Penyanyi Ella: Penyanyi, pelakon, pemuzik dan ahli perniagaan Malaysia

Nor Zila Haji Aminuddin atau lebih dikenali dengan Ella (lahir 31 Julai 1966) ialah seorang penyanyi, pemuzik dan pelakon wanita Malaysia.

Dilahirkan di Gelugor, Pulau Pinang, kerjayanya bermula pada 1983 sewaktu berusia 17 tahun dengan menyertai kumpulan Moonracker sebelum meninggalkan kumpulan itu dan bergiat aktif sebagai penyanyi di kelab malam. Selepas berjaya mencipta nama sebagai penyanyi kelab malam, bakatnya dikesan oleh sebuah kumpulan rock, The Boys yang akhirnya dikenali sebagai Ella & The Boys yang mana mereka terkenal menerusi lagu "Dua Insan Bercinta".

Ella
Penyanyi Ella: Kehidupan awal, Kerjaya, Bakat
Ella ditemuramah dalam MeleTOP pada 2016.
Kelahiran
Nor Zila binti Aminuddin

(1966-07-31) 31 Julai 1966 (umur 57)
PendidikanSijil Pelajaran Malaysia (SPM)
PekerjaanPenyanyi, pelakon, pemuzik, model, usahawan
Tahun aktif1985–kini
PangkatRatu Rock Malaysia
PasanganAzhar Husaini Ghazali (k. 2012)
Anak-anakShanome Az Zahra (anak angkat)
Ibu bapa
  • Aminuddin Manap (bapa)
  • Yang Asmah Long (ibu)
SaudaraKaka Azraff (anak saudara)
Keluarga
  • Mohd. Nor Izam Aminuddin (abang)
  • Nor Azraff Aminuddin (abang)
  • Saidatulnisa Aminuddin (kakak)
  • Rozita Aminuddin (kakak)
  • Shahrizan Aminuddin (kakak)
  • Azahari Aminuddin (adik)
Kerjaya muzik
GenreRock, hard rock, pop rock, rock kapak
InstrumenVokal
Syarikat rakaman
WEA (kini Warner Music Malaysia)
EMI Music Malaysia
Pengkarya berkait
Ella & The Boys, Spider
Laman web rasmiwww.ella.com.my
Tandatangan
Penyanyi Ella: Kehidupan awal, Kerjaya, Bakat

Selepas meninggalkan Ella & The Boys pada 1987, Ella kemudian mencipta nama sebagai penyanyi solo dan menandatangani kontrak rakaman bersama Warner Music Malaysia dan merakamkan album solo pertamanya, Pengemis Cinta (1989) yang berjaya mencapai jualan melebihi 100,000 unit. Lagu-lagu seperti "Pengemis Cinta" dan "Permata Biru" dikeluarkan sebagai single utama. Sejak itu, Ella merakamkan beberapa lagi album yang menjadi kejayaan komersial seperti Puteri Kota (1990), 30110 (1992) dan Ella USA (1994). Beliau turut berjinak-jinak dalam bidang lakonan dengan membintangi filem Bayangan Maut (1991), Pemburu Bayang (1993) dan Hanya Kawan (1997). Beliau juga pernah menjadi duta untuk beberapa jenama terkenal seperti L.A. Gear, Levi's, dan Canon.

Antara pencapaian peribadi dalam kerjaya beliau ialah menjadi artis Malaysia pertama yang merakamkan album video, menjadi artis tempatan pertama yang merakamkan album penuh di Amerika Syarikat dan tercatat dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai "Artis Wanita Pertama Yang Mempunyai Penjualan Album Terbanyak". Beliau juga ialah satu-satunya artis Malaysia yang dipilih menyanyikan lagu tema Sukan Komanwel (SUKOM). Dikenali oleh media sebagai Ratu Rock Malaysia, beliau merupakan satu-satunya penyanyi wanita Malaysia yang berjaya menguasai muzik rock. Selain itu, Ella juga ialah antara artis yang menerima bayaran tertinggi dan termahal bagi suatu undangan nyanyian.

Kehidupan awal

Beliau dilahirkan pada 31 Julai 1966 di Gelugor, Pulau Pinang dan telah dibesarkan di Klang, Selangor. Beliau ialah anak keenam daripada tujuh adik-beradik kepada pasangan Aminuddin Manap dan Yang Asmah Long. Adik-beradiknya ialah dua abangnya, Mohd Nor Izam dan Nor Azraff, tiga kakaknya, Saidatulnisa, Rozita (Jojie) dan Shahrizan serta seorang adik, Azahari (Korie). Pada zaman persekolahannya, beliau sering diundang menyanyi dan membuat persembahan pada setiap majlis yang diadakan di sekolahnya. Ella telah menamatkan pengajiannya sehingga tingkatan lima di SM Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Sebelum beliau menceburi bidang seni, beliau banyak membuat persembahan di kelab malam dan lounge yang terdapat di sekitar Lembah Klang. Setelah mengadakan persembahan di beberapa kelab tersebut, Ella telah dilamar oleh salah satu kumpulan iaitu kumpulan The Boys yang juga merupakan penyanyi kelab malam. Setelah berbincang, akhirnya Ella bersetuju untuk bergabung dengan kumpulan mereka dan diberi nama Ella & The Boys.

