Siti Nordiana Alias (lahir 22 November 1984) ialah seorang penyanyi dan pelakon wanita Malaysia.
Dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan kepada pasangan peneroka FELDA, beliau memulakan kerjayanya dalam bidang muzik pada usia 15 tahun selepas menandatangani kontrak rakaman bersama FMC Music di mana beliau telah menerbitkan sebanyak 5 album studio. Nama beliau kembali meningkat naik selepas menyertai dan menjuarai Gegar Vaganza musim ke-2.
Siti Nordiana | |
---|---|
Kelahiran | Siti Nordiana binti Alias 22 November 1984 |
Nama lain | Nana |
Pendidikan | Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) |
Pekerjaan | Penyanyi, pelakon, pencipta lagu, penulis lirik, pengacara, ahli perniagaan |
Tahun aktif | 1999–kini |
Karya | |
Pasangan | Faizal Yusup (k. 2006; c. 2009) |
Anak-anak | 1 |
Kerjaya muzik | |
Genre | |
Instrumen | Vokal |
Syarikat rakaman |
|
Pengkarya berkait | |
Antara lagu-lagu popular beliau ialah "Cinta Hanya Sandaran", "Bukan Mengungkit Tapi Membangkit", "Paling Comel", "Tak Tahan" dan "Terus Mencintai". Selain sebagai penyanyi, Nana turut bergiat aktif dalam bidang lakonan, antara peranan televisyen terkenal beliau ialah Dia Semanis Honey (2016) dan Klik! Pengantin Musim Salju (2018). Beliau ialah pengasas dan pemilik SND Soul Entertainment—syarikat rakaman dan pengurusan artis yang mengkhususkan kepada pelapis baharu industri hiburan tanah air, juga berkhidmat sebagai pasukan pengurusannya.
Pada September 2018, Nana telah menerbitkan memoirnya, Life Goes On yang menceritakan tentang perjalanan hidup beliau termasuk kehidupannya sebagai ibu tunggal kepada seorang anak. Beliau digelar "The Finesse Queen of Leman" oleh blogger tempatan. Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan dalam muzik dan televisyen, antaranya ialah Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Juara Lagu dan Anugerah MeleTOP Era.
Siti Nordiana dilahirkan pada 22 November 1984 di Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan. Anak kepada pasangan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), beliau ialah anak bongsu daripada dua beradik dan mempunyai seorang abang. Beliau dibesarkan di Rancangan Tanah Felda Sendayan yang terletak lebih kurang 15 kilometer dari bandar Seremban. Beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan. Nana mula menunjukkan minat terhadap bidang muzik sejak berusia belasan tahun dan menerima galakan daripada kedua-dua ibu bapanya biarpun pada mulanya tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi terkenal.
Pada usia 10 tahun, bapanya membawanya ke kedai makan di kampungnya. Lagu pertama yang dinyanyikannya ialah "Madah Berhelah" nyanyian asal Ziana Zain dengan iringan daripada kugiran secara langsung. Sejak itu, beliau mula menyanyi di majlis perkahwinan sekitar kampung dan pernah menerima bayaran sebanyak RM30 setiap persembahan. Minat mendalam terhadap muzik mendorong bapanya membawanya menyertai pertandingan nyanyian Wirawan Seni Remaja EON namun nasib tidak menyebelahinya. Antara 1995 dan 1996, beliau menyertai pertandingan demi pertandingan biarpun ketika itu masih bersekolah. Beliau terpilih mewakili Negeri Sembilan untuk menyertai Pertandingan Bintang Asli Remaja Peringkat Kebangsaan. Pada tahun 1998, sewaktu menduduki Tingkatan 2, Nana menyertai Pertandingan Tunas 9 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menghimpunkan semua juara radio setiap bulan dan peserta yang terpilih akan bertanding dalam pertandingan. Rezeki berpihak kepada Nana apabila beliau berjaya dinobatkan sebagai juara. Selepas memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau memutuskan untuk memulakan kerjaya muzik sepenuh masa.
Beliau mula menceburi bidang seni suara pada 1999 pada usia 15 tahun apabila beliau menandatangani kontrak rakaman bersama FMC Music dan muncul bersama album studio sulungnya, Gurindam Rindu Berkasih yang dikeluarkan pada Julai. Tiga lagu dalam album ini dikeluarkan sebagai single—"Cinta Hanya Sandaran", "Dalam Gerimis Hati Menangis" dan "Pulang Kasih Pulanglah Sayang" menampilkan duet bersama Wan Scoin. Album ini telah menerima pensijilan Emas.
