Mohamed Bin Hamzah: Arkitek dan pereka bendera Malaysia

Haji Mohamed bin Hamzah (Jawi: ‏محمد بن حمزه‎code: ms is deprecated ‎;‭ 5 Mac 1918 - 19 Februari 1993) merupakan seorang pereka bentuk bendera yang ahli dalam bidang veksilologi dan arkitek Malaysia.

Beliau merupakan pencipta Jalur Gemilang, iaitu Bendera Malaysia. Beliau bertugas sebagai seorang arkitek di negeri Johor dan telah ditugaskan untuk membina banyak struktur dan bangunan kerajaan di negeri tersebut.

Mohamed bin Hamzah

PIS, PIL, PLP (Johor)
محمد بن حمزه
Mohamed Bin Hamzah: Kehidupan awal, Pendidikan, Kerjaya
Kelahiran(1918-03-05)5 Mac 1918
Hospital Kandang Kerbau (kini Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK), Singapura, Negeri-negeri Selat
Meninggal dunia19 Februari 1993(1993-02-19) (umur 74)
Tempat ditanamTanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru, Johor, Malaysia
WarganegaraMalaysia
PendidikanSeni lukis
Pusat pendidikanKolej Raffles, Singapura, Negeri-negeri Selat
PekerjaanArkitek
Terkenal keranaMereka bentuk Bendera Malaysia, Jalur Gemilang
PasanganKamariah bte Alias
Nong Hashim
Rohaya
Robangi binti Daud
Anak-anakMariam binti Mohamed
Ibu bapaHamzah bin Abdullah (bapa)
Aminah binti Haji Tahir (ibu)
Tandatangan
Mohamed Bin Hamzah: Kehidupan awal, Pendidikan, Kerjaya

Beliau paling terkenal dengan karya-karyanya dalam mereka bentuk Bendera Malaysia (dahulunya Persekutuan Tanah Melayu), Jalur Gemilang. Apabila Persekutuan Tanah Melayu hendak ditubuh, negara tersebut memerlukan satu bendera baharu bagi menggantikan bendera Malayan Union. Beliau juga terkenal kerana mereka bentuk jata negeri Johor, kad jemputan kerajaan Johor, lambang kerajaan, serta bangunan-bangunan seperti Dewan Jubli Intan di Johor.

Kehidupan awal

Mohamed dilahirkan di Hospital Kandang Kerbau, Singapura pada 5 Mac 1918, anak kedua daripada 10 beradik. Keluarganya menetap di Jalan Mariamah (Kampung Kubor), Johor Bahru, berdekatan dengan Makam Diraja Mahmoodiah. Bapa beliau, Hamzah bin Abdullah merupakan seorang berketurunan Cina dan anak seorang tauke ladang gambir di Segamat, Johor. Hamzah diambil sebagai anak angkat oleh Dato' Bentara Dalam, Dato' Ibrahim bin Abdullah Munsyi dan dibesarkan sebagai seorang muslim. Ibu Mohamed pula, Aminah binti Haji Tahir merupakan seorang berketurunan India Muslim dari Melaka.

Pendidikan

Mohamed Bin Hamzah: Kehidupan awal, Pendidikan, Kerjaya 
Mohamed (atas kerusi, ketiga dari kiri) bersama-sama murid Sekolah Inggeris Bukit Zahrah pada tahun 1934.
Mohamed Bin Hamzah: Kehidupan awal, Pendidikan, Kerjaya 
Mohamed (berduduk, kiri) bergambar dengan rakan sesekolahnya di Maktab Sultan Abu Bakar pada tahun 1935.

Mohamed bersekolah di Sekolah Inggeris Bukit Zahrah pada tahun 1930. Beliau kemudian menamatkan persekolahannya pada peringkat Senior Cambridge di Maktab Sultan Abu Bakar pada tahun 1935. Sepanjang itu, Mohamed mengikuti pelajaran agama di Sekolah Agama Zahrah pada sebelah petang hari sehingga tamat darjah enam. Mohamed dikatakan sudah menunjuk minat dalam bidang seni halus, reka cipta serta seni tulis sama ada dalam tulisan Rumi mahupun tulisan Jawi.