Kerjaya

1983–1985: Kerjaya awal

Ella bukanlah seorang yang berjaya dalam bidang akademik sewaktu di zaman persekolahannya. Beliau juga mengakui bahawa beliau gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1983. Namun, beliau tekad mengambil peperiksaan sekali lagi dan masih lagi gagal mendapat keputusan yang memuaskan. Tetapi semua itu bukan halangannya untuk terus berjaya dalam hidupnya. Sebaik saja selepas beliau menduduki peperiksaan SPM 1983, beliau menyertai kumpulan Moonracker. Namun, ia hanya bertahan selama dua tahun sahaja. Ella tetap meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian dengan mengadakan persembahan di hampir semua lounge dan kelab malam di seluruh Lembah Klang. Setelah mengadakan persembahan di serata tempat, beliau akhirnya telah menemui kumpulan The Boys. Ketua kumpulan itu, Lokman Idris (Lord) telah tertarik dengan suara dan gaya persembahan Ella. Beliau telah bercadang dengan Ella untuk mengambilnya sebagai vokalis utama The Boys. Setelah mereka berbincang, Ella akhirnya menerima lamaran Lord dan terciptalah kumpulan Ella & The Boys.

1985–1988: Zaman kegemilangan Ella & The Boys

Tahun 1985 ialah bermulanya era kegemilangan Ella & The Boys apabila berjaya mencipta populariti dalam masa yang singkat sekaligus berjaya meletakkan nama kumpulan ini setaraf dengan Search, Lefthanded, Sofea dan Rusty Blade. Nama Ella telah mula meniti di bibir peminat di Malaysia dan menjadikan beliau penyanyi rock wanita terunggul ketika itu walaupun ada nama-nama penyanyi wanita baharu yang muncul. Pada tahun 1987, beliau telah diberi gelaran Ratu Rock Malaysia oleh para wartawan dan juga peminat oleh kerana beliau merupakan satu-satunya penyanyi wanita Malaysia yang berjaya menguasai muzik rock ketika itu. Tahun demi tahun, Ella & The Boys terus unggul di persada muzik rock tanah air.

Pelbagai undangan diterima di seluruh tempat dan juga beberapa konsert yang telah diambil alih oleh Ella & The Boys sehinggalah kelab malam yang sentiasa menjadi tempat mereka mengadakan persembahan telah hangus terbakar. Punca terbakarnya kelab malam tersebut adalah disebabkan oleh sikap iri hati seseorang terhadap kejayaan yang dikecapi oleh mereka. Namun, mereka tetap tabah sehinggalah Ella telah mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan The Boys dan bergerak solo pada 1988. Pada mulanya, sedikit pertelingkahan terjadi apabila menyuarakan hasratnya itu kepada anggota kumpulan The Boys yang lain. Akhirnya Lord telah bersetuju untuk membenarkan Ella bergerak secara solo dalam persada muzik tanah air. Meskipun Ella tidak lagi bersama The Boys, tetapi Lord dan ahli anggota yang lain tetap terus bekerjasama dengan Ella tanpa sebarang kontroversi, buktinya album pertamanya juga terdapat beberapa lagu hasil sumbangan The Boys. Pada tahun 1988, Ella telah menandatangani kontrak rakaman bersama Warner Elektra Atlantic (kini Warner Music Malaysia) dan telah merakamkan album solo pertamanya, Pengemis Cinta yang diterbitkan oleh Ramli Sarip. Album tersebut menjadi kejayaan komersial telah berjaya mencapai jualan melebihi 100,000 unit sekaligus menerima Platinum Kembar.

1989–1993: Bintang mula bersinar

Nama Ella mula bersinar dan setiap album yang dihasilkan pasti berjaya menjadi sebuah album yang laris di pasaran. Pada tahun 1989, beliau telah bekerjasama dengan beberapa artis dalam menjayakan sesebuah konsert. Antara konsert yang telah dijayakan oleh Ella ialah Konsert Kotaraya, Konsert Seni Dan Suara dan Konsert Rock Salem. Pada tahun 1990, Ella telah menghasilkan album solo keduanya, Puteri Kota dengan dua lagu dalam album ini, "Tiada Tangis Lagi" dan "Puteri Kota" dikeluarkan sebagai single utama. Kedua-dua lagu ini telah dijadikan lagu yang dipilih untuk dinyanyikan Ella menerusi filem pertama lakonannya, Bayangan Maut (1991) arahan Yusof Haslam. Pada tahun yang sama, Ella juga telah menghasilkan album ketiganya iaitu Identiti. Lagu "Sepi Sekuntum Mawar Merah" merupakan single paling popular daripada album tersebut dan sekaligus telah melonjakkan nama Ella sebagai penyanyi wanita rock paling popular.