Pada tahun 2000, Nana muncul dengan album kedua, Luahan Hati Kekasih yang mempertaruhkan lagu "Hatimu Bukan Milikku", "Kasihmu Seakan Berubah" dan "Bukan Mengungkit Tapi Membangkit" sebagai single utama. Album ini juga menyaksikan beliau berduet bersama Achik Spin buat pertama kali menerusi lagu "Restu". Dirakamkan antara 2000 dan 2001, Firus, album duet pertama Siti Nordiana bersama FMC telah dikeluarkan pada April 2001 menyaksikan beliau bekerjasama bersama Syura sebagai rakan duet dengan lagu "Bakawali" dikeluarkan sebagai single utama. Album ini telah terjual sebanyak 30,000 unit. Firus juga telah dicalonkan bagi kategori Album Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-9. Album ketiga beliau, Bingkisan Kasih dikeluarkan pada 27 Februari 2002 dengan memuatkan sebanyak 12 lagu. Beliau turut menulis lirik untuk salah satu lagu dalam album ini, "Serikan Wajahmu". Selain itu, jelajah promosi juga diadakan bagi mempromosikan album ini.
Selain kerjaya solo, Nana juga paling dikenali sebagai pasangan duo bersama penyanyi Achik Spin, vokalis kumpulan Spin dan merupakan rakan baiknya. Mereka terlebih dahulu mengenali sesama sendiri ketika zaman remaja di Negeri Sembilan sebelum sama-sama menyertai syarikat rakaman FMC Music seterusnya menjadi pasangan duet yang diminati ramai. Duo Achik & Nana telah berjaya memikat hati pendengar dengan dua album studio yang membariskan lagu hits terbaik serta mendapat sambutan hangat dari zaman kegemilangan mereka sehingga pada masa kini.
Pada April 2003, Nana menjayakan persembahan di Karnival Sure Heboh (kini Karnival Jom Heboh) sempena ulang tahun TV3 ke-19 yang berlangsung di Dataran Sejarah, Ayer Keroh, Melaka. Selain beliau, antara artis yang turut serta ialah Ezlynn, Phyne Ballerz, Apacian, Chakra Sonic, Antz, Nora, Platinum, Siti Sarah, Handy Black, Elyana, Elly Mazlein, Boboy, Ali (XPDC), Abot, Winnie Kok dan Mamat.[perlu rujukan]
Dikeluarkan pada Julai 2004, album keempat Nana, Pelangi memuatkan sebanyak 10 lagu yang mana beliau menyumbangkan sebuah lagu nukilan sendiri, iaitu "Seribu Janji". Menerusi album ini, beliau kembali berduet bersama Achik Spin menerusi lagu "Pelangi Jiwa". Antara lagu yang dikeluarkan sebagai single ialah "Selamanya Cinta", "Bukan Kisah Cinta" dan "Sendiri".
Pada tahun 2006, beliau berduet bersama penyanyi veteran Indonesia, Deddy Dores menerusi lagu "Biar Seperti Bidadari". Pada April 2007, Nana muncul dengan album kompilasi bertajuk Cahaya Kekasih yang mengandungi lagu-lagu popular beliau serta material baru.
Empat tahun kemudian, iaitu pada 2011, beliau melancarkan album studio kelima, Semakin Jelas dengan lagu "Tak Tahan" dikeluarkan sebagai single utama. Ia menjadi album studio pertamanya dalam tempoh 7 tahun sejak album keempat, Pelangi yang dikeluarkan pada 2004. Ini menjadi album terakhir beliau bersama FMC.
Pada Jun 2015, album keenamnya, Anakku Sayang telah dikeluarkan. Diterbitkan oleh Hafiz Hamidun, ia menjadi album ketuhanan pertamanya. Pada Oktober, beliau menyertai Gegar Vaganza musim kedua setelah ditawarkan oleh pihak Astro untuk menyertai rancangan itu. Nama beliau kembali naik apabila pada minggu ke-4 beliau berduet bersama rakan baiknya iaitu Lan Kristal dengan lagu "Memori Berkasih". Persembahan mereka menjadi tular di laman sosial sehingga menjadi siulan ramai dan mengimbau kembali kenangan bersama rakan duetnya yang merupakan rakan baiknya, Allahyarham Achik. Nana memberikan persembahan yang terbaik pada setiap minggu sehingga beliau dinobatkan sebagai Juara dengan mendendangkan lagu "Putus Terpaksa" dan "Awak Kat Mana", sekaligus membawa hadiah wang tunai RM 100,000 beserta trofi dan Persembahan Terbaik berjumlah RM 5,000.
