Kontroversi Stoking Kalimah Allah 2024

Pada 13 Mac 2024, tular satu gambar yang menunjukkan bahawa terdapat kalimah Allah, tuhan umat Islam di Malaysia pada stoking di KK Super Mart, Bandar Sunway Piramid, Petaling Jaya.

Kontroversi Stoking Kalimah Allah 2024
Kalimah Allah yang berbahasa Arab yang sangat suci di mata umat Islam di Malaysia.

Kes ini mendapat perhatian orang ramai dan segelintir ahli politik yang mengulas dan memberi pendapat seperti Dr. Muhamad Akmal Saleh, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Datuk Razali Idris, segelintir pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan ramai lagi. Namun, terdapat segelintir pihak cuba meredakan dan menggesa orang ramai untuk tidak membesarkan isu ini seperti Chong Sin Woon, Loke Siew Fook, Nga Kor Ming, Dato Sri Tiong King Sing, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Pemangku Sultan Johor (Tunku Mahkota Johor), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah agar pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sekeras-kerasnya oleh pihak berkuasa bagi mengelak kejadian sama berulang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dua kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima 42 laporan. Kes ini akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Pada 26 Mac, semua individu yang bertanggungjawab (pengarah syarikat KK Super Mart dan Superstore Sdn Bhd dan Xin Jian Chang Sdn Bhd) dihadapkan ke mahkamah atas beberapa pertuduhan, iaitu Seksyen 298 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan dengan sengaja mencederakan perasaan agama orang lain serta bersubahat. Tambahan pula, KK Super Mart dan Superstore Sdn Bhd memfailkan tuntutan saman sekurang-kurang RM38 juta terhadap pengarah dan syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd atas pertuduhan pelanggaran kontrak, sabotaj serta kecuaian dalam membekalkan stoking tertera kalimah Allah.

Kronologi

Pada 13 Mac 2024, sebuah gambar yang menunjukkan kalimah Allah tentera di stoking yang dijual di Cawangan Kedua KK Super Mart, Bandar Sunway, Petaling Jaya diletakkan oleh penceramah Islam, Firdaus Wong Wai Hung di akaun Facebooknya. Hal ini menyebabkan ramai umat Islam di Malaysia yang menyambut bulan Ramadhan terkejut dan marah akan tindakan tersebut.

Penyiasatan

Lantaran itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan semakan terperinci terhadap jualan stoking tertera kalimah Allah di kedai rangkaian serbaneka. Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui timbalan menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyatakan bahawa mereka juga akan menyiasat kes tersebut.

Pada 16 Mac, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan membuat sidang media dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia sambil ditemani seluruh pikah pengurusan KK Super Mart dan pemilik syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat. Beliau menegaskan bahawa produk tersebut merupakan produk pihak vendor, iaitu syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, yang juga merupakan pembekal.

Pada 18 Mac, Polis Diraja Malaysia telah membuka kertas siasatan berhubung kes ini. Tambahan pula, kes ini disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 19 Mac, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi amaran keras kepada pengurusan KK Super Mart and Superstore Sdn Bhd berhubung kes ini dan berharap agar isu melibatkan sensitiviti keagamaan tidak berulang lagi.

Kilang yang menghasilkan stoking tersebut di Batu Pahat, Johor diserbu oleh pihak polis dan mereka menemukan lima pasang stoking. Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata hasil siasatan mendapati bahawan kelima-lima pasang stoking merupakan stoking yang dipulangkan oleh tiga kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway.

Pada 20 Mac, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah menyerbu 80 premis perniagaan termasuk rangkaian kedai serbaneka yang dikaitkan dengan penjualan stoking tertera kalimah Allah. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata operasi bersepadu besar-besaran itu membabitkan kesemua 10 daerah di negeri itu dan diadakan secara serentak. Beliau menambah bahawa operasi bersepadu itu turut membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pejabat Kadi Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu turut menumpukan rangkaian kedai yang menjual pakaian dan alat tulis.

Pada 25 Mac, pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart dan Superstore Sdn Bhd memfailkan tuntutan saman sekurang-kurang RM38 juta terhadap pengarah dan syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd atas pertuduhan pelanggaran kontrak, sabotaj serta kecuaian dalam membekalkan stoking tertera kalimah Allah. Memetik laporan MalayMail, peguam kepada KK Supermart, Datuk David Gurupatham mengesahkan bahawa anak guamnya telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Menurutnya, tuntutan saman sebanyak RM10.5 juta dikemukakan kerana tertuduh telah mencemarkan nama baik jenama terbabit manakala RM20.3 juta disebabkan pembatalan cadangan penyenaraian IPO di Bursa Malaysia selain ganti rugi teruk dan teladan serta kos lain.