Ella juga telah berjaya menyertai pertandingan Anugerah Juara Lagu 1991 dan berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan tersebut menerusi lagu "Sepi Sekuntum Mawar Merah". Beliau kemudian merakamkan album video pertamanya, Ella Mood yang dikeluarkan oleh Maktosa Sepakat dan Premiere Audio Visual. Ini menjadikan beliau sebagai artis tempatan pertama yang merakamkan album video.

Ella bukan sahaja berjaya mencipta populariti di Malaysia, malah namanya juga telah berjaya menembusi industri muzik di Indonesia apabila album duet beliau bersama penyanyi terkenal Indonesia, Deddy Dores, Mendung Tak Bererti Hujan telah berjaya terjual sebanyak 10,0000 unit di Indonesia. Keunikan yang ada pada suara dan bakat yang dimiliki Ella telah menarik perhatian peminat di Indonesia. Pada tahun 1992, Ella meninggalkan Warner Music Malaysia dan mengikat kontrak bersama EMI Music Malaysia, seterusnya menghasilkan album keempatnya yang berjudul Ella 30110. Album ini ialah antara album Ella paling berjaya yang pernah diterbitkan kerana ia telah berjaya mencipta sejarah sebagai album pertama yang mencapai jualan tertinggi dalam masa yang singkat, sekaligus royaltinya mencapai setengah juta. Hampir kesemua lagu dalam album tersebut termasuk "Layar Impian" telah berjaya menjadi single popular dan sedikit sebanyak telah memberikan impak yang besar terhadap kerjaya Ella sepanjang bergelar anak seni. Muzik video untuk "Layar Impian" juga telah disiarkan di MTV.

Sebagai penghargaan dan hadiah bagi peminatnya yang telah memberi sokongan terhadap albumnya itu, Ella telah mengadakan konsert solo pertamanya iaitu Konsert Ella 30110 di Stadium Negara, Bukit Jalil. Konsert tersebut telah berjaya meninggalkan impak besar apabila berjaya menarik seramai 10,000 peminat yang hadir bagi memberi sokongan terhadap Ella. Ia sekaligus meletakkan beliau sebagai penyanyi wanita terlaris pada tahun tersebut. Ella juga berjaya menggondol anugerah Artis Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1993 berdasarkan kejayaan album tersebut. Pada 2 Mei 1993, beliau mengadakan konsert solonya di Tokyo, Jepun yang dihadiri seramai 2,000 penonton. Pada 24 September 1993, beliau kembali membuat persembahan di Singapura setelah lima tahun tidak menemui peminatnya di sana sekaligus menjadi artis pertama Malaysia mengadakan konsert secara solo di Stadium Tertutup Singapura.

1994–1995: Zaman kegemilangan

Tahun 1994 ialah tahun yang paling bermakna dalam kerjaya Ella selepas hampir sedekad bergelar anak seni. Pada Januari tahun itu, beliau muncul dengan album adunan semula bertajuk Ella 100% Remix. Album ini dikeluarkan selepas sambutan baik peminat terhadap album Unggul yang memuatkan dua lagu adunan semula iaitu "Kesal" dan "Mendung Tak Bererti Hujan". Tahun itu juga merupakan kemuncak dalam kerjaya seni Ella apabila beliau telah berjaya merakamkan album kelimanya, Ella USA yang dirakamkan sepenuhnya di Amerika Syarikat. Ia sekaligus telah menjadikan Ella sebagai penyanyi Malaysia pertama yang berjaya merakamkan album penuh di Amerika Syarikat. Pelbagai ujian dan cabaran yang dihadapinya sepanjang menjalankan proses rakaman di Amerika Syarikat tetapi segala-galanya dapat diatasi dengan semangat dan jiwa kentalnya. Selepas sebulan Ella berada di sana, akhirnya beliau berjaya pulang ke tanah air dengan membawa hasil yang membanggakan.

Dilancarkan pada 5 Februari 1994, album Ella USA telah berjaya menduduki tempat pertama dalam Carta RIM sebagai album paling laris di pasaran. Kesemua lagu daripada album ini telah menjadi single yang popular. Album tersebut berjaya mencapai jualan melebihi 350,000 unit dengan hanya seminggu berada di pasaran sahaja (kemudian angka itu tidak lagi dikemaskini). Oleh itu, album tersebut sekaligus menjadikan Ella sebagai penyanyi wanita paling laris penjualan albumnya. Kejayaan album yang dikecapi Ella juga telah menjadikan Ella sebagai penyanyi muda yang berstatus jutawan dan juga merupakan penyanyi paling kaya bagi tahun 1994. Pada masa yang sama, Ella juga merupakan Duta kepada Badan Kebajikan Yayasan Kebajikan Negara, kemudian mengadakan Konsert Ella USA Jelajah Malaysia yang bertujuan untuk mengumpul dana yang akan disalurkan ke badan kebajikan tersebut. Pada tahun 1995, beliau kemudian mengumumkan bahawa beliau akan mengambil cuti panjang daripada kerjaya muziknya. Kemudian, Ella telah mengadakan satu lagi konsert, iaitu Konsert Ella Ten Years bagi meraikan 10 tahun penglibatan Ella dalam bidang seni suara tanah air. Menerusi konsert ini, yang berlangsung di bumbung kompleks beli-belah Sungei Wang Plaza, Ella telah berjaya menyanyi sebanyak 40 buah lagu tanpa henti. Bagaimanapun, pada Disember 1995, beliau dilaporkan akan berduet bersama penyanyi Amerika, Richard Marx untuk sebuah lagu berbahasa Inggerisnya, namun perancangan itu tidak menjadi kenyataan. Bagaimanapun, beliau menyanyikan lagu ciptaan Marx yang bertajuk "World Without Your Love".