Selepas tamat Gegar Vaganza musim kedua, beliau telah diundang menjayakan persembahan di Malam Kalimah Cinta yang berlangsung di Istana Budaya dari 23 hingga 25 Disember 2015. Ia turut dijayakan oleh Ronnie Hussein dan Lah Ahmad. Kemudian pada 15 hingga 17 Januari 2016, beliau bersama-sama dengan alumni Gegar Vaganza musim 1 dan 2 termasuk Farahdhiya, Nassier Wahab dan Haleeda menjayakan Konsert Mega Gegar Vaganza yang berlangsung selama tiga malam berturut-turut di Istana Budaya.
Pada tahun yang sama, Nana telah merakamkan lagu berjudul "Pesanan Teragung" terbitan Astro. Lagu ini menjadi kegagalan komerisal walaupun berjaya memasuki carta Muzik Muzik.
Pada tahun 2017, beliau telah melancarkan sebuah single hasil ciptaan sepenuhnya oleh beliau sendiri yang berjudul "Terus Mencintai". Lagu ini berjaya memikat hati pendengar dan menjadi antara lagu paling popular pada tahun 2017. Ia juga menjadi juara di Carta Muzik Muzik selama beberapa minggu dan melayakkan diri ke Separuh Akhir Muzik Muzik 32. Walau bagaimanapun, "Terus Mencintai" gagal mara ke Pentas Akhir AJL 32. Namun begitu ini tidak menghalang Nana terus berkarya dengan lagu-lagu yang baru. Nana juga memenangi Kategori Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-30 dan Penyanyi Meletop di Anugerah MeleTOP Era 2017.
Populariti Siti Nordiana bukan sahaja menyerlah di tanah air malah turut mendapat perhatian di Indonesia. Ini terbukti apabila beliau menjayakan rancangan Ini Talkshow yang dikendalikan oleh Sule dan Andre Taulany yang disiarkan menerusi NET. TV. Beliau menjadi tetamu undangan rancangan itu bagi bercerita tentang lagu Raya Nusantara yang dinyanyikannya bersama Rizky Febian, Fatin Shidqia, Ismail Izzani dan Sufi Rashid.
Pada 30 Ogos 2017, beliau diberi kepercayaan mengadakan persembahan di acara penutup Sukan SEA 2017 di mana beliau membawakan rendisi lagu Siti Nurhaliza, "Cindai" dan "Lebih Indah".
Nana kemudian menjalin kerjasama dengan siri animasi Omar & Hana terbitan Digital Durian menerusi lagu Raya bertajuk "Oh Meriahnya Raya" yang mana beliau digambarkan dalam bentuk animasi 3D dalam muzik videonya.
Beliau menubuhkan syarikat rakaman dan pengurusan bakat, SND Soul Entertainment yang bertujuan untuk memperkenalkan bakat baharu dalam bidang muzik selain turut berkhidmat sebagai pasukan pengurusannya. Bekas peserta Mentor 7, Mimi Manan telah diperkenalkan sebagai artis pertama SND Soul.
Nana merupakan antara artis yang menjayakan persembahan di Konsert Malam Kemuncak GempaKarnival yang berlangsung pada 30 November 2019 sempena ulang tahun GM Klang ke-10. Turut membuat persembahan ialah Bunkface dan Sarah Suhairi.
Nana bersama-sama DJ Dave, Ella dan Siti Sarah merakamkan sebuah lagu bertajuk "Janji Merdeka" sebagai sebahagian daripada Projek Video Kenegaraan Bersama anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). Nana memberitahu dalam satu temubual bersama Berita Harian pada 22 November 2020 bahawa beliau akan menduduki kerusi pengarah untuk muzik video single terbaharunya yang bakal dilancarkan kelak.
Beliau mengadakan konsert maya pertama, Konsert Virtual Siti Nordiana & Fans yang diadakan pada 25 Disember di laman Facebook beliau pada jam 9 malam. Menerusi konsert ini, Nana mempersembahkan 10 lagunya dengan iringan kugiran secara langsung.
Pada Januari 2021, Nana berduet bersama Nubhan Ahamad menerusi lagu bertajuk "Sekali Lagi" terbitan Seventeen Eleven Music. Sebuah siri mini tiga episod telah diterbitkan bagi mempromosikan lagu ini sebelum pelancaran muzik video rasmi diadakan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.
Dari 16 April hingga 16 Mei 2021, Nana muncul dalam konsert realiti berperantara yang diadakan buat pertama kali di Malaysia anjuran Pepsi. Konsert ini turut dijayakan oleh tiga bakat tempatan, iaitu Aidil, Bell dan Syafik yang memenangi cabaran ujibakat #PepsiBoldTalent.
