Dalam bidang sains dan kejuruteraan, notasi bahagian per ialah satu pseudounit yang digunakan untuk menggambarkan nilai-nilai kecil pelbagai kuantiti tanpa dimensi seperti pecahan mol atau pecahan jisim.
Oleh kerana pecahan-pecahan ini adalah ukuran kuantiti-per-kuantiti, ia adalah nombor tulen tanpa sebarang unit ukuran. Bahagian-bahagian per yang biasa digunakan adalah ppm (bahagian per sejuta, 10-6), ppb (bahagian per sebilion, 10-9), ppt (bahagian per setrilion, 10-12) dan ppq (bahagian per sekuadrilion, 10-15).
Notasi bahagian per sering kali digunakan dalam kimia untuk menggambarkan larutan-larutan cair seperti kelimpahan relatif mineral terlarut atau bahan pencemar di dalam air. Unit "1 ppm" boleh digunakan untuk pecahan jisim sekiranya bahan pencemar yang terdapat di dalam air adalah sebanyak satu per sejuta gram untuk setiap gram sampel larutan.
Sama juga, notasi bahagian per juga digunakan dalam fizik dan kejuruteraan untuk menyatakan nilai pelbagai fenomena berkadaran. Contohnya, sejenis metal aloi tertentu mungkin mengembang sebanyak 1.2 mikrometer per meter panjang untuk setiap darjah Celsius dan ini akan dinyatakan sebagai "α = 1.2 ppm/°C". Notasi bahagian per boleh juga digunakan untuk menyatakan perubahan, kestabilan atau ketidaktentuan dalam ukuran. Misalnya, kejituan ukuran mengukur tanah apabila menggunakan penilik julat laser mungkin setepat 1 milimeter per kilometer jarak; ini boleh dinyatakan sebagai "Kejituan = 1 ppm".
Kesemua notasi bahagian per adalah kuantiti tanpa dimensi. Dalam pernyataan matematik, unit ukuran selalunya dikeluarkan. Dalam pecahan seperti "2 nanometer per meter":
Oleh itu, hasil-hasil bahaginya adalah pekali-pekali bernombor tulen dengan nilai positif kurang daripada 1. Apabila notasi bahagian per bersama-sama simbol peratus (%) digunakan dalam prosa biasa (berlawanan dengan pernyataan matematik), ia masih lagi kuantiti tanpa dimensi bernombor tulen. Namun, ia biasanya mengambil erti kata "bahagian per" secara harfiah, iaitu sebagai nisbah perbandingan (contohnya, "2 ppb" biasanya difahami sebagai "2 bahagian dalam sebilion bahagian").
Notasi bahagian per boleh dinyatakan untuk sebarang unit dengan ukuran yang sama. Contohnya, pekali pengembangan terma untuk aloi loyang tertentu, α = 18.7 ppm/°C, boleh dinyatakan sebagai 18.7 (µm/m)/°C atau 18.7 (µin/in)/°C; nilai nombor yang menyatakan perkadaran relatif tidak berubah dengan adanya unit-unit ukuran berbeza. Serupa juga halnya dengan pam-pam bermeter yang menyuntikkan sejumlah kecil bahan kimia ke dalam talian pemprosesan utama pada kadar aliran berkadaran Qp = 125 ppm; ia melakukan yang demikian pada kadar yang boleh dinyatakan dalam pelbagai unit isipadu, termasuklah 125 µL/L, 125 µgal/gal, 125 cm3/m3, dan lain-lain.
Bahagian per sejuta juga adalah satu ukuran anjakan kimia dalam spektroskopi resonans magnet nuklear dan melambangkan perbezaan frekuensi dalam bahagian per sejuta daripada frekuensi rujukan (isyarat).
This article uses material from the Wikipedia Bahasa Melayu article Notasi bahagian per, which is released under the Creative Commons Attribution-ShareAlike 3.0 license ("CC BY-SA 3.0"); additional terms may apply (view authors). Kandungan disediakan dengan CC BY-SA 4.0 kecuali jika dinyatakan sebaliknya. Images, videos and audio are available under their respective licenses.
®Wikipedia is a registered trademark of the Wiki Foundation, Inc. Wiki Bahasa Melayu (DUHOCTRUNGQUOC.VN) is an independent company and has no affiliation with Wiki Foundation.