1996–1999: Kesuraman populariti dan kebangkitan semula

Pada tahun 1996, Ella telah menghasilkan album kompilasi iaitu Demi yang mempunyai lagu-lagu daripada album terdahulu dan sebuah lagu baru bertajuk sama. Populariti Ella mula suram apabila ketika itu ramainya kehadiran artis-artis baru seperti Nurul, Siti Nurhaliza, Nora, Amy Mastura dan ramai lagi yang sedikit sebanyak telah menggugat populariti Ella. Namun, Ella terus memperjuangkan kerjaya seninya dengan penuh teguh dan tabah dalam meneruskan minatnya yang begitu mendalam terhadap dunia muzik. Pada tahun yang sama, Ella juga telah mengadakan Konsert Demi Jelajah Malaysia yang bertujuan untuk mempromosikan album Demi.

Pada tahun berikutnya, beliau telah menghasilkan album kompilasinya yang berjudul Kompilasi - Lagi Gempaq yang mempunyai sebuah lagu baru, "Jalan Ke Sisimu" yang menjadi single pada tahun itu. Tetapi populariti Ella tetap suram meskipun mempunyai single yang agak popular ketika itu. Bekerja di bawah arahan Harith Iskander, Ella berlakon bersama Hans Isaac dalam filem Hanya Kawan. Ia turut dibintangi oleh Ramona Rahman dan Azmil Mustapha serta adik-beradik Ella, Jojie dan Korie.

Populariti Ella mula menyinar kembali apabila beliau telah dipilih untuk menjadi penyanyi lagu tema Sukan Komanwel 1998 yang berjudul "Standing in the Eyes of the World" hasil nukilan Wah Idris dan David Gates dengan liriknya ditulis oleh Habsah Hassan, kerana Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah ketika itu. Ella merupakan satu-satunya artis Malaysia yang dipilih untuk menjadi penyanyi bagi lagu tema tersebut.

Pada tahun 1999, beliau muncul dengan album studio keenam, El yang mana beliau berkolaborasi dengan gitaris Guns N' Roses, Slash menerusi lagu "Bayangan". Album ini turut memuatkan sebuah lagu bertajuk "Pedih" merupakan lagu saduran daripada lagu "The Loss of A Friend" nyanyian kumpulan Michael Learns To Rock dimana lagu ini juga merupakan hasil ciptaan vokalis kumpulan rock itu sendiri, Jascha Ritcher.

Pada 14 dan 15 Mei 1999, Ella mengadakan persembahan dua malam berturut-turut bersama Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Konsert Pop Orkestra DBKL yang diadakan di Auditorium DBKL. Konsert ini menjadi kejayaan komersial sekaligus menerima pelbagai pujian.

2000–2008: Fokus kepada kerjaya muzik, Simbiosis dan Rama-Rama

Pada Januari 2000, Ella melancarkan album kompilasi terbaharu, Diva Metal. Menerusi album ini, beliau bekerjasama dengan kumpulan Manterra menerusi lagu "Bendera Damai". Beliau berkolaborasi bersama Awie menerusi lagu "Baldu Biru" yang dimuatkan dalam album kompilasi Gerenti Gempaq yang dikeluarkan pada November 2000. Ini merupakan kolaborasi kedua Ella bersama Awie sejak pertama kali bekerjasama menerusi filem Pemburu Bayang (1993).

Album ke-7 Ella, Ilham Bicara dikeluarkan pada November 2001. Antara lagu-lagu yang dikeluarkan sebagai single ialah "Ilham Bicara" dan "Retak". Ini merupakan album studio pertama beliau dalam tempoh 3 tahun sejak album El (1998).

Pada Jun 2002, beliau membuat persembahan di Sunday Nite Live yang berlangsung di Planet Hollywood. Menurut Ella, persembahan dalam konsertnya ini merupakan persembahan pertamanya di khalayak dalam tempoh 4 tahun dan disifatkannya sebagai "manja dan bersahaja".

Ella mengumumkan pada Mac 2003 bahawa beliau akan muncul dengan album terbaharunya yang dianggap istimewa sekaligus mengubat kerinduan peminatnya dengan menampilkan kredibiliti barisan komposer terkemuka tanah air, dan dijadualkan akan dilancarkan pada September. Albumnya yang ke-8, Simbiosis memperlihatkan sisi lain Ella apabila kembali dengan imej lama sekaligus melihat "simbiosis sebagai membawa dirinya untuk lebih mendekati peminat". Album ini mendapat sambutan baik di pasaran sekaligus menerima pelbagai ulasan daripada pengkritik muzik. Antara lagu yang dikeluarkan sebagai single ialah "Simbiosis", "Hanya Pada Kamu" dan "Terima Kasih". Lagu "Simbiosis" turut berjaya ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-19.