Pada 4 Mei 2021, beliau muncul dengan single terbaharu, "Cukup Derita Itu" ciptaan Tam Spider dan lirik ditulis oleh Siti Rosmizah Semail. Ia menjadi lagu tema siri drama TV3 bertajuk sama yang juga diadaptasi dari novel karya Siti Rosmizah. Album ketujuh Nana, Zikir Ketuhanan dikeluarkan dengan memuatkan lima lagu berunsur kerohanian. Lagu zikir "Hasbi Rabbi" menampilkan duet bersama Ustaz Sharizan telah dikeluarkan sebagai single. Album ini menjadi album ketuhanan keduanya dan album studio pertamanya dalam tempoh enam tahun sejak Anakku Sayang (2015).
Bekerjasama dengan Bunga Isme, Nana muncul dengan lagu "Amaran" yang berentak muzik tarian elektronik (EDM), trap dan hip hop. Dikeluarkan pada 26 November 2021, lirik lagu ini antara lain menyelitkan nasihat insan yang pernah melalui dunia percintaan. Menurut Nana: "Lagu ini ibarat nasihat kakak kepada adik atau ibu kepada anaknya,".
Pada Jun 2022, Siti Nordiana mengumumkan akan mengadakan konsert solo pertamanya yang dijadualkan akan diadakan pada November, bagi meraikan dua dekad kerjayanya dalam bidang muzik.
Pada 14 Oktober 2022, beliau melancarkan single terbaharunya, "Menyantun Kasih" hasil nukilan oleh M. Nasir. Dalam satu temubual, Nana mengakui telah menunggu selama 5 tahun (sejak 2017) untuk menyanyikan lagu ciptaan Nasir. Ini kemudian diikuti oleh lagu "Cintaku Masih Berdiri" nyanyiannya yang merupakan runut bunyi drama biografi Aku Seorang Perempuan yang diadaptasi dari memoir autobiografinya, Life Goes On dan novel Bukan Perempuan Biasa.
Pada 4 Februari 2023, Siti Nordiana bersama-sama dengan penyanyi lain termasuk Khadijah Ibrahim, Akim Ahmad dan Hael Husaini serta penyanyi Singapura termasuk Ramli Sarip, Jatt Ali, Rahila Rashun, Hazrul Nizam dan Syakirah Noble membuat persembahan di Muzika Ekstravaganza 2023. Konsert ini disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 dan Mediacorp Suria.
Kemudian, beliau bekerjasama dengan kumpulan nasyid, Saujana dengan merakamkan versi baharu lagu "Keluarga Bahagia" sempena ulang tahun ke-26 lagu itu.
Pada Ogos 2023, Nana melancarkan single terbaharunya, "Arah Cinta" hasil nukilan sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna.
Beliau menjadi salah seorang daripada 10 juara musim terdahulu Gegar Vaganza yang bertanding dalam All Stars Gegar Vaganza yang memulakan tayangan perdana di Astro Ria bermula 24 September 2023.
Nana juga berjinak-jinak dalam bidang lakonan, dengan membintangi telefilem bertajuk Helah (2003) lakonan bersama Achik Spin dan Syura yang mana beliau melakonkan watak sebagai Nani. Beliau bersama Achik kemudian kembali digandingkan menerusi telefilem Prahara. Sejak itu, Nana berlakon dalam beberapa drama dan telefilem seperti Wad 04, 3 Dara Pingitan, Nenas Dan Ikanku, Aku Budak Minang 2 dan Anak Tengi.
Nana kemudian muncul dalam drama bersiri arahan Michael Ang, Dia Semanis Honey (2016) yang diadaptasi daripada novel 2015 bertajuk sama karya Dila Dyna. Lakonan beliau dan Alif Satar mendapat tempat di hati peminat, sehingga drama itu menjadi kata carian paling banyak di Google Malaysia. Atas permintaan ramai, drama ini disambung ke siri Dia Semanis Honeymoon sebanyak 5 episod dan telefilem Dia Semanis Honey Raya. Malah drama ini juga dipentaskan di pentas teater di Istana Budaya pada 3 Januari hingga 9 Januari 2017. Atas permintaan peminat, teater Dia Semanis Honey Muzikal telah disambung sehingga 12 Januari 2017. Lakonan bersahaja Nana dan Alif membuatkan penonton mahu mereka terus digandingkan untuk drama-drama lain pula.
Selain itu, beliau juga paling dikenali menerusi kerjasamanya bersama Fikry Ibrahim. Beliau digandingkan bersama Fikry melalui telefilem Cekelat Semanis Honey dengan memegang watak sebagai Maya.
Pada tahun 2018, Nana kembali digandingkan bersama Alif menerusi drama Klik! Pengantin Musim Salju sebagai Kasih Lateefa atau Kay. Gandingan ini sekali lagi menjadi tumpuan penonton. Gaya lakonan Nana amat baik dalam melakonkan watak Kay yang bersifat bersahaja dan kasar menaikkan lagi nama Siti Nordiana dalam bidang lakonan. Malah, lagu tema bagi drama ini iaitu "Sebenarnya" turut menampilkan Nana bersama Alif. Namun begitu kedua-duanya mengumumkan akan berehat dari digandingkan bersama dalam mana-mana drama.