Semasa di Sekolah Inggeris Bukit Zahrah dan di Maktab Sultan Abu Bakar, Mohamed merupakan seorang pelajar yang aktif dalam kegiatan sukan dan kokurikulum. Beliau telah menceburi acara padang, termasuk bola sepak dan badminton. Beliau juga telah menyertai kumpulan pengakap Sekolah Bukit Zahrah ketika berumur 16 tahun, sehingga tamat pelajaran di Maktab Sultan Abu Bakar.

Pada tahun 1936, Mohamed ditaja oleh kerajaan Johor untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang seni lukis di Kolej Raffles, Singapura, Negeri-negeri Selat. Beliau telah mendapat keputusan cemerlang dalam kursus ini, dengan Sijil Kelas A1 yang disampaikan pada 31 Januari 1937.

Pada tahun 1939, beliau juga telah mengikuti 42 mata pelajaran dalam satu kursus seni melalui pos dari Press Art School, Tudor Hall, Forest Hill, London yang dibiayai oleh biasiswa Sultan Ibrahim. Sepanjang kursus tersebut, Mohamed telah menghantarkan hasil kerja lukisannya ke London. Pensyarah pembimbing di Press Art School telah memberi ulasan positif terhadap lukisan Mohamed, dan mengatakan bahawa lukisan-lukisan tersebut adalah "amat menarik dan anggun."

Kerjaya

Mohamed Bin Hamzah: Kehidupan awal, Pendidikan, Kerjaya 
Mohamed bergambar di hadapan papan pelukisnya pada usia 20-an.

Pada tahun 1938, Mohamed mula bekerja sebagai seorang kerani chandu di Pejabat Superintendent Chandu Monopoly, Johor Bahru. Setelah merasakan bahawa perkerjaan tersebut tidak sesuai baginya, beliau menulis surat kepada Jurutera Jabatan Kerja Raya Johor untuk memohon jawatan sebagai seorang Pembantu Teknik. Di atas persetujuan Bahagian Perkhidmatan Johor, beliau dipindahkan ke Jabatan Kerja Raya Johor sebagai seorang Pelukis Pelan di bawah seorang jurutera JKR negeri bernama W.A. Kirk. Pada 4 September 1938, Mohamed dilantik menggalas jawatan Pembantu Teknik Rendah Grade III sebagai seorang penyurih dengan gaji sebulan berjumlah $480.

Mohamed dikenali sebagai seorang yang rajin berkerja, bertanggungjawab dan menyelesaikan tugas dengan cepat daripada tempoh yang ditetapkan, sehinggakan dianugerah Pingat Kerana Lama dan Baik dalam Pekerjaan (PLP) oleh Sultan Johor pada tahun 1976.

Pada 1 September 1941, Mohamed dinaikkan pangkat kepada Pembantu Teknik Grade II. Pada Mac 1947, beliau lulus peperiksaan Draughtsman Grade III di Institut Arkitek Malaya, dan Draughtsman Grade II pada September 1947 di tempat yang sama. Di sana juga, Mohamed telah mengambil peperiksaan Tracer Grade I dan lulus pada Disember 1948.

Pada April 1963, Mohamed telah menerima sepucuk surat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor, memaklumkan bahawa beliau telah dinaik pangkat kepada Pembantu Teknik Tingkatan Tertinggi, di mana sebahagian besar karya di Johor dikendalikan olehnya, sehinggalah beliau bersara pada 1 Jun 1971 dengan gaji akhir berjumlah $1,250.

Mohamed terknal sebagai seorang arkitek yang bagus, sehingga digelar Mohamed Arkitek oleh ramai orang, kerana jasa dan bakatnya dalam mereka bentuk struktur-struktur termasyhur seperti Dewan Jubli Intan, Menara Mahkota, Masjid Jamek Mersing, Pejabat Pos Johor Bahru, Bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru, serta banyak bangunan kerajaan, kuarters, dan masjid di seluruh Johor.

Beliau kemudiannya diterima semula berkerja dengan JKR Johor dengan jawatan Pembantu Teknik Tingkatan Biasa di atas sokongan Dato' Cheah Thean Sun sebagai Pengarah JKR Johor pada ketika itu. Dato' Cheah mengatakan bahawa Mohamed merupakan seorang yang berpengalaman luas dan kerjanya sehingga ke hari ini adalah amat memuaskan. Selepas diambil berkerja semula, Mohamed ditugaskan untuk menjalankan beberapa perkara termasuk menyemak dan menjawab semua surat masuk, mengambil tindakan bagi projek-projek persekutuan, memeriksa pelan dan lukisan projek, serta membuat lawatan ke daerah bagi memeriksa tapak-tapak bangunan yang akan dibina dan yang sedang dibina.