Beliau kembali beraksi di Planet Hollywood dengan membuat persembahan selama 2 hari bermula 7 dan 21 Mac 2004 bersempena dengan persembahan Sunday Nite Live. Menerusi konsert ini, beliau mendendangkan koleksi lagu-lagu beliau dari zaman The Boys sehingga album Simbiosis.

Album kompilasi ketujuhnya, Ratu Rock dikeluarkan setahun kemudian, dengan memuatkan lagu-lagu popular beliau berserta rakaman baharu. "Dunia Batinku" ialah satu-satunya lagu baharu yang dimuatkan untuk kompilasi ini sekaligus dikeluarkan sebagai single, dengan menampilkan duet bersama vokalis kumpulan Spider, Tam Mustafah. Sebuah muzik video juga telah diterbitkan bagi mempromosikan single ini. Ella turut menyumbangkan runut bunyi untuk filem Gol & Gincu yang bertajuk "Teruja" yang dimuatkan dalam album kompilasi filem ini yang diterbitkan bersama oleh EMI Music Malaysia dan Red Communications. Muzik videonya juga telah diterbitkan bagi mempromosikan single ini dan diarahkan oleh pengarah filem, James Lee.

Pada Januari 2007, Ella kembali dengan album studionya ke-9, Rama-Rama. Lagu bertajuk sama telah dikeluarkan sebagai single pertama. Beliau turut menyanyikan semula lagu "Jujur" dan "Ta'kan Melupakanmu" nyanyian asal kumpulan rock Indonesia, Radja dengan menggabungkan kedua-dua lagu ini dalam satu lagu yang bertajuk "J.T.M.". Album ini mendapat sambutan baik di pasaran, namun timbul kontroversi apabila lagu "Sekilas Cinta" yang didapati menggunakan lagu "Epitome" yang dipopularkan oleh kumpulan Butterfingers dalam album mereka yang berjudul Transcendence (1999).

Pada tahun 2008, beliau berduet bersama penyanyi, Shah menerusi lagu "Ku Merindu" yang dimuatkan dalam album Shah yang bertajuk Putih. Lagu ini berjaya mara ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik, namun menarik diri pada saat akhir.

2009–2014: Cabaran kerjaya

Pada tahun 2009, Ella melancarkan album kompilasi lagu popularnya, Ella: Greatest Hits yang mengandungi 24 lagu-lagu popular beliau. Pada 1 Mei 2010, beliau berkongsi pentas bersama Faizal Tahir dalam persembahan sempena Konsert Jelajah 2 Zaman NR2 yang bermula di Auto City, Juru, Seberang Perai, Pulau Pinang. Konsert ini dihadiri seramai 1,000 penonton dan mendapat sambutan.

Ella meraikan 25 tahun penglibatannya dalam industri muzik apabila beliau diberi peluang buat kali pertama untuk mengadakan konsert solonya di Istana Budaya (IB), pada 1 dan 2 Julai 2010. Beliau bersama-sama dengan M. Nasir, Ramli Sarip dan kumpulan Spider membuat persembahan di Konsert Untukmu Loloq yang diadakan pada 22 sehingga 24 April 2011 di Panggung Sari, Istana Budaya. Konsert ini diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa penulis lirik, Loloq yang meninggal dunia pada 2008 dengan menampilkan Hasnul Rahmat yang akan melakonkan beberapa sketsa memegang watak sebagai Loloq. Ella menyampaikan lagu bertajuk "Nuri" dalam konsert itu. Beliau berkongsi pentas bersama Awie dalam konsert Awie & Ella: Raja dan Ratu Rock Malaysia yang berlangsung pada 12 sehingga 15 Januari 2012 di Istana Budaya.

Pada 10 Jun 2012, Ella menjadi salah seorang mentor dalam rancangan Mentor musim keenam dengan membimbing pesertanya, Puteri Caroline sekaligus memenangi pertandingan itu. Kemudian, beliau diberi penghormatan menyampaikan lagu tema Tahun Melawat Malaysia 2014 yang berjudul "Celebration" di konsert pelancaran TMM 2014 di pekarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Januari 2013. Ditanya mengenai pemilihannya menyanyikan lagu tema TMM 2014, Ella berkata: "Saya sangat gembira apabila diberi penghormatan menyanyikan lagu tema Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dan sebagai warganegara, saya amat teruja menjadi rakyat negara ini yang sentiasa aman dan damai,".

Beliau bersama-sama dengan gitaris tersohor Man Kidal dan Mus, vokalis kumpulan May diberi penghormatan membuat persembahan rock pertama, MPO Rocks di bawah pimpinan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang berlangsung pada 21 September 2013 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sempena Festival Seni DFP di bawah iringan Ramli M. S.. Antara lagu-lagu yang dipersembahkannya ialah "Dua Insan Bercinta", "Layar Impian" dan "Standing in the Eyes of the World". Pada pertengahan 2014, beliau merakamkan lagu Raya sulungnya yang bertajuk "Raya Ini Ada Dia" hasil nukilan oleh M. Nasir.