Nana sekali lagi kembali digandingkan bersama Fikry menerusi telefilem Cekelat Tak Semanis Honey dan drama Cekelat Honey yang turut dibintangi oleh Zarul Umbrella, Zulin Aziz, Syura, Intan Sarafina, Nonny Nadirah, Dafi dan ramai lagi.
Pada tahun 2019, beliau telah digandingkan bersama Khai Bahar yang pertama kali berlakon dalam drama Satukan Rasa yang ditayangkan di slot MegaDrama Astro Ria. Lagu eponim bertajuk sama juga merupakan lagu duet mereka berdua yang turut dijadikan runut bunyi dalam drama ini, yang turut dibintangi oleh Yusuf Bahrin, Raja Azmi dan ramai lagi.
Pada Mei 2021, Nana mengumumkan bakal kembali digandingkan bersama Alif Satar menerusi drama terbaharu lakonan mereka, Sayap Bagimu arahan Low Ngai Yuen yang dijangka akan bersiaran di TV3 pada Julai 2021. Ini menjadi projek TV pertama mereka dalam tempoh 3 tahun sejak Klik! Pengantin Musim Salju (2018).
Beliau menjadi pelakon utama bersama Sham Visa dan Farahdhiya menerusi drama Selamanya Suri Cinta yang bersiaran di TV9 bermula 15 Julai 2022 sehingga 5 Oktober 2022. Menerusi drama ini, beliau melakonkan watak sebagai Wanda Nurhayati.
Pada tahun 2012, Nana menjalankan perniagaan busana Muslimah dengan label yang diberi nama PalingComel. Beliau kemudian melancarkan jenama tudungnya sendiri, NanaRayyan pada tahun 2016. Susulan kejayaan dengan jualan tudung dan busana muslimah, pada awal 2017, beliau tampil dengan produk terbaharu iaitu koleksi gincu yang diberi nama SND mengikut singkatan nama beliau, Siti NorDiana. Pada tahun 2018, Nana telah melancarkan jenama minyak wangi sendiri iaitu ADORÉ serta menjadi duta kepada jenama tersebut.
Nana menulis dan menerbitkan memoirnya berjudul Life Goes On. Buku ini mengandungi kisah jatuh bangun Nana dalam industri hiburan tanah air serta kehidupan peribadinya sendiri. Buku hasil tulisan sendiri ini telah berjaya mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pembaca serta menjadi Buku Terlaris di MPH Bookstores selama beberapa minggu berturut-turut. Ia dikeluarkan pada 8 September 2018.
Beliau kemudian muncul dengan novel autobiografi berdasarkan kehidupannya, Bukan Perempuan Biasa hasil tulisan Tengku Khalidah Tengku Bidin yang kemudiannya dibawanya untuk adaptasi siri drama televisyen yang dijangka akan memulakan tayangan perdana pada Mac 2021.
Sepanjang kerjayanya dalam bidang muzik, Siti Nordiana juga dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu pop Melayu dan juga tradisional. Di awal penglibatannya dalam bidang muzik, beliau diberi jolokan penyanyi kampung. Dalam temuramah bersama Utusan Malaysia, beliau berkata:
"Sebelum ini Nana banyak menyanyikan lagu-lagu leleh sehinggakan ramai panggil saya penyanyi kampung. Tetapi lihatlah. Saya sudah buktikan penyanyi kampung juga mampu membuktikan kemampuan vokal tersendiri,”.
Pada tahun-tahun terawalnya dalam dunia seni suara, Nana bukan anak emas FMC seperti yang telah dihebahkan di media. Malah berpendapat artis-artis di bawah FMC juga diberikan layanan secara adil. Nana menerima jolokan penyanyi 'leman' (tangkap leleh) oleh Ramli M.S. yang merupakan juri tetap Gegar Vaganza 2 yang mana beliau ialah salah seorang pesertanya. Beliau turut mengakui perlu cerewet dalam memilih lagu dan yakin vokalnya sesuai dengan lagu yang bersifat 'leman'. Beliau berkata dalam temubual bersama Astro Gempak pada November 2017:
"Tidak boleh dinafikan peminat di bandar dan luar bandar lebih gemarkan saya menyanyi lagu-lagu bersifat tangkap leleh sebab lagu sedemikian mudah melekat dan kena dengan jiwa semua orang terutamanya orang Melayu. Kelebihan vokal saya pun lebih terarah kepada genre sedemikian, kalau nyanyi lagu urban dan moden itu saya rasa itu bukan saya. Walaupun muzik berbeza, melodi nyanyian saya perlu ada rintihan".