Pada pertengahan tahun 1970-an, kerajaan Johor menawarkan Mohamed pekerjaan kontrak kerana pekerjaannya yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan. Sepanjang kerjayanya, Mohamed dipuji sebagai seorang yang rajin dan sentiasa kreatif dalam menghasilkan kerja-kerjanya. Ketika ditemui pihak Persatuan Sejarah Malaysia, rakan sekerjanya Encik Shukri bin Abdul Kadir mengatakan bahawa beliau merupakan seorang yang disegani dalam kalangan rakan-rakan sepejabat. Shukri mengakui bahawa Mohamed ialah seorang pereka cipta yang berkaliber, menghasilkan pelbagai lakaran termasuk seni bina, potret, logo dan bendera. Malah, Mohamed juga merekabentuk logo untuk syarikat-syarikat termasuk jenama ikonik seperti kicap HABHAL (Haji Ahmad bin Haji Abdul Latif).

Mohamed telah bersara semula pada 1 Julai 1980 pada usia 62 tahun. Walaupun begitu, beliau masih diambil bertugas oleh sebuah syarikat perabot di Johor Bahru sebagai seorang pereka cipta perabot seperti kerusi, meja, gerobok, kabinet dan sebagainya.

Perang Dunia Kedua

Mohamed Bin Hamzah: Kehidupan awal, Pendidikan, Kerjaya 
Mohamed ketika bertugas di Kota Tinggi, Johor, semasa Perang Dunia Kedua.

Memandangkan dasar Kerajaan Johor menetapkan bahawa semua kakitangan lelaki kerajaan dikehendaki untuk menyertai pasukan tentera kerajaan, Mohamed telah menyertai Askar Sukarelawan Johor pada tahun 1939. Mohamed ditugaskan dalam Pasukan Machine Gun Coy.

Apabila Perang Dunia Kedua bermula dan tentera Jepun hendak menyerang Tanah Melayu, Mohamed ditugaskan untuk mengawal kawasan-kawasan luar bandar bersama tentera dari Australia. Antara tempat-tempat yang dikawal beliau termasuklah Kota Tinggi dan kawasan-kawasan pinggir Johor Bahru.

Mohamed dipuji kerana khidmatnya yang cemerlang dalam Askar Sukarelawan Johor, dan setelah Perang Dunia Kedua tamat, beliau dianugerahkan empat bintang Pingat Pertahanan Perang Dunia Kedua oleh kerajaan United Kingdom kerana jasanya dalam perang menentang tentera Jepun.

Sumbangan terhadap kerajaan negeri Johor

Menyedari bakat dan kebolehan Mohamed, beliau sering diupah oleh Sultan Johor untuk mereka cipta pelbagai grafik bagi kegunaan kerabat diraja dan kerajaan negeri Johor. Sejak zaman pemerintahan Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah, beliau sering dipanggil untuk melukis logo atau lambang diraja, bangunan-bangunan dan sebagainya.

Mohamed Bin Hamzah: Kehidupan awal, Pendidikan, Kerjaya 
Mohamed bergambar di bawah Pintu Gerbang Mahkota rekaan beliau di Kompleks Kastam, Tambak Johor.

Pada tahun 1960, Mohamed diupah oleh Sultan Sir Ismail ibni Almarhum Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur untuk mereka bentuk kad jemputan kerajaan bagi kemahkotaan Baginda pada 10 Februari 1960. Beliau juga ditugaskan untuk melakar peta laluan bagi Grand Prix Kemahkotaan Johor, mereka cipta Pintu Gerbang Mahkota di Pantai Lido, serta banyak tanda dan hiasan kerajaan lain untuk kemahkotaan Sultan Ismail. Kebanyakan hiasan-hiasan sekitar bandar Johor Bahru ketika itu adalah hasil idea dan reka cipta Mohamed. Sumbangan beliau dalam sambutan Kemahkotaan Sultan Ismail telah dirakam dalam gambar-gambar yang masih disimpan keluarganya sehingga kini.