2015–kini: "Istimewah", Peace.Love.Rindu dan kejayaan berterusan

Pada 30 April 2015, Ella melancarkan single terbaharunya, "Istimewah" hasil nukilan oleh vokalis kumpulan Bunkface, Sam Baharom. Tajuk lagu ini ialah kata lakur dari perkataan Istimewa dan Mewah. Muzik videonya juga telah diterbitkan dan menjalani penggambaran di London. Bagi mempromosikan single ini, Ella telah mengadakan persembahan secara akustik di London bersama peminat-peminatnya di sana.

Pada 16 April 2016, Ella mengadakan persembahan solonya di Konsert ELLA 2016 di Stadium Malawati, Shah Alam. Untuk konsertnya ini, yang disifatkan sebagai konsertnya yang terbesar, beliau memilih anti dadah sebagai tema dan turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan menyampaikan gabungan lagu-lagu hitsnya sepanjang perjalanan seni beliau yang hampir berusia 30 tahun. Konsert ini berjaya menghimpunkan hampir 8,000 peminatnya yang datang dari seluruh negara dan turut dihadiri oleh rakan artis seperti Fasha Sandha, Erra Fazira, Jihan Muse dan Farahdhiya.

Beliau kembali dengan album kesepuluh yang bertajuk Peace.Love.Rindu yang merupakan album pertamanya dalam tempoh 10 tahun sejak album Rama-Rama (2007). Dikeluarkan pada 25 September 2017. Lagu yang bertajuk sama, ciptaan Lord dari Ella & The Boys juga dikeluarkan sebagai single dan ditujukan kepada suaminya, Azhar Ghazali. Menurut Ella: "Dari segi proses pembikinan saja, kami mengambil masa selama dua tahun kerana mahu mencari lagu yang bukan saja sesuai dengan kemampuan Ella dan cita rasa masa kini, tetapi perlu juga selari dengan imej terkini,". Bagi mempromosikan album ini, Ella mengadakan jelajah yang melibatkan 7 lokasi di Malaysia bermula 27 Oktober sehingga 4 November 2017.

Ella kembali beraksi di DFP apabila beliau bekerjasama dengan MPO untuk konsert Ella Live with the MPO: A Rock Queen's Journey yang berlangsung pada 2 Disember dan 3 Disember 2017 jam 8.30 malam di DFP, Suria KLCC. Sebanyak 16 lagu telah dipersembahkan termasuk satu lagu medley. Pada 7 dan 8 September 2018, beliau bersama-sama dengan Prime Domestic, Cromok dan Sil Khannaz beraksi di konsert Rockstars yang berlangsung di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor.

Ella mencatat rekod baharu dalam dunia persembahan apabila diiringi seramai 200 pemuzik pada acara Ella Kitalah Bintang di The Love @ MATIC yang berlangsung pada 25 Februari 2019 bagi meraikan pemuzik muda sempena Konsert Ella Unplugged In KL. Dari 29 sehingga 31 Mac 2019, Ella mengadakan konsert yang telah habis dijual tiketnya, Konsert Ella Unplugged Live In Kuala Lumpur yang diadakan selama 3 hari di Panggung Sari, Istana Budaya. Dalam konsertnya ini, beliau mempersembahkan sebanyak 25 lagu dalam tiga segmen termasuk Melayu Asli.

Ella ialah salah seorang daripada 45 artis popular yang mengadakan persembahan di Konsert Petronas Bersama Merentas Zaman bersempena ulang tahun ke-45 syarikat minyak dan gas Petronas, artis yang terlibat termasuk Amy Search, M. Nasir, Jaclyn Victor, Ruffedge, Faizal Tahir, David Arumugam dan lain-lain. Beliau kemudian berkongsi pentas buat kali pertama bersama Ramli Sarip dalam konsert yang diberi nama Kembara Kita yang berlangsung pada 14 dan 15 Februari 2020 di Istana Budaya.

Pada tahun berikutnya, beliau berkolaborasi bersama McDonald's yang mana beliau akan menyanyikan sebuah lagu jingle. Selain itu, beliau juga membuat penampilan istimewa dalam konsert maya ‘Rock On’ Astro Gempak pada 28 Ogos 2021. Beliau mengumumkan pada Mac 2023 bahawa beliau akan mengadakan persembahan di konsert 35 Tahun - Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang dijadual akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 10 Jun. Tiket konsert ini dilaporkan telah habis dijual dalam tempoh 24 jam. Selain itu, beliau akan melancarkan autobiografinya, Rockers Juga Manusia pada malam konsert.

Berlangsung pada 10 Jun 2023, Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota di Axiata Arena, Bukit Jalil menjadi kejayaan komersial apabila dihadiri seramai ribuan peminat-peminat setianya. Pada malam konsert, Ella membuat kejutan apabila menampilkan Amy Search sebagai pasangan duet untuk lagu "Dua Insan Bercinta". Antara rakan artis yang hadir ialah M. Nasir, Sheila Majid, Siti Nurhaliza dan Ziana Zain.