Menerusi temu bual bersama portal web sama pada Januari 2019, beliau mendedahkan mengagumi sikap peramah penyanyi, Siti Nurhaliza. Beliau turut berkongsi lagu Siti menjadi tuah kepadanya apabila berjaya memenangi satu pertandingan nyanyian di negeri kelahirannya sebelum bergelar selebriti.
Siti Nordiana merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza musim kedua pada tahun 2015. Beliau telah menjuarai pertandingan tersebut sekaligus mengatasi pesaing terdekat, Farahdhiya dan Ezad Lazim di tempat kedua dan ketiga. Beliau menerima RM 100,000 dan pakej percutian ke Madrid, Sepanyol serta trofi iringan. Di samping itu, beliau turut mendapat undian SMS tertinggi untuk memenangi kategori Persembahan Terbaik Pilihan Penonton dan membawa pulang RM 5,000. Berikut ialah senarai persembahan beliau:
Persembahan dan keputusan Gegar Vaganza (musim 2) | |||||
---|---|---|---|---|---|
Konsert | Tema | Lagu tugasan | Penyanyi asal | Kedudukan | Keputusan |
Minggu 1 | Kembali Menyengat | "Paling Comel" | Lagu sendiri bersama Achik Spin | Ke-6 | SELAMAT |
Minggu 2 | Aku dan Lagu | "Madah Berhelah" | Ziana Zain | Ke-11 | SELAMAT |
Minggu 3 | Ada Bran? | "Kasihnya Laila" | Jinbara | Ke-6 | SELAMAT |
Minggu 4 | Duet | "Memori Berkasih" (duet bersama Lan Kristal) | Lagu sendiri bersama Achik Spin | Ke-8 | SELAMAT |
Minggu 5 | Hits Vaganza | "Nirmala" | Dato' Sri Siti Nurhaliza | Pertama | SELAMAT |
Minggu 6 | Kenangan Terindah | "Ku Takkan Bersuara" | Nike Ardilla | Pertama | SELAMAT |
Minggu 7 | Rockdut (Rock + Dangdut) | "Secangkir Madu Merah" | Amelina & Sheeda | Ke-4 | SELAMAT |
Minggu 8 | Karok Tarik | "Mengapa" | Nicky Astria | Pertama | SELAMAT |
Minggu 9 | Akhir | Tugasan Pertama: "Putus Terpaksa" Tugasan Kedua (Battle vs Acong): "#AwakKatMane" | Ziana Zain Taufik Batisah | Ke-6 Ke-3 | JUARA |
Nana mengikat tali pertunangan dengan pelakon, Faizal Yusup pada 30 November 2005, seminggu selepas beliau meraikan ulang tahunnya ke-21. Pasangan ini kemudian melangsungkan perkahwinan mereka pada 29 April 2006. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rayyan Nakhaie yang dilahirkan pada 21 Mac 2008. Namun begitu jodoh mereka tidak berpanjangan apabila bercerai pada 14 September 2009. Faizal dilaporkan telah melafazkan cerai talak tiga terhadap Nana pada Ogos.
Faizal bagaimanapun meninggal dunia pada 1 Januari 2011 akibat serangan jantung. Selepas kematian bekas suaminya, Nana berdamai dengan isteri Faizal, Rosmunira Rashid. Sejak itu, beliau tidak pernah berkahwin lagi, malah lebih selesa dengan status sebagai ibu tunggal dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada anaknya, Rayyan. Menurutnya, segala kekuatan dan semangat untuk terus bekerja adalah demi membesarkan anak dengan baik.
Beliau mula berhijrah dengan bertudung pada hujung 2011. Nana menyifatkan dirinya sebagai seorang yang beringat untuk tidak berbelanja mewah. Beliau juga menyifatkan dirinya seorang yang pemalu. Pada Julai 2019, beliau menjalani pembedahan bebas rabun.
Sewaktu pilihan raya kecil Rantau pada 13 April 2019, Siti Nordiana melaksanakan tanggungjawab beliau membuang undi. Beliau dilaporkan enggan dikaitkan dengan mana-mana parti politik kerana beliau hanya sekadar untuk menunaikan kewajipan.
Pada 4 Jun 2021, beliau mendedahkan dalam satu sidang media mayanya bahawa pendapatannya dalam bidang muzik terjejas hampir 60 peratus kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19 di Malaysia. Untuk mencari wang lebih, beliau melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual jenama tudung sendiri di media sosialnya bagi menambah pendapatan tambahan.
Beliau juga memiliki hobi meminati sukan luncur ais semasa usia remajanya. Di waktu lapangnya, Nana memiliki hobi memelihara kucing.