Minat dan bakat beliau dalam bidang seni lukis juga telah menarik perhatian kerabat diraja Johor. Mohamed telah melukis beberapa potret termasyhur, termasuk potret Tengku Aris Bendahara Johor, Yang Amat Mulia Tengku Abu Bakar Ibni Sultan Ibrahim. Beliau juga telah mereka bentuk jata negeri Johor yang digunakan sehingga kini, dan lambang-lambang kerabat diraja Johor. Selain itu, beliau juga telah diupah melukis potret pegawai tentera British termasuk Corporal Banes, sebelum terbentuk lagi Persekutuan Tanah Melayu.

Di samping itu, Mohamed juga telah dititahkan kedua-dua Sultan Ibrahim dan Sultan Ismail untuk mereka bentuk bintang kebesaran seperti bintang kebesaran sempena ulang tahun pemerintahan Sultan Ibrahim ke-60 yang dikurniakan sekali sahaja kepada orang-orang yang telah berjasa dan memberi sumbangan kepada negeri Johor sepanjang pemerintahan Baginda. Beliau juga telah mereka bentuk Bidang Darjah Ibrahim Kelas Pertama, Kedua dan Ketiga. Kebanyakan daripada lakaran logo, seni bina dan potret Mohamed adalah di bawah simpanan Arkib Negara Johor.

Mohamed mempunyai hubungan rapat dengan istana Johor. Kerana sifat Mohamed yang terpuji dalam disiplin dan perkerjaan, beliau sering dilantik menganggotai Jawatankuasa Protokol dan Jawatankuasa Perhiasan dan Keceriaan Majlis Di-Raja, antaranya Majlis Ulang Tahun Keputeraan Sultan, Istiadat Kemahkotaan, Majlis Perkahwinan Di-Raja, Majlis Tahlil Di-Raja, Majlis Anugerah Kebesaran dan Majlis Jamuan Di-Raja. beliau ditugaskan untuk menentukan tempat duduk jemputan khas dan tetamu kehormat lain, melukis pelan pentas atau Astaka Di-Raja dan memastikannya dibina dan dihias dengan indah.

Mereka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu

Mohamed Bin Hamzah: Kehidupan awal, Pendidikan, Kerjaya 
Reka bentuk bendera asal yang dibuat Mohamed untuk Persekutuan Tanah Melayu.
Mohamed Bin Hamzah: Kehidupan awal, Pendidikan, Kerjaya 
Reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu setelah dipinda.

Ketika Persekutuan Tanah Melayu menggantikan Malayan Union, kerajaan persekutuan melalui Majlis Perundangan Persekutuan membuat satu pertandingan untuk mereka bentuk bendera baharu pada tahun 1949, lapan tahun sebelum pembentukan negara itu. Majlis itu menerima 373 penyertaan, dengan hanya tiga yang diterima dan satu daripadanya merupakan ciptaan Mohamed, yang terdiri daripada latar berjalur biru dan putih, dengan kanton merah yang mengandungi bulan sabit dan bintang pecah lima berwarna putih, yang merupakan kacukan antara bendera negeri Johor dan bendera Kerajaan Majapahit.

Menurut adik bongsu Mohamed, Abu Bakar Hamzah, Mohamed yang berusia 29 tahun ketika itu berputus untuk menyertai pertandingan ini setelah melihat pengumumannya, dan sangat gembira dapat menjadi sebahagian daripada pertandingan ini kerana sifat patriotik dan cintakan negara. Setelah mereka bentuk bendera dalam masa dua minggu, beliau menghantar empat penyertaan, dengan hanya satu dari mereka yang masuk ke dalam senarai tiga finalis yang dipilih oleh kerajaan persekutuan. Majlis Perundangan Persekutuan kemudiannya menyerah pada orang awam untuk memilih daripada tiga reka bentuk tersebut, apabila sebuah akhbar The Malay Mail mengadakan satu undian umum mengenai perkara itu. Hasilnya kemudian diterbitkan pada 28 November 1949, di mana majoriti pengundi memilih reka bentuk yang dicipta Mohamed.