Bakat

Profil vokal

    Vocal Type: Soprano
    Vocal Range: 3 Octaves 1 notes and a semitone F#2-A5 Approx F6

Pencapaian peribadi

Sepanjang kerjanya, Ella dikenali sebagai artis rock wanita yang bertahan sehingga kini dan dikenali oleh peminat di seluruh Asia sekaligus telah menjadikan dirinya sebagai artis rock tersohor Asia. Beliau pernah menjadi duta Muhibbah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) sebelum Siti Nurhaliza yang turut menjadi duta bagi persatuan ini. Selain itu, beliau pernah dipilih sebagai 'Role Model' oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi mempromosikan pemikiran positif di kalangan belia dan muda-mudi.

Namanya juga tercatat dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai 'Artis Wanita Pertama Yang Mempunyai Penjualan Album Terbanyak' (1998) dan pernah menerima sijil MBOR (Edisi Emas) sebagai penghargaan kepadanya yang telah mengekalkan rekodnya selama sepuluh tahun. Artis lain yang juga menerima sijil ini ialah seperti Sharifah Aini, Siti Nurhaliza, Raihan dan ramai lagi. Ella pernah muncul di Music Television (MTV), sebuah saluran TV muzik yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan merupakan artis Malaysia kedua yang pernah ditemu bual oleh TV tersebut selepas Sharifah Aini.

Beliau juga dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 17 Februari 2003 sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-57 dan dikurniakan Pingat Setia Mahkota Pahang (SMP) oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar pada 30 Mac 2010 sempena ulang tahun hari keputeraan ke-79 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Cabang lain

Perniagaan

Selain bidang muzik, Ella turut berkecimpung dalam bidang perniagaan yang menjadi impiannya selama ini. Beliau telah berjaya menubuhkan beberapa syarikat hasil usaha beliau sendiri. Antaranya ialah seperti Ella's Production, Ella Inc's Sdn Bhd. dan Syarikat Ombak Warna Sdn Bhd. Sehingga kini, beliau merupakan antara usahawan yang berjaya di Malaysia sekaligus menjadikan beliau antara artis usahawan paling berjaya. Sebelum ini, Ella telah menguruskan pelbagai perniagaan seperti mengimport dan mengeksport pelbagai barangan yang telah diuruskan oleh syarikat miliknya sendiri. Beliau juga telah mengeluarkan sejenis produk kecantikan dan kesihatan yang menggunakan nama beliau sendiri iaitu ELLA. Produk tersebut telah mendapat sambutan hangat sekaligus telah membawa produk beliau hinggalah ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia, dan juga Brunei.

Sejak 2017, beliau bersama suaminya, Azhar Ghazali telah mengusahakan ladang cili dengan modal pusingan RM150,000 yang membabitkan tiga ladang berkeluasan 1.2 hektar di Puncak Alam. Menurut Ella, niatnya hanya untuk mendidik masyarakat dan menjadi inspirasi kepada anak muda. Katanya: "Alhamdulillah, tanaman ini sudah masuk musim keenam di mana setiap ladang mampu menghasilkan pengeluaran cili lapan tan. Setahun kami dapat menghasilkan dua musim di mana setiap musim dari peringkat semaian hingga menuai mengambil masa selama enam bulan. Kami menggunakan benih cili kulai 461 yang terbukti berkualiti dan baik,".

Aktiviti kemanusiaan

Ella turut melibatkan diri dalam aktiviti kemanusiaan apabila beliau bersama suaminya, Azhar berangkat ke Lubnan untuk mengikuti bagi kemanusiaan anjuran Kebahagiaan Kemanusiaan Berhad pada 26 April 2019. Menurutnya, beliau menantikan peluang ini sejak 2012 untuk melihat sendiri keadaan mangsa pelarian Palestin dan Syria di sana.

Kehidupan peribadi

Pada 7 Julai 2012, Ella sah bergelar isteri kepada juruterbang Firefly, Azhar Husaini Ghazali. Mereka dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Telok Gadong, Klang, Baharudin Abu Bakar. Abang sulung Ella, Mohd Nor Izam Aminuddin menjadi wali. Pengantin perempuan menerima RM50,300 sebagai mas kahwin dan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang dari pihak perempuan. Majlis resepsi pasangan pengantin baru diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 1 Disember 2012.

Pada 15 Ogos 2016, beliau bertudung sepenuhnya. Menurut Ella, beliau mengenakan tudung semasa bulan Ramadan dan keputusannya itu turut mendapat sokongan daripada suaminya. Ibunya, Yang Asmah Long meninggal dunia dalam tidur pada 11 Mac 2021 akibat sakit tua pada usia 92 tahun.

Di waktu lapangnya, beliau juga memiliki hobi menyelam dan berenang.