Pada 26 Mac, Pengasas dan pengerusi Syarikat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui dihadapkan ke mahkamah di Mahkamah Shah Alam, Selangor hari ini berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka tersebut. Individu lain iaitu pembekal yang didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam pagi ini adalah Goh Li Huay, Soh Hui San dan Soh Chin Huat. Semua suspek didakwa mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan dengan sengaja mencederakan perasaan agama orang lain serta bersubahat.

Reaksi

Kontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Yang di-Pertuan Agong
Kontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 
Muhamad Akmal Saleh, Ketua Pemuda UMNO
Kontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 
Loke Siew Fook, Setiausaha Agung DAP
Kontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 
Nga Kor Ming, Naib Pengerusi DAP
Kontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 
Tiong King Sing, Presiden Parti Demokratik Progresif
Kontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 
Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO
Kontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 
Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Pemuda PAS

Institusi diraja

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah bertitah pada 19 Mac bahawa baginda murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu ini dan mahu tindakan paling keras diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Tunku Mahkota Johor dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah di dalam satu kenyataannya pada 19 Mac bahawa baginda mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berhubung isu penjualan stoking dengan kalimah Allah. Baginda juga menambah bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam dan tindakan tegas perlu diambil bagi mengelak kejadian sama berulang.

Politik

Ramai ahli politik terkemuka yang mengulas isu ini, termasuklah dari pihak kerajaan perpaduan, iaitu Pakatan Harapan (terutamanya Parti Tindakan Demokratik (DAP)) dan Barisan Nasional (terutamanya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA)) dan pembangkang iaitu Perikatan Nasional (terutamanya Parti Islam Se-Malaysia (PAS)).

Pada 17 Mac, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh telah menyeru semua umat Islam dan kaum Melayu di Malaysia agar memboikot KK Super Mart kerana telah menghina kalimah Allah. Beliau juga mengingatkan kepada KK Mart atau mana-mana pihak bahawa "kuasa membeli adalah di tangan kita" (Orang Melayu) dan jangan sesekali bermain dengan isu sentimen dan sensitiviti 3R (agama, bangsa dan institusi diraja). Dr. Akmal juga menambah dalam kenyataannya untuk menggesa KK Super Mart memasang kain rentang di kesemua 881 cawangannya di Malaysia untuk meminta maaf kepada umat Islam berhubung kenyataan ini. Kenyataan beliau disokong oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Setiausaha Agung Persatuan Cina Malaysia (MCA), Chong Sin Woon dalam satu kenyataannya di Facebook meminta agar Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak membesarkan isu ini dan membuat gesaan agar rangkaian kedai itu diboikot secara semberono.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam kenyataannya menyebut bahawa kesalahan menjual stoking kalimah Allah di KK Mart adalah sesuatu kesalahan yang tidak boleh dipandang remeh. Tambah beliau, adalah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam di negara ini untuk memulakan tindakan memboikot pasar raya berkenaan yang dilihat menghina dan mencaci kalimah Allah dan agama Islam.

Pada 18 Mac, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata, perbuatan menghina Islam seperti itu sering berlaku yang disusuli dengan permohonan maaf, namun kemudian senyap sebelum kesalahan sama berulang lagi selepas itu. Beliau mengulas lanjut bahawa sikap pihak terbabit yang mengakui kesilapan serta memohon maaf secara terbuka adalah dipuji tetapi sikap kurang teliti dan kecuaian amatlah dikesali dan tidak boleh dibiarkan. Beliau mengulas bahawa "PAS Johor mendesak pihak berwajib agar sentiasa awas dan mengambil tindakan tegas dengan isu-isu sebegini kerana ia melibatkan sensitiviti agama yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat. Ia suatu perbuatan yang jauh menyimpang daripada tamadun dan kemanusiaan,".

Pada 19 Mac, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke memberitahu bahawa pemimpin parti politik seharusnya tidak membesarkan sesuatu isu, terutamanya isu kalimah Allah pada stoking di KK Super Mart. Beliau juga menegaskan bahawa pemimpin parti politik sepatutnya menjadi 'pembina jambatan' dalam mengeratkan semangat perpaduan di negara ini dan perlu menyelesaikan isu-isu sensitif dengan lebih harmoni.

Nga Kor Ming, Naib Pengerusi DAP telah bertegas bahawa kenyataan yang dibuat oleh Dr. Muhamad Akmal, Ketua Pemuda UMNO akan melemahkan semangat Malaysia Madani.