Menteri Besar Johor ketika itu, Dato' Onn Jaafar kemudiannya mengunjungi Mohamed di rumahnya di Jalan Ungku Puan, Johor Bahru untuk berbincang dengannya mengenai reka bentuk bendera. Onn mencadangkan beberapa perubahan, termasuk menukar warna biru dan merah (ke jalur merah dan putih dengan kanton biru), serta menambahkan 6 lagi mata ke bintang 5 di bendera dengan jumlah 11 mata, memandangkan negara pada ketika itu sedang memerangi gerakan komunis, dan bintang pecah lima itu mempunyai kemiripan terhadap simbol komunis. Satu lagi pindaan adalah atas titah cadangan Sultan Badlishah ibni al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah pada ketika itu, yang mencadangkan agar warna putih bulan dan bintang itu diubah menjadi kuning iaitu warna diraja, untuk melambangkan Raja-raja Melayu. Setelah beliau bersetuju dengan pindaan reka bentuk itu, satu reka bentuk muktamad diserahkan kepada Majlis Raja-Raja yang ketika satu persidangan pada 22 dan 23 Februari 1950, memperkenan reka bentuk tersebut. Bendera itu kemudian dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Selangor pada 16 Mei 1950.

Pada tahun 1963 ketika Persekutuan Tanah Melayu berubah menjadi Persekutuan Malaysia, reka bentuk bendera tersebut telah dipinda untuk menambah tiga jalur pada latar dan mata pada bintang, menandakan tiga negeri baru yang bergabung dengan persekutuan tersebut iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura. Selepas Singapura keluar dari Malaysia, garis dan mata keempat belas itu diubah untuk melambangkan kerajaan persekutuan, dan kemudiannya melambangkan Wilayah-wilayah Persekutuan.

Pencarian pencipta Bendera Persekutuan Tanah Melayu

Selepas Mohamed mencipta Bendera Persekutuan Tanah Melayu, beliau memberitahu adiknya Abu Bakar untuk merahsiakan kisah bahawa beliaulah merupakan insan yang bertanggungjawab dalam mereka bentuk bendera negara.

Namun, walaupun kisah ini tidak diceritakan oleh keluarganya, perkara ini masih diceritakan di luar pengetahuan Mohamed. Yang di-Pertua Dewan Perniagaan Melayu Pahang, Sayed Ali bin Sayed Mohsin pernah menceritakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Dato' Onn Jaafar pada tahun 1955 mengenai siapakah pereka cipta Bendera Malaysia ketika mereka bertemu di Kuala Terengganu semasa Dato' Onn bertanding bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu Selatan di bawah Parti Negara semasa Pilihan Raya Umum Pertama Tanah Melayu. Maka Dato' Onn menceritakan kisah tersebut kepada umum buat kali pertamanya ketika berceramah semasa majlis kempen beliau itu.

Disebabkan itu, hal ini diketahui oleh sesetengah pihak, dan fakta itu disertakan sekali dalam buku teks mata pelajaran Sejarah Tingkatan 5 tahun 1993 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan buku Bendera, Lambang dan Lagu Kebangsaan Negeri-Negeri terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, yang mencatat nama Mohamed bin Hamzah sebagai pereka cipta Bendera Malaysia. Walau bagaimanapun, hal itu tidak pernah dapat dibuktikan selain daripada kata-kata Dato' Onn. Hal ini adalah kerana semasa pemilihan bendera Persekutuan Tanah Melayu, pihak Jawatankuasa Khas tidak pernah mencatatkan nama pereka bentuk bendera tersebut. Maka ramai individu telah mengambil kesempatan untuk mengaku diri atau mengaku orang lain sebagai pereka bentuk Bendera Malaysia. Oleh kerana itu, Abu Bakar telah berputus untuk mendedahkan rahsia kisah penciptaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu oleh abangnya selepas beliau meninggal dunia.

Oleh itu, akhbar Harian Metro turut mengadakan satu siri liputan khas bertajuk "Menjejak Pencipta Bendera Malaysia" bermula 29 Ogos 2004 sempena sambutan Hari Hebangsaan ke-47. Liputan yang melibatkan seramai 12 wartawan itu bertujuan menjejaki dan mencari kebenaran di sebalik persoalan tersebut. Hal itu telah mendorong kepada pihak Arkib Negara Malaysia untuk membuat penyelidikan bagi mencari siapakah pencipta sebenar Bendera Malaysia. Mereka mendapati bahawa dalam kumpulan rekod Federal Secretariat, 402 pt 2/48 bertajuk 'Suggested Design for flag FMS' (Reka Bentuk Dicadang untuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu) lampiran 14, wujud satu surat iringan yang ditulis dan ditandatangani oleh Mohamed bin Hamzah. Dalam surat tersebut, Mohamed memaklumkan bahawa beliau telah mengemukakan empat lakaran reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu untuk dipertandingkan dalam pertandingan bendera tersebut. Walau bagaimanapun, lakaran yang dinyatakan tidak ada bersama fail tersebut.