Diskografi

    Album studio
  1. Pengemis Cinta (1989)
  2. Puteri Kota (1990)
  3. Identiti (1990)
  4. 30110 (1992)
  5. Ella USA (1994)
  6. El (1998)
  7. Ilham Bicara (2001)
  8. Simbiosis (2003)
  9. Rama-Rama (2007)
  10. Peace.Love.Rindu (2017)

Filemografi

Filem

Tahun Tajuk Watak Catatan
1991 Bayangan Maut Ella Filem pertama
1993 Pemburu Bayang
1997 Hanya Kawan
2013 KIL Jiran Penampilan khas

Telefilem

Tahun Tajuk Watak Format
2002 Les Sekinchan Ella VCD

Televisyen

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2020–2023 The Masked Singer Malaysia Juri Astro Warna

Konsert dan jelajah

  • Konsert Terbuka Ella & The Boys (1990)
  • Konsert Hari Valentine Bersama Ella dan Nike Ardilla (1993)
  • Konsert Ella 30110 (1993)
  • Konsert Tahun Baharu (1994)
  • Konsert Ella USA Jelajah Malaysia (1995)
  • Konsert Ella 10 Tahun (1995)
  • Konsert Demi Jelajah Malaysia (1996)
  • Konsert Ella di Planet Hollywood (2002)
  • Konsert Jelajah 2 Zaman NR2 (2010)
  • Konsert Untukmu Loloq (2011)
  • Awie & Ella: Raja dan Ratu Rock Malaysia (2012)
  • Konsert ELLA 2016 (2016)
  • Konsert Ella Unplugged Live in Kuala Lumpur (2019)

Anugerah dan pencalonan

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
1993 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1993 Penyanyi Wanita Popular Dirinya sendiri Menang
2000 Anugerah Industri Muzik ke-7 Rakaman Album Terbaik El Menang
Album Rock Terbaik Tercalon
2002 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 Penyanyi Wanita Popular Dirinya sendiri Tercalon
2004 Anugerah Industri Muzik ke-11 Album Pop Rock Terbaik Simbiosis Tercalon

Catatan

Rujukan

Pautan luar

This article uses material from the Wikipedia Bahasa Melayu article Ella (penyanyi), which is released under the Creative Commons Attribution-ShareAlike 3.0 license ("CC BY-SA 3.0"); additional terms may apply (view authors). Kandungan disediakan dengan CC BY-SA 4.0 kecuali jika dinyatakan sebaliknya. Images, videos and audio are available under their respective licenses.
®Wikipedia is a registered trademark of the Wiki Foundation, Inc. Wiki Bahasa Melayu (DUHOCTRUNGQUOC.VN) is an independent company and has no affiliation with Wiki Foundation.

Tags:

Penyanyi Ella Kehidupan awalPenyanyi Ella KerjayaPenyanyi Ella BakatPenyanyi Ella Pencapaian peribadiPenyanyi Ella Cabang lainPenyanyi Ella Kehidupan peribadiPenyanyi Ella DiskografiPenyanyi Ella FilemografiPenyanyi Ella Konsert dan jelajahPenyanyi Ella Anugerah dan pencalonanPenyanyi Ella CatatanPenyanyi Ella RujukanPenyanyi Ella Pautan luarPenyanyi EllaElla & The BoysGelugorPulau Pinang

🔥 Trending searches on Wiki Bahasa Melayu:

Bade Hj. AzmiKhawarijSherry AlhadadSyarikat swastaFrekuensi radio di Negeri SembilanRita NadiraHang TuahAyu RaudhahAliff AzizA FamosaCinta Buat DaraAzhan RaniNungsari Ahmad RadhiSultan Abdul Halim Mu’adzam ShahJenis darahPuchong, SelangorBadmintonRicheese FactoryInfrastrukturSenarai bank di MalaysiaTerengganuTuanku Ja’afarAdat resam kahwin MelayuMat KilauChacha MaembongMasjid Sri SendayanJam 12 jamSlot SakuraJabatan Bomba dan Penyelamat MalaysiaAkut (perubatan)Nazim OthmanPerintah Kawalan Pergerakan Malaysia 2020-2021KL Special ForceNasi kandarMona FandeyKelurCuti umum di MalaysiaPerodua KancilSepahtu Reunion LivePerkahwinan menurut IslamKelantanSekolah Kluster KecemerlanganMasam-Masam ManisAlor SetarTanah Melayu BritishKucingMetamfetaminaRevolusi PerindustrianMuhyiddin YassinHidroterapiAlhamdulillahDatuk (gelaran)Senarai saluran AstroBahasa MaduraPemberontakan India 1857ArcaSenarai negara mengikut sistem kerajaanNeelofaTatabahasa bahasa MelayuSenarai Kementerian di MalaysiaIkanNabila RazaliMohamad SabuMuhammad bin Idris al-SyafiiBola sepakSekolah Berasrama PenuhSyahadahHun HaqeemGajahPetronasOne Cent ThiefKhalid bin al-WalidSenarai gunung berapi di MalaysiaDewan Negeri PerakHero RemajaPerlembagaan MalaysiaPiala FA Inggeris🡆 More