebagai tidak membahayakan nyawa, terdapat dakwaan beberapa orang yang mati akibat penggunaan senjata sedemikian oleh pihak polis.
Perusuh sering menggunakan pelbagai taktik bagi menangani polis anti rusuhan, termasuklah penggunaan topeng gas (untuk melindungi daripada senjata kimia), senjata lontaran seperti batu, botol dan bom petrol, mercun bagi menakutkan anjing, serta rampasan senjata polis. Rusuhan, terutamanya di kawasan mundur, kadang kala sering diiringi kejadian pecah rumah.
Peristiwa 13 Mei merupakan rusuhan kaum yang berlaku sebagai kemuncak kepada masalah perpaduan di Malaysia pada masa itu. Ia berpunca daripada isu perkauman yang dibangkitkan semasa Pilihan Raya Umum 1969 serta masalah sosio-ekonomi yang dihadapi orang Melayu, di mana mereka berasa marah kerana kekal miskin di negara sendiri tanpa tindakan konkrit oleh kerajaan.
Wiki Commons mempunyai media berkaitan Rusuhan |
This article uses material from the Wikipedia Bahasa Melayu article Rusuhan, which is released under the Creative Commons Attribution-ShareAlike 3.0 license ("CC BY-SA 3.0"); additional terms may apply (view authors). Kandungan disediakan dengan CC BY-SA 4.0 kecuali jika dinyatakan sebaliknya. Images, videos and audio are available under their respective licenses.
®Wikipedia is a registered trademark of the Wiki Foundation, Inc. Wiki Bahasa Melayu (DUHOCTRUNGQUOC.VN) is an independent company and has no affiliation with Wiki Foundation.