Disebabkan itu, Jabatan Kerja Raya negeri Johor telah memberikan kerjasama untuk mencari lakaran asal yang tersimpan dalam kabinet lukisan pelan yang dihasilkan antara tahun 1940 dan 1960. Sepasukan sukarelawan JKR Johor dianggotai sepuluh orang kakitangan dan bekas kakitangan yang pernah bertugas bersama Mohamed telah mencari semula lakaran tersebut daripada lima ribu lakaran yang tersimpan dalam Stor Kejuruteraan Negeri Johor, Kebun Teh, Johor Bahru. Salah seorang bekas pegawai JKR yang pernah bertugas bersama Mohamed, Encik Shukri bin Abd. Kadir dan seorang pembantu stor JKR, Encik Khamidi Awi telah menjumpai satu salinan lakaran bendera yang dicipta oleh Mohamed Hamzah yang dihasilkan di atas kertas kalis air berukuran A4. Lakaran tersebut merupakan lakaran pindaan bintang pecah lima kepada bintang pecah sebelas seperti yang dicadangkan Dato' Onn Jaafar.

Setelah kajian dijalankan oleh Arkib Negara, mereka mendapati bahawa tandatangan pada lakaran itu adalah sama dengan tandatangan Hamzah pada surat iringan yang mereka telah jumpa sebelum itu, dan Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah mengumumkan bahawa hal tersebut telah berjaya disahkan Arkib Negara Malaysia.

Kehidupan peribadi

Mohamed Bin Hamzah: Kehidupan awal, Pendidikan, Kerjaya 
Mohamed bersama isteri terakhirnya, Robangi binti Daud, bergambar di hadapan bendera Persekutuan Tanah Melayu rekaan Mohamed.

Setelah menamatkan persekolahan beliau dan berkerja di JKR Johor, Mohamed mendiami rumah kerajaan di Jalan Kolam Air, berdekatan dengan Maktad Sultan Abu Bakar di mana beliau pernah menuntut pendidikan. Sepanjang hidupnya, Mohamed amat minat dalam bidang seni lukis, termasuklah logo dan kebenderaan.

Mohamed sering melukis pemandangan di sekitarnya dan dari imaginasi sendiri, dan menyimpannya bersama semua lukisan dan lakarannya.

Selain itu, beliau juga mempunyai hobi-hobi lain seperti mengumpul sampul surat hari pertama, setem, serta fotografi. Sepanjang hidup Mohamed, beliau sering mengambil gambar-gambar pemandangan Johor Bahru pada waktu siang dan malam, termasuk gambar-gambar Pintu Gerbang Mahkota yang direka beliau. Beliau juga banyak mengambil gambar-gambar ketika majlis rasmi istana dan kerajaan.

Mohamed juga amat minat dalam bidang seni muzik. Beliau telah menyertai satu kumpulan muzik ghazal bernama Ghazal Kampung Mohd. Amin, Johor Bahru. Mohamed juga suka menanam pelbagai pokok buah-buahan dan bunga serta membela ayam di rumahnya.

Selepas Mohamed bersara, beliau berpindah ke Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. Sejak itu, beliau telah meluangkan masanya membuat pelbagai kerja kebajikan di kampung itu. Beliau telah menyertai jemaah Surau Darul Salam, Kampung Melayu Majidee, serta aktif menyertai sebuah kumpulan Yaasin.

Beliau juga selalu dipanggil mengubati orang yang diserang hysteria, seperti di Sekolah Menengan Agama Al Quran Waddin, Jalan Padang 3, Stulang Baru di mana pelajar-pelajarnya ramai diserang hysteria secara serentak. Mohamed juga terkenal di kampung tersebut sebagai seorang yang berkebolehan melakukan perubatan tradisional, dan sering dijemput untuk mengubati penghidap penyakit angin ahmar.