Bapanya, Alias Ahmad meninggal dunia sewaktu tidur pada 21 Julai 2023 pada usia 68 tahun.
Siti Nordiana menjadi subjek kontroversi pada Disember 2010 berikutan penampilannya memakai gaun pendek pada majlis parti majalah EH! menerima kritikan daripada banyak pihak. Nana menjelaskan gaun rekaan Hani Suraya tidak terlalu seksi, malah penampilannya disifatkan sebagai pembaharuan diri dan penampilan semulanya dalam industri muzik. Menurutnya, imej barunya juga dilakukan sempena pelancaran single terbarunya, "Tak Tahan".
Pada 20 Julai 2021, Nana menjadi sebutan dalam satu sesi siaran langsung dalam Instagram yang disertai oleh penyanyi, Lan Yusof bersama isterinya, Shiela, Syura, jurusolek Aida G dan pegawai perhubungan awam FMC Music, Sam Samin apabila Shiela meluahkan rasa tidak puas hati dan terkilan dengan suaminya dikatakan menumpang populariti Nana.
Nana dilaporkan memberi tempoh selama 48 jam kepada mereka berlima untuk membuat permohonan maaf berhubung isu tuduhan fitnah yang dilemparkan kepadanya atau memfailkan tuntutan saman sekiranya mereka gagal berbuat demikian. Nana melalui peguamnya, Abang Azlan Abang Ariffin juga membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sekitar jam 9.42 pagi pada 23 Julai berhubung isu tuduhan fitnah yang dilemparkan kepadanya. Sebutan untuk kes saman itu dikemukakan pada 23 Ogos.
Pada 19 Oktober, proses mediasi kes tersebut tidak berjaya. Beliau kemudian mendakwa di Mahkamah Sesyen bahawa beliau difitnah dalam laman Instagram menyebabkannya digambarkan sebagai individu bermoral rendah sehingga mengundang kecaman dan sindiran warganet. Pada 3 Januari 2022, perbicaraan kes saman beliau dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Persengkataan itu berakhir apabila Syura mengemukakan permohonan maaf kepada Nana. Bagaimanapun, perbicaraan kes saman fitnah Nana terhadap lima individu termasuk dua rakan artis, Lan Solo dan Syura di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditetapkan bermula Oktober 2023.
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2010 | Aku Budak Minang 2 | Anor | TV2 | |
2016 | Dia Semanis Honey | Hani Safira | Astro Ria | |
Dia Semanis Honeymoon | ||||
Suri Hati Mr. Pilot | Penampilan Khas / Cameo | |||
2018 | Klik! Pengantin Musim Salju | Kasih Lateefa | ||
Cekelat Semanis Honey | Maya | Astro Citra | ||
2019 | Satukan Rasa | Indah Suhaila | Astro Ria | |
2022 | Selamanya Suri Cinta | Wanda Nurhayati | TV9 | |
2023 | One Million Dollar Voice | Nana | Astro Ria | |
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV |
---|---|---|---|
2003 | Helah | Nani | VCD |
Prahara | Nana | ||
2004 | Wad 04 | Fina | |
Tiga Dara Pingitan | Noi | ||
2012 | Anak Tengi | Dira | TV AlHijrah |
2016 | Dia Semanis Honey Raya | Hani Safira | Astro Ria |
Duit Kawin | Dirinya sendiri | ||
2017 | Cekelat Semanis Honey | Maya | Astro Citra |
2018 | Cekelat Tak Semanis Honey |
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran | Catatan |
---|---|---|---|---|
2022 | AEON: Sayap Bagimu | Kak Siti | YouTube | Web drama |
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
2017 | Dia Semanis Honey Muzikal | Hani Safira |
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2016 | Sepahtu Reunion Al-Raya | Tetamu Jemputan | Astro Warna | |
2017 | Gema Gegar Vaganza (musim 1) | Pengacara | Astro Oasis | Bersama Fikri Ibrahim & Achey Bocey |
2018 | Gema Gegar Vaganza (musim 2) | Bersama Fikri Ibrahim & Fakhrul UNIC | ||
Mentor 7 | Mentor | TV3 | Bersama Aizat Amdan, Datuk Syafinaz & Hafiz Suip | |
Bintang Minggu Ini | Bintang Utama | Astro Ria | ||
Di Balik Idola | Selebriti jemputan | |||
2019 | Sepahtu Reunion Live | Cikgu Laila | Astro Warna | Artis Jemputan: Episod "Kau Lilin Hidupku" |
Michael Ang's Halal Kitchen | Selebriti Jemputan | Naura HD | ||
Dah Nak Raya | Astro Ria | Bersama Lan Solo & Syura | ||