Dato Sri Tiong King Sing menegaskan kepada Dr. Muhamad Akmal untuk berhenti menunggang isu stoking tertera kalimah Allah untuk meraih modal politik peribadi. Beliau juga menyeru Dr. Akmal agar tidak perlu lagi mengambil kesempatan terhadap isu ini untuk menjadi 'hero Melayu' dan memperbesar-besarkan isu ini. Beliau juga menyeru Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk masuk campur dan memberitahu EXCOnya agar berhenti memperbesarkan isu ini. Walau bagaimanapun, Datuk Seri Ab Rauf menyokong tindakan yang dibuat oleh EXCOnya.

Zulkifli Ismail, Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Melaka mengeluarkan kenyataan bahawa beliau dan PAS Melaka memandang isu ini dengan serius dan menegaskan bahawa sebarang permohonan maaf adalah tidak mencukupi sebagai jalan penyelesaian kepada isu ini. Beliau juga mahu melihat adanya tindakan undang-undang yang keras terhadap syarikat yang melakukan perkara ini termasuk kepada pengguna-pengguna media sosial yang memberikan komen-komen biadab terhadap isu ini.

Bekas Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu mempersoalkan apakah kesalahan dilakukan KK Super Mart di sisi undang-undang dalam isu stoking tertera kalimah Allah. Beliau dalam hantaran di Facebooknya semalam berkata, beliau bagaimanapun bersetuju isu cetakan kalimah Allah di stoking menyinggung perasaan Muslim. “Di sisi undang-undang, apakah kesalahan KK Mart? Saya berpendapat (Seksyen) 233 tidak dapat membuktikan kes. Kejahilan atau kecuaian juga tidak boleh didakwa bawah (Seksyen) 298A,” ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dalam Parlimen yang berkata KK Mart dan vendornya boleh disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata isu itu tidak boleh ditutup dengan sekadar permohonan maaf dan mahu pelakunya dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman keras.

Pada 20 Mac, Perdana Menteri, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan mengikut undang-undang perlu disegerakan. Beliau mengulas bahawa jangan orang ramai terlalu memanjangkan isu ini.

Timbalan Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru orang ramai agar tidak berlebih-lebihan dalam mengulas isu sensitif ini dan wajar dijadikan pengajaran dan diselesaikan sebaiknya supaya tidak disalah tafsir dan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Pada 21 Mac, peguam dan aktivis hak asasi manusia Malaysia Siti Zabedah Kasim telah membidas Dr. Muhamad Akmal kerana mahu jadi seorang "hero" kepada orang Melayu dan unat Islam di Malaysia. Beliau menambah bahawa Muhamad Akmal tidak mewakili orang Melayu dan mengeksploitasi isu ini demi agenda politik.

Pada 22 Mac, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook telah bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkenaan pendapat dan pendirian yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Dr. Muhamad Akmal dalam beberapa hari lepas. Loke Siew Fook telah menegaskan kepada Ahmad Zahid Hamidi bahawa Muhamad Akmah Saleh tidak sepatutnya terlalu membesar-besarkan isu ini kerana pemilik dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan telahpun membuat kenyataan minta maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia berhubung isu ini.

Pada 23 Mac, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mewakili Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara menentang sebarang tindakan memperlekeh Islam dan kalimah Allah dan restu dengan kelantangan suara dan pendirian yang kuat berhubung isu ini. Beliau menambah, "Isu sensitif seperti gugatan kepada akidah Islam dalam filem Mentega Terbang, cadangan pewartaan Kampung Baharu Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, pengiktirafan Bak Kut Teh dan terkini isu kalimah Allah di stoking kaki adalah sebahagian daripada isu yang menjadi polemik amat memudaratkan. Sebagai parti yang menjadi benteng dan pemelihara kepada kedaulatan Islam dan kepentingan bangsa, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan apa juga tindakan memperkotak-katikkan kesucian agama Islam."

Kontroversi dan akibat

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Razali Idris mempersoal kenapa pihak bukan Islam dilihat berusaha meredakan isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Super Mart. Beliau dalam kenyataanya menyoal kenapa DAP dan MCA bersuara lantang dalam meredakan isu ini dan ada sesuatu yang hendak dipertahankan atau bimbang kerana boikot umat Islam. "Jawapan sebenar dalam hal ini ialah menghormati. Semua rakyat Malaysia kena hormat, peka, tidak prejudis dan memahami silang budaya serta keagamaan. Umat Islam di negara ini tidak pernah berdiam diri apatah lagi ada pihak memperlekehkan Islam dalam apa cara sekali pun," ujar beliau.