Keluarga

Pada tahun 1942, Mohamed berkahwin dengan Kamariah bte Alias dan mendapat satu-satunya anaknya bernama Mariam binti Mohamed. Beliau turut mengahwini tiga lagi isteri bernama Nong Hashim, Rohaya dan isteri terakhir dan paling lama beliau iaitu Robangi binti Daud atau nama panggilan sayang Mohamed, Teh atau Puteh. Beliau berkahwin dengan Robangi pada tahun 1948. Walaupun beliau tidak dikurnia cahaya mata sepanjang perkahwinan bersama tiga isteri terakhirnya, Mohamed mengambil lima orang anak sebagai anak angkat. Mohamed terkenal memelihara dan membesarkan anak-anak angkat beliau ibarat anak kandungnya.

Beliau juga terpuji kerana menjadi contoh teladan kepada keenam-enam anaknya dengan mengajar dan menunjukkan disiplin, menetapkan sifat penyayang, penyabar, rajin, bertanggungjawab serta ketelitian dalam bertugas. Mohamed telah membahagikan harta pusakanya untuk diwarisi anak-anak angkatnya sepuluh tahun sebelum beliau meninggal dunia.

Mohamed juga amat prihatin dan menjaga ibu dan ibu-ibu mentuanya. Pada tahun 1970, beliau telah berpeluang melaksanakan ibadat haji buat pertama kali dan membawa sekali ibu-ibu mertua dan ibu saudaranya. Pada tahun 1972 pula, beliau telah membawa anak angkatnya Khadijah bte Yaacob dan isterinya Robangi binti Daud untuk menunaikan ibadat haji buat kali kedua. Mohamed sekali lagi berpeluang untuk menunaikan haji buat kali ketiga pada tahun 1979.

Kematian

Pada 19 Februari 1993, Mohamed meninggal dunia di Kuala Lumpur, Malaysia pada usia 74 tahun, akibat penyakit asma. Jenazah beliau kemudiannya dibawa ke Johor untuk disemadikan di Tanah Perkubuhan Kebun Teh, Johor Bahru.

Darjah kebesaran

Darjah kebesaran Malaysia

Mohamed Bin Hamzah: Kehidupan awal, Pendidikan, Kerjaya 
Mohamed dikurniakan anugerah Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua daripada Sultan Johor, Sultan Ismail.

Darjah kebesaran luar negara

Lihat juga

Rujukan

Tags:

Mohamed Bin Hamzah Kehidupan awalMohamed Bin Hamzah PendidikanMohamed Bin Hamzah KerjayaMohamed Bin Hamzah Mereka bentuk Bendera Persekutuan Tanah MelayuMohamed Bin Hamzah Kehidupan peribadiMohamed Bin Hamzah Darjah kebesaranMohamed Bin Hamzah Lihat jugaMohamed Bin Hamzah RujukanMohamed Bin Hamzah

🔥 Trending searches on Wiki Bahasa Melayu:

Naszriah NgasriNasrizal NgasriNina JurenSalasilah keturunan Nabi MuhammadHadas besarSlot AkasiaPuncak AlamVAT 69/UTKUniversiti MalayaHari Raya AidiladhaBank RHBLaman UtamaFarah AhmadLembaga Hasil Dalam Negeri MalaysiaHubungan seksMalek MccroneLebuhraya Pantai BaratTakdir Itu Milik Aku12 Dewa OlympusSekolah Kluster KecemerlanganJepunBola sepakAisha RetnoEropahNegeri-negeri Melayu BersekutuSalomaOrang BanjarJabatan Kastam Diraja MalaysiaRujukan kehormatFrekuensi radio di Negeri SembilanBajauBahasa ArabJean Retno AryaniKetua Polis Negara MalaysiaBandaraya MelakaProton Holdings BerhadKerajaan Persekutuan MalaysiaAzizulhasni AwangTV9Teknologi hijauFadhli MasootMira FilzahBangladeshSurah Al-InsyirahMelakaPerceraian dalam IslamFilipinaRaja EmaPerang BadarTentera Darat MalaysiaJambatan Angkat Kuala TerengganuAwieOrang Cina MalaysiaSongketSarawakJoe FlizzowSultan Mizan Zainal AbidinZaman air batuTenaga Nasional BerhadNegarakuSultanah Nur ZahirahTunku Abu BakarTok Janggut1AssalamualaikumPutrajayaPertubuhan Bangsa-Bangsa BersatuJenis darahPenjodoh bilangan bahasa MelayuBandar TaipingLemangBaju kurungMakkahIslam di IranMahathir MohamadFadlan HazimPerjanjian Inggeris-Belanda 1824Nabi Nuh a.s.🡆 More