Gegar Vaganza (musim 6) | Penyanyi Jemputan | Duet bersama Naqiu | ||
2020 | Gegar Vaganza (musim 7) | Duet bersama Oja | ||
2021 | All Together Now Malaysia | Juri Tetap | ||
2022 | Konsert Sepahtu Al-Raya | Tetamu Jemputan | Astro Warna |
Tahun | Tajuk | Peranan | Catatan |
---|---|---|---|
2001 | Konsert Mangga Langkawi | Penyanyi utama | Konsert bersama artis-artis popular tanah air |
2003 | HMI bersama Achik & Nana | Penyanyi bersama Achik Spin | Penyanyi bersama Achik |
2006 | Konsert Solo Achik & Nana | ||
2015 | Gegar Vaganza 2015 | Peserta | Dinobatkan sebagai juara |
2016 | Mega Gegar Vaganza | Penyanyi utama | Menampilkan peserta-peserta Gegar Vaganza Musim Pertama dan Kedua di atas satu pentas |
2017 | Konsert Tribute Istimewa Untukmu Arwah Achik Spin | Penyanyi bersama artis lain seperti Khalis Real Spin, Khai Bahar dan Tajul Ariff | Semua penyanyi menyanyikan lagu-lagu popular arwah |
2018 | Konsert Just Us Live In Singapore | Penyanyi bersama Alif Satar | Konsert bersama Alif Satar |
2019 | Konsert Ratu 2.0 (Konsert Minggu ini) | Penyanyi bersama Ziana Zain dan Ella | Menyampaikan lagu lagu popular sepanjang kerjaya mereka |
Bintang Minggu Ini | Penyanyi bersama Elite dan Mamat Exist | Temu bual tentang perjalanan kerjaya sepanjang bergelar artis dan menyampaikan lagu popular mereka sepanjang kerjaya | |
2020 | Bintang Minggu ini | artis undangan Senario Reunion bersama Iqbal M | Artis Undangan berduet bersama Senario |
Konsert Virtual Siti Nordiana & Fans | Penyanyi utama bersama penyanyi undangan Amir Masdi & Mimi Manan | Konsert Siti Nordiana khas buat peminat yang setia mengundi dan menyokong kerjaya Nana | |
2021 | Konsert Minggu Ini: In Person... Siti Nordiana | Penyanyi utama | Rakaman konsert secara langsung yang menampilkan Nana dan artis jemputan |
2023 | Muzika Ekstravaganza | Konsert gabungan artis Malaysia dan Singapura |
Pada Julai 2002, Nana bersama-sama Elly Mazlein telah dilantik sebagai duta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).
Pada 16 April 2018, Nana bersama pelakon Shaheizy Sam telah dilantik sebagai duta bagi produk minuman susu kultur Jepun, Calpis bagi mempromosikan kebaikan serat sempena kempen Goodness, It’s In Our Culture, selain mempromosikan kebaikan dan keriangan yang terdapat dalam setiap minuman Calpis.
Pada 19 Februari 2020, beliau dilantik sebagai duta jenama Ze' Venir. Beliau bersama-sama dengan 10 artis terkenal termasuk Liza Hanim, Haiza dan Ernie Zakri menjayakan projek amal Sing For Fund bagi membantu individu yang terjejas dengan penularan pandemik COVID-19, projek amal ini bermula dari 27 April hingga 7 Mei 2020. Pada Disember 2020, Nana dilantik sebagai duta rasmi Nurraysa.
Nana turut memberi sokongan kepada gerakan bendera putih yang mana menerusi Skuad Prihatin Siti Nordiana, beliau bersama peminat-peminatnya, membantu mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Untuk hasil karyanya dalam bidang muzik, Siti Nordiana telah menerima pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori Penyanyi Wanita Popular dan Anugerah MeleTOP Era bagi kategori Penyanyi MeleTOP. Beliau juga telah memenangi Buku Umum Terbaik bagi kategori Autobiografi menerusi memoirnya, Life Goes On di Anugerah Buku Negara 2019.
Wiki Commons mempunyai media berkaitan Siti Nordiana |
This article uses material from the Wikipedia Bahasa Melayu article Siti Nordiana, which is released under the Creative Commons Attribution-ShareAlike 3.0 license ("CC BY-SA 3.0"); additional terms may apply (view authors). Kandungan disediakan dengan CC BY-SA 4.0 kecuali jika dinyatakan sebaliknya. Images, videos and audio are available under their respective licenses.
®Wikipedia is a registered trademark of the Wiki Foundation, Inc. Wiki Bahasa Melayu (DUHOCTRUNGQUOC.VN) is an independent company and has no affiliation with Wiki Foundation.