Penahanan limpahan

Pada 21 Mac, seorang pengguna Facebook Ricky Shane Cagampang dipenjara enam bulan dan denda RM15,000 atau penjara empat bulan lagi jika gagal membayar denda kerana memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah. Tertuduh didakwa menyalah guna kemudahan jaringan atau perkhidmatan jaringan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia dan dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 12.05 tengah hari, 17 Mac lalu melalui akaun Facebook. Jika disabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda hingga RM50,000 atau dipenjara hingga setahun atau kedua-duanya, selain boleh didenda RM1,000 setiap hari jika meneruskan kesalahan terbabit. Dalam mitigasinya, Ricky yang berasal dari Tawau, memberitahu mahkamah dia adalah mualaf selepas memeluk Islam di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Kota Kinabalu pada Mac 2021.

Pada 22 Mac, Chiok Wai Loong, seorang juruteknik aplikasi media sosial telah dihukum penjara enam bulan dan denda RM12,000 setelah tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan hakim, Suzana Hussin. Tertuduh mengaku yang dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik, melalui perkhidmatan aplikasi Facebook, menggunakan nama profil namanya pada 18 Mac.

Terorisme

Pada 26 Mac, satu cubaan serangan bom telah dibuat di sebuah cawangan KK Mart di Perak dengan menggunakan bom petrol. Walau bagaimanapun, bom dibaling gagal meletup.

Pada 30 Mac, KK Super Mart di Kuantan, Pahang, terdapat individu yang tidak dikenali membaling molotov cocktail hingga menyebabkan kebakaran pada bahagian pintu masuk (karpet) kedai serbaneka itu. Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus kedai serbaneka berkenaan sekitar jam 5.40 pagi. Berdasarkan laporan polis yang diterima, pengadu mendakwa terdapat individu tidak dikenali membaling molotov cocktail hingga menyebabkan kebakaran pada bahagian pintu masuk (karpet) kedai serbaneka itu dan terdapat dua pekerja kedai berkenaan, seorang pekerja wanita berada di kaunter manakala seorang pekerja lelaki sedang menyusun barang di bahagian rak belakang.

Lihat juga

Rujukan

Tags:

Kontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 KronologiKontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 ReaksiKontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 Kontroversi dan akibatKontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 Lihat jugaKontroversi Stoking Kalimah Allah 2024 RujukanKontroversi Stoking Kalimah Allah 2024AllahBandar SunwayKK Super MartPetaling JayaStoking

🔥 Trending searches on Wiki Bahasa Melayu:

Malayan UnionSultan Iskandar ibni Sultan IsmailParlimen MalaysiaYusof HaslamProton WiraBatik Air MalaysiaPerintah Kawalan Pergerakan Malaysia 2020-2021SabronzoPencemaran udaraLembaga Hasil Dalam Negeri MalaysiaKuala LumpurBruneiSenarai peribahasa (A–M)Sepahtu Reunion LiveBandaraya MelakaTanda dan gejalaAerofonTunku Aminah Maimunah IskandariahFasha SandhaSenarai kata pinjaman dari bahasa Arab dalam bahasa Melayu dan bahasa IndonesiaIsmail Sabri YaakobKeluaran dalam negara kasarMeerqeenGeografi IndonesiaRiezman KhuzaimiKetupatProton WajaSalasilah keturunan Nabi MuhammadOrang Melayu IndonesiaAbdul Razak HusseinDaiyan TrishaAdnan Abu Hassan (ahli politik)Kawasan pilihan raya di MalaysiaRangka manusiaSenarai filem Malaysia berdasarkan kutipan tertinggiKhadijah binti KhuwailidGas rumah hijauPegawai WaranShahrulezad MohameddinTabbyTentera Darat MalaysiaAiman Hakim RidzaJepunRejimen Askar WataniahCinta Bersemi Di Wadi SafiyyahSyafiq KyleKebudayaan MalaysiaTulisan JawiHari BumiSharifah ShahirahFalsafah Pendidikan MalaysiaAlhamdulillahJam 24 jamLapangan Terbang Antarabangsa Kuala LumpurMuhyiddin YassinHidroterapiBella AstillahAbdul Hadi AwangImam MahdiMajapahitTimbalan Perdana Menteri MalaysiaNabila HudaImbuhan kata nama (bahasa Melayu)HadisBaby ShimaHarimauTarian ZapinErry PutraManchester United F.C.Kesultanan Johor-RiauSiri Modenas KrissPrabowo SubiantoKata ganti diriProton Holdings BerhadKementerian Pendidikan MalaysiaPasukan bola sepak kebangsaan bawah-23 MalaysiaParti Islam Se-Malaysia🡆 More